Sangkutan Kerja: Lonjak Kompetensi, Perkukuh Profesionalisme
Program Sangkutan Kerja bagi Peningkatan Kompetensi (Dalam Negara) telah dilaksanakan seiring dengan Amanat Naib Canselor UMPSA 2025 di bawah Agenda Transformasi 1, Anjakan 1: Memperkukuh dan Memajukan Potensi Individu, yang menekankan pembangunan kompetensi serta kecemerlangan sumber manusia. Inisiatif ini menjadi platform strategik untuk memperkukuh profesionalisme warga universiti melalui penempatan sementara di institusi rakan strategik yang mempunyai kepakaran dan amalan terbaik dalam pengurusan serta tadbir urus universiti.
Selama sepuluh hari bermula 17 hingga 26 September 2025 lalu, Pengurus Akademi A.D.A.B, Mohd Raizalhilmy Mohd Rais telah mencipta sejarah sebagai kumpulan pertama mobiliti staf UMPSA yang mengikuti program ini di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai Johor. Penempatan di Bahagian Aktiviti Pembangunan Pelajar (BAPP) di bawah Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM itu memberi pendedahan strategik dalam bidang pembangunan pelajar, pengurusan badan pelajar, kepimpinan mahasiswa, kesejahteraan holistik dan tadbir urus berintegriti. Penempatan ini memberi peluang untuk mendalami struktur tadbir urus pelajar, pelaksanaan dasar dan strategi pembangunan holistik pelajar melalui pendedahan langsung terhadap amalan terbaik UTM dalam aspek kepimpinan, kesejahteraan pelajar dan pengurusan fasiliti. Di sinilah beliau berpeluang mengikuti pelaksanaan sistem pengurusan aktiviti pelajar, inisiatif kebolehpasaran graduan serta strategi penglibatan pelajar dalam program berimpak tinggi yang menjadikan UTM antara peneraju universiti awam dalam pembangunan pelajar berprofil global.
Antara amalan terbaik yang diperoleh termasuk pendedahan terhadap Sistem Pengurusan Aktiviti Pelajar (ACADUTM 2.0) dan UTMSAT (Student Activity Transcript) yang berfungsi sebagai sistem pelaporan menyeluruh bagi aktiviti pelajar di luar bilik kuliah. Sistem ini membolehkan pelajar menjejak penglibatan kokurikulum dan aktiviti kemahasiswaan yang kemudiannya diterjemahkan kepada Activities Cumulative Points (ACP) sebagai nilai tambah dalam permohonan pekerjaan selepas tamat pengajian. Pendekatan ini memperkukuh ekosistem pembelajaran holistik yang menilai pelajar bukan hanya berdasarkan pencapaian akademik, tetapi juga kepimpinan, kreativiti dan nilai sahsiah. Kedua-dua sistem ini berjaya memantapkan pengiktirafan pencapaian pelajar secara lebih menyeluruh, sekaligus menyokong pembentukan pelajar holistik seperti yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Selain pendedahan kepada sistem digital, perbincangan bersama Pusat Islam UTM telah membuka dimensi baharu dalam kolaborasi pembangunan Modul A.D.A.B, yang menekankan tujuh aspek utama iaitu adab terhadap Tuhan, diri, ibu bapa, pensyarah, sahabat, ilmu dan alam sekitar. Pendekatan ini dilihat seiring dengan kerangka Akademi A.D.A.B UMPSA yang memberi fokus kepada pembentukan pelajar beradab, berintegriti dan berilmu, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan pelajar yang berjiwa seimbang dan bersedia menghadapi cabaran dunia sebenar. Pendekatan berasaskan nilai (values-based education) ini menjadi asas penting dalam memperkukuh jati diri pelajar UMPSA yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, tetapi juga berakhlak, patriotik dan berjiwa sejahtera.
Perbincangan bersama Pusat Islam UTM memperlihatkan bagaimana nilai adab dijadikan tunjang kepada strategi pembentukan pelajar holistik di UTM. Modul ini bukan sahaja memperkasa nilai spiritual dan moral pelajar, tetapi juga memupuk kesedaran sosial yang tinggi. Ia selaras dengan aspirasi Akademi A.D.A.B untuk menjadikan nilai sebagai teras kepimpinan diri dan budaya kerja warga universiti.
Hasil pembelajaran daripada program ini turut memberi nilai tambah kepada keupayaan UMPSA dalam merangka modul latihan pelajar berasaskan pengalaman luar bilik kuliah, seiring dengan usaha membangunkan pelajar holistik dan berdaya saing global. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan keterampilan pelajar, tetapi juga memperkukuh budaya pembelajaran sepanjang hayat yang menjadi tunjang kepada falsafah pendidikan universiti.
Dalam lawatan tersebut, turut diadakan sesi libat urus bersama pelbagai entiti utama UTM termasuk Sekolah Pengajian Prasiswazah, Pusat Kerjaya UTM dan Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan). Antara fokus perbincangan termasuk pengurusan kursus kokurikulum berkredit, strategi kebolehpasaran graduan, serta pembangunan fasiliti pelajar seperti Hutan Rekreasi UTM, Balai Cerap, dan Outward Bound Centre.
Turut dikongsi ialah konsep UTM Student Studio Club, iaitu ruang interaktif yang berfungsi sebagai inkubator idea pelajar dalam bidang media, penyiaran dan produksi kreatif. Inisiatif ini menjadi platform pelajar menyalurkan suara dan pandangan mereka melalui penghasilan podcast, audio dan video berimpak sosial, berasaskan prinsip keterangkuman, inovasi dan tanggungjawab masyarakat.
Selain itu, pendedahan terhadap program 5 Excellence Track Programmes (5ETP) UTM turut memberikan inspirasi kepada Akademi A.D.AB. Lima teras utama program ini iaitu kepimpinan global, minda nobel, kecemerlangan sukan, teknousahawan dan teknohafiz telah membuktikan keberkesanan pendekatan berfokus dalam melahirkan pelajar berdaya saing dan mempunyai kesohoran global. Program seumpama ini boleh dijadikan rujukan dalam usaha memperkukuh pengiktirafan pelajar UMPSA berasaskan potensi dan pencapaian masing-masing.
Hasil daripada pengalaman ini, pelbagai sinergi baharu telah dapat diterjemahkan kepada strategi dan amalan pembangunan pelajar UMPSA. Antara yang dikenal pasti termasuk reka bentuk modul latihan berasaskan pengalaman, sistem pelaporan aktiviti yang lebih berfokuskan impak, serta pendekatan pemantauan keberhasilan aktiviti pelajar melalui data digital.
Penyertaan ini telah memperkukuh strategi pembangunan pelajar di UMPSA melalui penguasaan model pengurusan badan pelajar, penarafan prestasi berasaskan hasil, dan reka bentuk modul latihan berteraskan nilai yang lebih holistik serta lestari. Program ini membuka peluang besar untuk memperkukuh sinergi antara universiti, khususnya dalam memperkasa agenda pembangunan pelajar dan tadbir urus organisasi berteraskan nilai. Banyak amalan terbaik UTM yang boleh disesuaikan dengan konteks UMPSA bagi memperkukuh keberkesanan Akademi Adab sebagai peneraju pembangunan pelajar.
Selain itu, pengalaman sangkutan ini juga membuka ruang bagi Akademi A.D.A.B meneroka model penjanaan sumber berasaskan fasiliti pelajar seperti yang diamalkan di UTM, sekali gus menyokong usaha universiti memperkukuh daya tahan kewangan institusi. Ia turut memberi inspirasi untuk memperkemas pengurusan data pelajar secara bersepadu bagi meningkatkan ketepatan pelaporan dan kebolehkesanan aktiviti pembangunan pelajar.
Sepanjang penempatan, sebagai Alumni UTM beliau turut berkesempatan mengadakan kunjung hormat dan sesi sumbangsaran bersama Naib Canselor UTM, Timbalan Naib Canselor (HEPA), Pendaftar, Pengerusi Majlis Profesor serta beberapa orang Dekan Fakulti dan mantan Naib Canselor UTM. Pertemuan ini memberi inspirasi baharu tentang bagaimana kepimpinan universiti boleh menerajui agenda strategik pembangunan pelajar yang bukan hanya memenuhi keperluan industri, tetapi juga melahirkan pencipta pekerjaan, pemimpin masyarakat, dan penggerak ekonomi sejahtera.
Secara keseluruhannya, pengalaman sangkutan ini membuka horizon baharu kepada Akademi A.D.A.B dalam memperkemas proses kerja, melaksanakan projek rintis serta mengadaptasi amalan terbaik HEPA UTM dalam konteks pembangunan pelajar di UMPSA. Impak program ini bukan sekadar memperkukuh jaringan profesional antara dua institusi, tetapi turut memperteguh peranan Akademi A.D.A.B sebagai peneraju pembangunan pelajar universiti yang berilmu, berintegriti dan berdaya saing, seiring dengan aspirasi UMPSA sebagai Universiti Teknologi Terunggul.

Oleh: Mohd Raizalhilmy Mohd Rais
E-mel: hilmy@umpsa.edu.my
Penulis adalah Pengurus Akademi A.D.A.B, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 134 views
Reports by: