Skip to main content

UMPSA Universiti Gemilang Cipta, Cinta, Citra Sejarah Tercipta

Universiti Malaysia Pahang (UMP) ataupun boleh kita banggakan dengan penjenamaan nama baharu universiti ini yang juga kini dikenali sebagai Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).1 Terdahulu, UMPSA yang dikenali sebagai UMP ialah universiti yang berasaskan teknikal2 yang menawarkan para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pelajar lepasan diploma dan setaraf dengannya untuk meneruskan pengajian mereka ke bidang kemahiran teknikal yang berteraskan kejuruteraan dan juga teknologi yang beraras tinggi.

Walaupun pada asasnya UMPSA ini membawa nama yang mepersembahkan fokusnya kepada kejuruteraan dan teknologi yang jelas melambangkan usaha untuk membangunkan kemodenan tamadun manusia tetapi, universiti ini juga tidak mengetepikan aspek membangunkan dan membentuk lalu melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang penuh dengan nilai kemanusiaan. Perkara ini selaras dengan gagasan Falsafah Pendidikan Negara, yang ingin melahirkan seseorang cerdik pandai itu bukan sahaja dalam aspek intelektual pemikirannya sahaja, tetapi juga seseorang cerdik pandai yang juga bijak dalam mengurus empati, simpati dan juga ihsan kepada manusia lain.3

UMPSA Universiti Gemilang Cipta, Cinta, Citra Sejarah Tercipta

Universiti gemilang cipta merupakan sebuah frasa yang tidak keterlaluan jika dikatakan sangat sinonim dengan budaya UMPSA itu sendiri. Budaya UMPSA yang menjadi perintis kepada lahirnya masyarakat-masyarakat yang berjiwa mencipta dan membina sesebuah teknologi. Perkara ini mendorong kepada wujudnya inovasi- inovasi teknologi baharu dalam pelbagai bidang dan industri teknologi. Hal ini dapat dibuktikan apabila UMPSA telah berjaya menjadi universiti tahap global yang baik di antara universiti tempatan dan juga universiti antarabangsa dalam bidang inovasi, kejuruteraan (engineering), kimia (chemistry) dan juga hal perihal berkaitan penghasilan inovasi teknologi.
 

Selain daripada mendapat pengiktirafan dan kedudukan yang baik dalam subjek-subjek teras inovasi dan bidang teknologi, UMPSA juga tidak ketinggalan dalam menghasilkan sesebuah inovasi-inovasi baharu yang mampu menyaingi inovasi baharu negara-negara maju yang lain. Terbaharu, Pengarah, Penerbit UMPSA yang juga merupakan pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Ir. Ts. Dr. Norazlianie Sazali telah berjaya menghasilkan inovasi mentega tulen dalam teknologi makanan yang secara tidak langsung dapat membantu industri tenusu negara. Perkara-perkara ini telah jelas menggambarkan bahawa UMPSA ini sangat dekat dengan frasa universiti gemilang cipta.

Berkata soal gemilang cipta, bukan nilai teknologi moden sahaja yang dikejar oleh UMPSA. Apakah maksud nilai kemajuan tanpa adanya nilai gemilang cipta kemanusiaan yang tinggi. Sebagai seorang mantan ataupun alumni UMPSA sendiri, tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa, UMPSA ini bukan sahaja gemilang cipta dalam menghasilkan inovasi teknologi tetapi juga gemilang cipta dalam menghasilkan modal insan insaniah.

UMPSA Universiti Gemilang Cipta, Cinta, Citra Sejarah Tercipta

Terdapat beberapa aktiviti yang diterapkan di UMPSA yang mampu mencipta keperibadian manusia yang tinggi. Sebagai contoh program-program kesukarelawanan di bawah pelbagai badan dan persatuan yang diwujudkan di UMPSA merupakan bukti bahawa universiti ini tidak hanya mengejar ketertinggian kebendaaan (materialistic) sahaja tetapi juga mementingkan aspek kemenjadian manusia. Gabungan gemilang cipta inovasi teknologi bersama-sama gemilang cipta manusiawi menjadikan UMPSA sebagai sebuah universiti yang mampan budaya gemilang ciptanya.

Cinta merupakan sebuah perkataan yang begitu besar dan membawa persepsi yang begitu variasi. Cinta merupakan pemula kepada tindak-tanduk dan gerak-geri manusia untuk melakukan sesebuah tindakan. Cinta merupakan tenaga yang membawa seseorang ke sesebuah tempat, mewujudkan sesuatu yang tidak ada dan cinta juga merupakan sebuah wadah usaha yang tidak kenal erti penat lelah dan pengakhiran jalan. Cinta menjadikan UMPSA ini sebuah universiti yang harmoni. Para pelajarnya yang sebelum hadir ke UMPSA membawa cinta inovasi, lalu diperkuatkan perasaan cinta akan teknologi dan inovasinya itu oleh para tenaga pengajar UMPSA.

Cinta kepada inovasi dan juga teknologi yang didukung oleh warga UMPSA merupakan kekuatan kepada universiti ini sendiri. Cinta ini menjadikan UMPSA sebuah universiti yang hebat dalam bidangnya. Cinta di UMPSA tidak terhenti kepada inovasi dan teknologi, tetapi sesiapa yang hadir di UMPSA pasti juga melihat cinta sesama manusia dengan aktiviti dan program yang membina keperibadian yang tinggi. Cinta di UMPSA juga mempengaruhi cinta terhadap alam. Dalam keterlajuan inovasi pembuatan, UMPSA tidak mengetepikan inovasi yang membantu kelestarian alam semulajadi. Perkara ini mempersembahkan bahawa, cinta di UMPSA itu bersifat harmoni.

UPMSA yang terkenal dengan membawa nama universiti teknikal, inovasi dan teknologi dengan keharmonian aspek lain yang diterapkan, seperti universiti yang melahirkan kemenjadian manusia dalam aspek personaliti yang baik dan universiti yang menghormati alam semula jadi ini sudahpun menjadi citra sejarah buat warga Malaysia. Dengan nilai-nilai yang sedia ada ini dan dengan penambahbaikan dari semasa ke semasa yang dilakukan oleh UMPSA, perkara ini sudah pasti akan terus membantu UMPSA untuk membina citra sejarahnya yang hebat yang setersunya.

Bagi sisi citra sejarah diri sendiri yang merupakan wakil kepada alumni UMPSA sendiri, citra sejarah saya sendiri telahpun tercipta di UMPSA. Citra sejarah yang diberikan oleh UMPSA kepada saya bukan merupakan gambaran sejarah yang boleh diambil dan dibaca daripada mana-mana buku, tetapi gambaran sejarah yang diberikan oleh UMPSA ini merupakan gambaran yang lengkap. Lengkap untuk menjadikan seseorang sarjana itu manusia. Manusia yang bukan sahaja mampu membina inovasi dan teknologi malah manusia yang mampu membangunkan kemanusiaan yang baik.

1. Asrol Awang. My Metro. UMP Kini Dikenali UMPSA. 30 Julai 2023. Diperoleh daripada: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/07/993523/ump-kini-dikenali-ump…
2. Portal Rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah. UMP Kini UMPSA. Diperoleh daripada: https://news.ump.edu.my/experts/ump-kini-umpsa.
3. Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Diakses pada: 29 Ogos 2023. Diperoleh daripada: https://www.moe.gov.my/index.php/dasarmenu/falsafah-pendidikan- kebangsaan

Disediakan oleh: Nur Aini Safiah Binti Abdullah Saidi
Penulis adalah alumni Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 
E-mel: ainisafiah2611@gmail.com

Reports by:
Admin UMP News