Tip Berjaya Dalam Temu Duga
Mahasiswa yang telah tamat pengajian semestinya berasa teruja untuk menempuh alam pekerjaan. Hakikatnya, meneroka peluang pekerjaan adalah atas usaha individu itu sendiri selain mempunyai kelulusan akademik. Pekerjaan itu tidak datang bergolek. Kita yang harus mencari, menyediakan resume dan mempersiapkan diri untuk temu duga. Ilmu untuk mempersiapkan diri untuk ditemu duga adakalanya tidak ada semasa pengajian. Para mahasiswa perlu mengumpul sendiri maklumat apakah persediaan yang perlu dilakukan dan tip yang perlu diikuti agar berjaya dalam temu duga.
Persediaan Sebelum Menghadapi Temu Duga
Kebiasaannya, ahli panel akan menyediakan syarat yang jelas untuk mereka mendapatkan calon yang benar-benar layak. Mahasiswa perlu menyemak iklan jawatan tersebut. Jika perlu buat salinan dan simpan bagi memastikan kita memenuhi kriteria yang diperlukan.
a. Kelayakan akademik.
Mahasiswa jangan hanya sekadar membaca iklan itu, mereka perlulah juga mencari maklumat diperlukan. Kita perlu mengingati segala ilmu yang dipelajari semasa di kampus dan fakta penting dalam subjek tersebut.
b. Pengalaman bekerja.
Jika kita baharu menghabiskan pengajian, sememangnya tiada apa yang boleh kita kongsi. Sebab itulah itu aktiviti kokurikulum sepanjang tempoh pengajian amat diperlukan untuk menyokong kekurangan dan dalam masa yang sama akan menampung lompong pengalaman. Hafal semua aktiviti dan jawatan penting yang disandang, penglibatan secara langsung sama ada berkaitan akademik ataupun tidak. Ia mungkin ada melibatkan agensi atau syarikat luar. Hafal juga kejayaan yang membantu memantangkan kita. Ada kemungkinan kita diminta untuk berkongsi kes atau senario kejayaan dalam melaksanakan aktiviti atau semasa menjadi ahli jawatankuasa di kolej. Ia bergantung kepada cara kita mengolah untuk menjadikan ia satu pengalaman berguna dalam membuat keputusan, menyelesaikan masalah, khidmat pelanggan dan pengalaman kita sebagai seorang ketua.
Satu lagi perkara penting yang boleh menguatkan lagi pengalaman kerja kita adalah semasa latihan industri. Dalam hal ini, kita jangan temberang atau cuba untuk karang jika tiada, tetapi cuba gunakan pengalaman semasa latihan industri yang kita laksanakan sebagai satu cerita berharga kepada penemu duga. Sebab itulah, jangan sekali-kali menganggap latihan industri hanya satu perkara remeh. Ia amat penting untuk graduan mengenal dunia pekerjaan, situasi pejabat, fields work dan birokrasi pekerjaan. Kepada yang bernasib baik, mereka akan diberikan kesempatan untuk membuat keputusan penting semasa sesi ini.
c. Kelayakan wajib.
Jangan ambil mudah kerana jika kita tiada, mereka akan menolak dan menganggap kita tidak serius. Tetapi jangan pula kecewa, kerana jika kita memang tiada tetapi bersedia dengan jawapan, besar kemungkinan kita akan ditawarkan jawatan berbeza.
d. Kelulusan wajib.
Jangan belakangkan perkara ini. Sebagai contoh, lesen kereta motor dan apa jua perkara yang berkaitan dengan pengiktirafan oleh badan berkanun atau kerajaan.
e. Profil syarikat.
Kita perlu mencari maklumat dan membuat nota berkaitan perkara tersebut.
- Operasi utama syarikat. Siapakah pengerusi, pengarah urusan atau peneraju utama?
- Barangan keluaran. Ambil tahu barangan utama yang mereka tawarkan.
- Jenis perniagaan. Sama ada dalam atau luar negara. Dalam talian atau secara runcit, sebaiknya dapatkan maklumat yang jelas bagi memudahkan kita menjawab apabila ditanya.
- Lawat tapak web atau media sosial mereka. Ini sangat penting untuk mendapatkan maklumat terkini yang berkaitan.
- Pecahkan bahagian fizikal produk atau perkhidmatan dan atau lain-lain sekiranya ada. Dalam hal ini, kita akan dapat menyediakan fakta untuk atau bagaimana kita akan memberikan fakta dan harapan kepada mereka sekiranya terpilih. Soalan ini amat penting untuk kita sediakan jawapan kerana ia adalah soalan kegemaran penemu duga.
f. Bersedia untuk disoal.
Sediakan beberapa jawapan untuk soalan-soalan yang bakal atau mungkin mereka soal semasa temu duga.
- Apa yang akan kita sumbangkan kepada syarikat sekiranya dilantik?
- Dalam tempoh satu bulan pertama, apa yang akan kita lakukan?
- Sekiranya kita diberikan tugasan khas, bagaimana kita melaksanakan tugas itu?
- Apakah yang membuatkan kita dapat bertugas dengan baik dan cemerlang?
- Oleh sebab, tiada pengalaman kerja yang panjang selain latihan industri, bagaimana kita boleh melaksanakan kerja dengan baik?
- Sediakan profil atau portfolio semasa di universiti untuk kan kepada panel.
- Susun dan failkan semua sijil dan dokumen dengan kemas dan teratur kerana ia adalah aset dan bukan sekadar dokumen.
- Apakah penglibatan kita semasa di universiti, persatuan dan kokurikulum yang disertai? Apakah sumbangan, kesan kepada kerjaya atau diri dan skor kepada keputusan akademik?
- Panel juga akan mendesak kita dengan memberikan kes-kes mudah, maka pelajari bagaimana untuk menangani krisis sekiranya terjadi.
- Atau mungkin sahaja panel akan memberikan tugasan berkaitan jawatan yang kita pohon, jadi, kita perlu membuat simulasi untuk hadapi kes itu.
- Ada satu yang penting, apa yang kita belajar akan pasti ditanya sama ada langsung atau tidak langsung, hafal dan jangan ambil mudah. Kegagalan memberikan jawapan yang tepat akan membenarkan ‘skrol hanya kertas putih’.
- Sediakan satu salinan khas dan susun sijil-sijil atau testimoni untuk diserahkan kepada panel penemu duga sekiranya diminta.
g. Masa, lokasi dan tarikh jangan tersilap.
Pastikan bangunan dan tempat ruang letak kereta atau kemudahan pengangkutan awam yang disediakan. Kita mestilah berada lebih awal (sekurang-kurangnya 30 minit) dari masa temu duga yang dinyatakan. Jangan lewat kerana mungkin kita sukar mencari ruang letak kereta atau tersalah alamat tempat yang dituju.
f. Pakaian.
Pilih pakaian yang kemas, presentable dan sesuai untuk jawatan yang dipohon. Jangan bersolek secara berlebihan, jangan berpakaian seperti hendak bersukan atau ke pusat membeli-belah. Ia mestilah bersesuaian berdasarkan jenis pekerjaan yang dipohon.
9. Jawapan.
Sediakan jawapan untuk berapa gaji yang diharapkan, tempoh masa melaporkan diri jika dilantik, alamat terkini dan nombor telefon rujukan jika diminta. Kemas kini resume atau profil. Pastikan sentiasa ada resume atau profil di tangan untuk rujukan dan hilangkan gelabah.
h. Perkara Penting Semasa Temu Duga.
Menurut sesetengah ahli panel, waktu ini umpama do or die time. Sebab ini merupakan masa sebenar yang akan ditanya, disemak, didesak, dan dinilai.
- Bahasa badan semasa memberikan jawapan seperti selalu melihat jam, membetulkan baju, menggaru-garu tangan, kepala, bersandar sambil mengetuk meja, bermain dengan pensel atau pen, mengangguk tanpa sebab.
- Jangan makan gula-gula atau gula-gula getah.
- Lebih baik jika berdandan atau melihat cermin sebelum masuk ke dalam bilik temu duga.
- Matikan telefon pintar. Tidak perlu tunjuk telefon pintar atau beg tangan di atas meja.
- Tahap atau peringkat jawapan yang diberikan. Mereka yang berkelulusan tinggi dan ada ilmu akan menjawab secara tertib dan tersusun. Mereka yang tiada ilmu akan menjawab ikut tangkap muat.
- Tempoh maklum balas apabila menjawab soalan yang ditanya.
- Nada dan intonasi suara perlu dikawal.
- Perkataan-perkataan yang digunakan semasa memulakan jawapan dan menutup jawapan.
- Bagaimana mengulas sesuatu jawapan sama ada secara terus, terperinci, kasar atau hilang dalam lamunan?
- Jika mereka cerita pastikan cerita itu tidak terlalu sempurna atau kebudak-budakan.
- Jangan cuba berlawak semasa temu duga.
- Jangan sebut tentang politik semasa temu duga.
- Elakkan menyentuh perkara sensitif, kaum, agama, dan institusi beraja.
- Gunakan nama panggilan rasmi daripada nama sebenar kita kerana selalunya penemu duga akan bertanya soalan itu.
- Tunjukkan minat yang ikhlas dan komitmen semasa menjawab soalan.
- Fokus kepada soalan utama dan mohon panel menjelaskan jika tidak pasti.
- Jangan jawab soalan dengan jawapan berputar-belit.
- Mengaku tidak pasti atau tidak tahu jawapan bagi soalan yang ditanya berbanding rekaan atau tekaan yang salah.
- Jangan bermain dengan Seksyen dan Akta jika tidak jelas dan tiada pengetahuan berkaitan Akta tersebut.
- Perkongsian data. Pastikan apa yang dikongsi, ingati dan maklumkan jika ada perubahan atau tambahan.
- Jika menghantarkan video atau menjawab soalan pra temu duga, bawa salinan itu bersama.
- Tamatkan temu duga dengan memberikan kata-kata atau maklumat menarik yang membuatkan panel tertarik dan ingat kepada kita. Perhatian, kita mesti ingat bahawa panel akan berjumpa dan menemu duga lebih ramai calon. Namun, mereka akan mengingati kita sekiranya kita ada meninggalkan jawapan atau kenyataan yang memberi kesan yang akan menyebabkan kita berjaya dalam temu duga.
- Jangan lupa mengucapkan terima kasih. Mohon pengesahan daripada penemu duga bila kita akan menerima keputusan.
- Jika terpilih, apakah langkah seterusnya?
- Sekiranya kita dilantik, apakah jenis lantikan yang akan ditawarkan contohnya lantikan kontrak, tetap, sementara atau kontrak untuk perkhidmatan?
- Jangan mengantuk, menguap dan berkhayal semasa temu duga.
- Elakkan daripada menghisap rokok, makan makanan yang boleh mengundang bau dan minyak wangi berlebih sebelum temu duga.
i. Kebolehan Menggunakan Sistem, Perisian atau Aplikasi.
Ia memainkan peranan amat penting dalam apa jua bidang pekerjaan yang dipohon. Oleh itu, cuba pelajari dan paling tidak, mengetahui sistem, perisian atau aplikasi perkomputeran yang berkaitan dengan bidang atau jawatan yang dipohon.
- Apakah sistem perkomputeran yang boleh membantu kita melaksanakan kerja dengan baik. Contoh: payroll, HRIS atau HRMS (Sumber Manusia), sistem perakaunan (Akaun dan Kewangan), membuat poster, diagram, pembentangan (media sosial), lukisan kejuruteraan (kejuruteraan) dan sebagainya.
- Mampu menggunakan salah satu perisian video editing seperti Adobe Premiere Pro, Sony Vegas, Final Cut Pro, Cap-cut atau yang setaraf dengannya.
- Perisian suntingan gambar seperti Adobe Illustrator, Adobe Premier Pro, Photoshop, Canva dan yang setaraf dengannya.
- Mahir menggunakan perisian Microsoft Office sekurang-kurangnya Word, Excel dan Power Point.
- Mahir menggunakan perisian suntingan video seperti Adobe After Effects adalah bonus.
j. Jika Sesi Temu Duga Dalam Talian
- Cari tempat yang capaian Internet yang kuat dan stabil
- Tiada gangguan bunyi atau silau cahaya.
- Fokus kepada temu duga
- Sekiranya memandu, lebih baik memberhentikan kenderaan.
- Duduk diam dan tidak berdiri.
- Cari pemegang telefon atau komputer riba dalam supaya keadaan statik.
- Jangan pakai cermin mata hitam atau pelitup muka semasa sesi berjalan.
- Fokus kepada soalan dan jawapan yang diberikan.
- Sediakan pen atau pensel semasa temu duga.
k. Berbahasa Selepas Menghadiri atau Menamatkan Sesi Temu Duga
- Ucapkan penghargaan terima kasih kepada penemu duga kerana memberi peluang untuk hadir dan menguruskan temu duga.
- Dapatkan tarikh lantikan sekiranya terpilih. Dapatkan kepastian apa yang patut dilakukan sekiranya berjaya.
- Jangan putus asa jika gagal dan terus mencuba.
- Peluang dan kesempatan masih ada dan tidak hanya pada satu syarikat.
Secara asasnya, mahasiswa perlu mempersiapkan diri mereka bukan sahaja ilmu akademik yang berkaitan dengan bidang pengajian mereka, malahan mereka juga perlu mempunyai ilmu di luar bidang kajian (pengetahuan am). Ini akan melahirkan mahasiswa yang berfikir di luar kotak kerana tidak statik pada satu ilmu sahaja. Perlu diketahui, mahasiswa akan keluar bekerja dengan masyarakat dan syarikat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, pemikiran, taraf pendidikan, agama, dan budaya. Inilah faktor kenapa mahasiswa perlu mempelajari dan mengetahui ilmu-ilmu di luar dari bidang mereka agar kehadiran mereka diterima umum.
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang (UMP)
e-mel: hasnah@ump.edu.my
- 2142 views