Skip to main content

UMPSA tingkatkan kualiti Program Pendidikan Berasaskan Kemahiran TVET

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk memenuhi permintaan industri di Malaysia. Sebagai institusi teknologi yang terkemuka, UMPSA komited untuk menghasilkan graduan yang berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi tuntutan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0). 

Melalui program TVET, universiti ini bukan sahaja menyediakan pendidikan berteraskan kemahiran teknikal tetapi turut menyumbang kepada pengembangan modal insan yang mampu memenuhi permintaan pasaran yang semakin mencabar. Untuk memastikan TVET di UMPSA kekal relevan, program ini harus terus diperbaiki dari semasa ke semasa.

Sumber: Buletin UMPSA
Sumber: Buletin UMPSA

UMPSA dapat menguatkan program TVET dengan menyusun kurikulum yang sesuai dan memenuhi kehendak industri terkini. Dalam dunia yang pantas berubah, kurikulum yang mengikut perkembangan teknologi terkini sangat penting untuk memastikan graduan memiliki kemahiran yang relevan. Kerjasama erat dengan sektor industri juga membantu universiti ini menyusun kurikulum yang memenuhi keperluan sebenar di lapangan pekerjaan. Melalui pendekatan ini juga, para pelajar lebih bersedia untuk menghadapi dunia pekerjaan dan mampu memberikan sumbangan positif kepada industri masing-masing.

Sumber: Akhbar Berita Harian
Sumber: Akhbar Berita Harian

Teknologi seperti simulasi, realiti maya (VR), dan realiti tambahan (AR) juga wajar diintegrasikan ke dalam program TVET di UMPSA. Penggunaan teknologi ini dalam pembelajaran memberi pelajar pengalaman praktikal yang lebih nyata. Dengan VR dan AR, pelajar dapat menguasai kemahiran teknikal dalam persekitaran yang lebih terkawal, terutamanya dalam bidang berisiko tinggi seperti Kejuruteraan Mekanikal. Di samping itu, teknologi IR 4.0 seperti  pengkomputeran  awan  dan  pembelajaran  mesin  turut  perlu diterapkan bagi memastikan pelajar bersedia menghadapi teknologi terkini di lapangan pekerjaan.

Kerjasama strategik dengan pelbagai sektor industri juga amat penting untuk memastikan pelajar TVET di UMPSA mendapat latihan industri yang berkualiti. Program latihan industri membolehkan pelajar memahami realiti dunia pekerjaan sebenar sambil mengaplikasikan kemahiran yang telah dipelajari. UMPSA boleh memperkukuh hubungan dengan syarikat dalam sektor pembuatan, automotif, dan teknologi hijau bagi menawarkan lebih banyak peluang latihan kepada pelajar. Menerusi kerjasama ini, pelajar akan lebih bersedia dan cepat menyesuaikan diri apabila mula bekerja kelak. 

Selain itu, UMPSA juga turut menjemput pakar industri sebagai pensyarah jemputan atau penasihat program. Kehadiran pakar ini mampu memberikan wawasan yang lebih mendalam kepada pelajar tentang perkembangan terbaharu dalam industri, sekali gus membantu mereka memahami cabaran yang dihadapi dalam pelbagai sektor. Di samping itu juga, input daripada pakar ini memberi manfaat kepada pelajar dalam membuat keputusan kerjaya yang lebih bijak dan membantu mereka memahami keperluan industri yang sebenar.

Sumber: Portal Rasmi UMPSA
Sumber: Portal Rasmi UMPSA

Untuk menyokong pembelajaran sepanjang hayat, UMPSA juga boleh menawarkan kursus lanjutan, diploma tambahan, atau pensijilan khusus kepada graduan TVET yang ingin meningkatkan kemahiran mereka. Ini membolehkan graduan kembali ke universiti untuk mempelajari kemahiran baharu atau memperbaharui pengetahuan mereka mengikut perkembangan teknologi dan industri terkini. Laluan pembelajaran berterusan ini juga membantu graduan dalam meningkatkan peluang kerjaya dan memastikan mereka kekal relevan dalam pasaran kerja.

Kemahiran keusahawanan juga wajar dipupuk dalam kalangan pelajar TVET di UMPSA. Kemahiran ini memberi peluang kepada pelajar bukan sahaja bergantung kepada pekerjaan dalam industri tetapi juga memulakan perniagaan sendiri. UMPSA boleh menawarkan modul khusus dalam keusahawanan dan menjalankan bengkel serta sesi bimbingan bersama usahawan yang berjaya. Pendekatan ini dapat membantu pelajar memanfaatkan kemahiran yang dipelajari dan melihat potensi untuk membina perniagaan mereka sendiri.

Selain kemahiran teknikal dan keusahawanan, UMPSA turut memberi perhatian kepada kelestarian dalam program TVET. Elemen kelestarian diterapkan dalam setiap kursus TVET melalui modul yang menekankan amalan hijau, pengurusan sisa, dan penggunaan tenaga bersih. Pelajar akan didedahkan kepada kepentingan kelestarian dan memahami bagaimana amalan mesra alam boleh diterapkan dalam kerjaya mereka. Fokus kepada kelestarian bukan sahaja membantu menjaga alam sekitar tetapi juga selaras dengan matlamat negara untuk mencapai pembangunan lestari menjelang tahun 2030.

Sumber : Buletin UMPSA
Sumber : Buletin UMPSA

Secara keseluruhannya, TVET di UMPSA mempunyai potensi besar untuk berkembang dan menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi di Malaysia. Dengan pelbagai inisiatif yang telah dan akan dilaksanakan, UMPSA berada di landasan yang kukuh untuk menjadi institusi pendidikan TVET yang terkemuka di Malaysia. Komitmen universiti dalam memperkasakan TVET menunjukkan kesungguhan mereka dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Kesimpulannya, program TVET di UMPSA perlu diperkukuh dengan penambahbaikan berterusan dan kerjasama erat dengan pihak industri. Langkah-langkah ini akan memastikan graduan TVET dari UMPSA dilengkapi dengan kemahiran yang relevan, berdaya saing, dan mampu memberikan sumbangan kepada pembangunan negara.

Ts. Dr. Azamuddin Ab. Rahman
Ts. Dr. Azamuddin Ab. Rahman

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Komputeran, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

E-mel: azamuddinrahman@umpsa.edu.my

Reports by:
Admin UMP News