Skip to main content

Sejati Madani: IPT Memacu Perubahan Sosioekonomi Komuniti

Dalam sesi pembentangan belanjawan 2024, Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kerajaan telah memperuntukan dana sebanyak RM1 bilion di bawah Dana  Komuniti Madani bagi menyediakan geran kepada komuniti untuk menjayakan Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi Madani). 

Program ini merupakan inisiatif baharu Kerajaan MADANI untuk merancak dan memartabatkan aktiviti sosioekonomi di peringkat komuniti. Kerajaan telah menyediakan geran antara RM50,000 hingga RM100,000 kepada komuniti untuk melaksanakan aktiviti peningkatan ekonomi dalam komuniti. 

Program ini telah menyasarkan lima sektor yang menjadi teras kepada pelaksanaan iaitu sektor pertanian dan makanan, pelancongan dan hospitaliti, jahitan dan kraftangan, herba dan kesihatan serta aktiviti hijau dan kitar semula. Komuniti melalui jawatankuasa penduduk, persatuan penduduk yang berdaftar, komuniti rumah panjang, komuniti orang asli dan komuniti yang mendapat pengesahan pihak berkuasa adalah antara yang boleh memohon geran ini. Dalam sesi pembentangan Belanjawan 2005 baru-baru ini, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim sekali lagi memberi penekanan bahawa program Sejati Madani akan melibatkan semua kampung di seluruh negara.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengambil langkah proaktif dengan meminta semua agensi pendidikan tinggi di bawah seliaannya (universiti/politeknik/kolej komuniti) untuk merancang dan mencadangkan aktiviti yang boleh dijayakan bersama komuniti dalam usaha untuk menyokong serta menjayakan program ini,. Bagi tujuan indikasi program peringkat KPT bersama institusi pendidikan di bawahnya, program ini dijenamakan sebagai Sejati Madani@KPT. Matlamat ini amat bertepatan dengan hala tuju kementerian yang meletakkan aktiviti perkongsian dan pemindahan pemindahan ilmu serta teknologi yang ada di universiti disalurkan kepada komuniti

Melalui sesi perbincangan bersama pihak Jabatan Pendidikan Tinggi dan wakil-wakil universiti awam/Kolej Komuniti/Politeknik, dimuktamadkan penglibatan IPT melalui kepakaran yang ada pada insitusi masing-masing agar turut terlibat untuk membantu komuniti. Kesemua 20 UA, Politeknik dan Kolej Komuniti telah dikenal pasti mengikut bidang kepakaran masing-masing digerak untuk membantu komuniti. Sekurang-kurangnya satu UA/Kolej Komuniti/Politeknik bagi satu daerah atau kawasan ditetapkan mengikut lokaliti institusi berkenaan. Contohnya, Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama Politeknik dan Kolej Komuniti di negeri Kedah bertanggungjawab bagi setiap daerah di negeri Kedah. Begitu juga dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bersama Politeknik dan Kolej Komuniti di Melaka, Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Sabah, Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Johor, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Perlis, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Kelantan dan semua UA lain mengikut negeri. Istimewa UiTM kerana keberadaan kampusnya di seluruh negara memaknakan penglibatan UiTM dengan komuniti di seluruh negara.

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan UiTM telah dilantik sebagai Penyelaras Negeri bagi menjayakan program Sejati Madani@KPT bagi negeri Pahang. UMPSA bertanggungjawab bagi kawasan Cameron Highlands dan Paya Besar. Manakala UiTM (Pahang) bagi kawasan Maran, Kolej Komuniti Pekan (Pekan) serta Kolej Komuniti Bentong (Bentong) dan kolej komuniti lain di seluruh negara juga terlibat mengikut lokaliti masing masing. Sehingga kini, setiap institusi yang terlibat telah mengadakan perbincangan dengan pemimpin setempat dan pihak jawatankuasa terlibat merangka bentuk kerjasama yang boleh membantu pihak komuniti capai matlamat yang ditetapkan dalam kerangkan objektif Sejati Madani.

Institusi yang terlibat bersama kepakaran yang pada pada mereka akan turun berbincang bersama komuniti dan mencadangkan satu projek yang dipersetujui bersama untuk dibangunkan. Institusi kolej komuniti dan politeknik misalnya dengan kepakaran TVET dan amalan kemahiran kendiri bersama komuniti terlibat mencadangkan aktiviti pembuatan, pembungkusan dan jualan makanan sejuk beku, pertanian, penghasilan produk hiliran, penternakan, kemahiran bengkel dan pertukangan, pelancongan dan perkhidmatan hospitaliti. Kolej Komuniti Baling misalnya membantu komuniti Kampung Bongor, Baling dalam aktiviti ternakan ayam kampung. Kolej Komuniti Ledang membantu komuniti Kampung Makmur Tangkak dalam aktiviti ternak ikan dalam kanvas. Begitu juga dengan Politeknik Port Dickson bersama komuniti Kampung Sekawan dalam aktiviti ekopelancongan dan ternakan kupang.

Manakala bagi institusi universiti pula akan menawarkan aktiviti berbentuk penasihatan, pemindahan teknologi serta perkongsian amalan baik dalam keusahawan, penternakan, pertanian menggunakan teknologi terbaharu. Ini semua dapat membantu pihak jawatankuasa menjayakan perancangan dan permohonan dengan lebih berkesan. 

Melalui program yang dicadang dan yang telah berjalan, dianggarkan sejumlah lebih daripada 100 lokaliti terlibat bersama institusi pendidikan di bawah KPT. Dari jumlah bilangan lokaliti yang terlibat dan sekiranya penglibatan seramai 400 penduduk bagi setiap kawasan bermakna tidak kurang dari 40,000 penduduk telah atau akan menerima manfaat.  

Sehingga kini, difahamkan semua projek cadangan yang dikemukakan oleh pihak jawatankuasa pemohon bersama institusi terlibat telah mendapat pertimbangan positif dan kelulusan untuk dilaksanakan di seluruh negara. Dengan dana sebanyak RM50,000 hingga RM100,000 yang disalurkan, setiap komuniti boleh menjana sumber pendapatan yang lebih berkesan kepada komuniti terlibat.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) misalnya melalui kepakarannya bersama komuniti kawasan Hulu Langat, Selangor   telah membimbing dan membantu komuniti asnaf, komuniti desa dalam kusahawanan katering dan produk makanan. Penyelidik, pensyarah dan staf UTM terlibat bersama komuniti di kawasan Tebrau, Kota Tinggi, Iskandar Putri, Pulai serta Pontian dalam aktiviti ekonomi keluarga, penternakan laut dan pelancongan. Sumbangan istimewa pula datangnya dari UiTM kerana ia melibatkan semua kampus UiTM di seluruh negara bagi membantu komuniti meningkatkan penghasilan produk kraf dan tradisional, rekreasi dan pelancongan serta keusahawanan produk hiliran. UMS membantu komuniti di kawasan Labuan, Sepanggar, Pensiangan dan Kota Belud dalam aktiviti pertanian, usahawan hasil laut, pelancongan dan penternakan.

Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Kuala Serau (parlimen Cameron Highlands) dan Bukit Kuantan (parlimen Paya Besar)  bersetuju untuk penanaman  cendawan tiram dengan berpandukan teknologi IoT yang dibangun oleh penyelidk dan pensyarah UMPSA. Melalui projek ini lebih kurang  700 hingga 800 orang penduduk terlibat dan setiap komuniti akan menerima 4000 hingga 5000 bongkah cendawan berserta rumah cendawan yang beroperasi secara IoT. Melalui kerjasama ini, komuniti yang terlibat akan menerima nilai tambah kepada pendedahan ilmu penggunaan IoT dalam aktiviti pertanian. 

Secara umumnya, penglibatan KPT di dalam menjayakan pelaksanaan program SejaTi Madani melalui institusi pendidikan yang telibat bukan saja memudahkan komuniti memacu perubahan ekonomi tetapi juga dapat berkongsi dan menggunakan ilmu serta teknologi yang ada di institusi berkenaan. KPT telah mengambil inisiatif positif untuk bersama kerajaan memacu matlamat SejaTi Madani bagi merancak dan memartabatkan aktiviti sosioekonomi komuniti di seluruh negara.

Zainuddin Mat Husin
Zainuddin Mat Husin

Penulis adalah Pengurus Kanan, Bahagian Hubungan Universiti-Komuniti, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

E-mel    : zmh@umpsa.edu.my

Reports by:
Admin UMP News