Semarakkan cinta rasul, cinta yang agung
Tanggal 12 Rabiulawal Tahun Gajah, seorang insan yang diberikan nama Muhammad, rasul terakhir penutup segala nabi dan rasul telah dilahirkan. Allah SWT telah memerintah agar mencintai insan ini lebih daripada segala-galanya melainkan cinta kepada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Katakanlah jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatir kerugian, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.” (Surah al-Taubah: 24).
Dalam satu hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Tiga golongan yang memiliki beberapa ciri akan mendapat kemanisan iman iaitu seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada yang lain, seorang yang mencintai seseorang hanya kerana Allah dan seseorang yang benci untuk kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkannya sebagaimana dia benci dicampakkan ke dalam api neraka.” (Muttafaq ‘Alaih).
Satu ketika, Sayidina Umar al-Khattab telah berkata kepada Rasulullah SAW yang bermaksud, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu kecuali diriku sendiri.” Rasulullah SAW menjawab, “Tidak, demi Allah, hingga aku lebih engkau cintai daripada dirimu sendiri.” Lalu berkata Umar, “Demi Allah, sekarang engkau lebih aku cintai daripada diriku sendiri.” (Riwayat Bukhari).
Ketika baginda ditanya oleh seorang Arab tentang bila waktu terjadinya kiamat, baginda bertanya kembali kepada lelaki tersebut tentang persiapan yang dibuat olehnya untuk menghadapi kiamat. Lelaki tersebut menjawab, Cinta kepada Allah dan Rasul-Nya. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Kamu bersama orang yang kamu cintai.” (Muttafaq ‘Alaih).
Cinta kepada Rasul sangat dituntut. Orang yang mencintai baginda akan dimasukkan ke dalam syurga. Walau bagaimanapun, apabila disebut kalimah cinta, sebahagian akan terbayang sepasang manusia yang berlainan jantina saling sayang menyayangi antara satu sama lain. Cinta bukan sekadar itu. Ia lebih luas daripada itu. Ia bermaksud perasaan atau berperasaan sangat sayang kepada sesuatu. Perasaan inilah yang akan mendorong seseorang membuat apa sahaja demi sesuatu yang dicintai.
Seorang cendekiawan Islam, Abdullah Nasih al-Ulwan, dalam bukunya ‘Islam wal Hubb’ telah membahagikan cinta kepada tiga iaitu pertama, cinta agung iaitu cinta kepada Allah SWT, rasul dan Islam serta berusaha dan berjuang membuktikan cinta tersebut, kedua, cinta pertengahan iaitu cinta sesama manusia, ibu bapa, anak-anak, isteri, kaum kerabat, sahabat handai, dan lain-lain dan ketiga, cinta bawahan atau cinta hina iaitu mencintai sesuatu melebihi cinta kepada Allah SWT, rasul dan Islam.
Berdasarkan pembahagian cinta di atas, jelas bahawa dalam setiap detik dan saat kehidupan, manusia sentiasa terikat dengan cinta sama ada cinta agung, cinta pertengahan atau cinta bawahan. Cinta agung ialah cinta kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW. Seseorang yang memiliki cinta sebegini akan mendorongnya bersegera melakukan ketaatan dan tidak mengharapkan cinta dan kasih sebenar melainkan cinta dan kasih Allah SWT.
Justeru, seseorang yang subur dalam dirinya cinta kepada Rasulullah SAW akan bersegera melaksanakan perintah rasul, mempelajari kehidupannya dan berusaha untuk mengamalkannya dalam kehidupan. Rasulullah SAW akan menjadi ikutannya. Dia sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapat kasih Allah SWT dan Rasul-Nya sebagaimana orang yang sedang bercinta sanggup melakukan apa sahaja demi orang yang dicintainya.
Manusia tidak dapat dipisahkan daripada cinta kepada dunia dan isinya. Cinta kepada anak, isteri, ibu bapa, saudara mara, sahabat handai, harta, dan segala keindahan dunia. Cinta sebegini dinamakan cinta pertengahan. Ia bukanlah menjadi kesalahan kerana itu memang sudah fitrah. Walau bagaimanapun, sekiranya cinta pertengahan ini melebihi daripada cinta agung, ia bertukar menjadi cinta bawahan. Cinta inilah yang dicela. Cinta dunia lebih daripada akhirat. Cinta harta lebih daripada cinta kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW. Cinta sebegini boleh membawa kerosakan kerana berebut harta dunia, manusia berpecah, bergaduh dan lebih teruk lagi berperang. Perang yang matinya sia-sia.
Oleh itu, dalam suasana sambutan maulidur rasul yang masih hangat ini, sama-samalah disemarakkan cinta agung, cinta kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW. Dengan cinta ini, mudah-mudahan manusia akan menjadikan keperibadian Nabi Muhammad SAW yang unggul sebagai contoh teladan untuk mereka mencipta kejayaan dalam kehidupan peribadi, keluarga dan masyarakat, dunia dan akhirat. Baginda merupakan pemimpin negara, ketua tentera, pendidik, ketua keluarga, dan seorang manusia yang terbaik. Baginda adalah ‘uswah hasanah’ yang menjadi contoh dan teladan untuk diikuti oleh sesiapa sahaja yang inginkan kebahagiaan dunia dan akhirat. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya, telah ada pada diri Rasulullah SAW itu suri teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (Surah al-Ahzab: 21).
Penulis adalah Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang (UMP).
e-mel: sidek@ump.edu.my
- 467 views