Skip to main content

Staf UMPSA Wira SPIROS: Terima kasih

Kejayaan penganjuran program-program di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) merupakan hasil kerjasama satu pasukan yang tidak mengenal penat lelah melainkan bermatlamatkan kelancaran dan kejayaan program yang dirancang.  Pasukan ini lazimnya terdiri daripada gabungan staf UMPSA yang dilantik menjadi petugas mengikut bidang dan kepakaran masing-masing.  

Mereka ini merupakan wira-wira yang tidak didendang yang bukan sahaja menyumbang tenaga, idea, masa malah dengan komited serta dedikasi melaksanakan semua perancangan yang telah ditetapkan. 

Umum mengetahui bahawa Majlis Konvokesyen Ke-19 yang diadakan pada 26 hingga 30 Oktober 2024 merupakan acara tahunan dalam meraikan pelajar yang telah tamat belajar di universiti ini dalam pelbagai peringkat pengajian. Majlis itu melibatkan seramai 776 orang petugas yang terdiri daripada 21 jawatankuasa berbeza. 

Manakala program Jom Masuk U yang diadakan pada 1 hingga 2 Jun 2024 pula merupakan sebuah program berbentuk pameran dan aktiviti berkaitan pengajian tinggi di negara ini dan UMPSA dipilih oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menjadi Tuan Rumah bagi Jom Masuk U Zon Timur II. Program ini melibatkan seramai 200 orang petugas daripada pelbagai jawatankuasa. Kedua-dua program ini melibatkan kehadiran pihak luar di UMPSA dalam skala yang besar. Sebahagian petugas untuk kedua-dua program ini adalah melibatkan staf yang sama kerana kemahiran yang mereka miliki dalam aspek-aspek penganjuran program. 

Penggunaan kepakaran dan dibantu teknologi yang terdapat di dalam UMPSA menjadikan penganjuran program seperti ini mengoptimumkan sumber sedia ada secara lestari. Dengan pengalaman penganjuran program seperti ini staf juga akan terlatih mempunyai daya tahan, menitikberatkan tatakelola dan integriti serta berjaya mengelakkan pembaziran mahupun kesalahan. Hal ini menunjukkan bahawa semangat kepimpinan dan kerjasama yang ditunjukkan oleh para petugas amat membanggakan. 

Mereka bukan sahaja menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, tetapi juga berupaya menangani cabaran secara profesional dan efektif. 

Sikap tanggungjawab, komunikasi berkesan, dan komitmen mereka terhadap kecemerlangan membuktikan bahawa kepimpinan bukan sekadar berada di barisan hadapan, tetapi juga dalam usaha kolektif di sebalik tabir. 

Hasil dan kualiti kerja melalui kedua-dua program ini bukan sahaja mendatangkan manfaat kepada universiti tetapi memenuhi keperluan kerajaan, industri dan masyarakat.

Kejayaan penganjuran kedua-dua program ini juga dilihat selaras dengan  hasrat Ucapan Perutusan Naib Canselor, Profesor Dr. Yatimah Alias menjelang Bulan Ramadan baru-baru ini iaitu setiap warga UMPSA perlu memperkasa kualiti kerja dan kemahiran melalui pembudayaan kerja yang berfokus kemahiran  (Skills), Kesempurnaan (Perfection), Impak  (Impact).  Daya Tahan (Resilience), Pengoptimuman (Optimization) dan Kelestarian (Sustainability) atau singkatannya SPIROS. 

Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada semua petugas yang telah menjayakan kedua-dua program ini. 

Semoga semangat kerja berpasukan ini terus menjadi inspirasi dan dorongan untuk penganjuran program-program UMPSA yang lebih cemerlang pada masa hadapan.

Jamilah Bebe Mohamad

Oleh: Jamilah Bebe Mohamad 
Guru Bahasa, Pusat Bahasa Moden (PBM)
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
jamilahbebe@umpsa.edu.my

 

Nurul Amira Norhalizan

Oleh: Nurul Amira Norhalizan
Pusat Pengurusan Akademik (PPA)
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
amiranorhalizan@umpsa.edu.my

 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim