101 anak staf UMP teruja terima kelengkapan pakaian sekolah baharu
Kuantan, 18 Disember- “Terima kasih UMP” itulah ucapan kegembiraan yang lahir daripada salah seorang daripada 55 staf Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang melibatkan 101 penerima sumbangan Program ‘Back to School 2019’ anjuran anjuran Yayasan UMP dengan kerjasama Jabatan Pendaftar UMP dan Etiqa Family Takaful Berhad di UMP Gambang baru-baru ini.
Bapa kepada empat penerima sumbangan kelengkapan pakaian sekolah ini merupakan Pemandu UMP, Kaharuddin Abdul Karim berkata, tiada apa yang dapat diucapkan melainkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak universiti dan Etiqa di atas sumbangan yang diterima.
“Terharu dengan keprihatian pihak universiti dalam meringankan beban dari segi pembelian pakaian sekolah dan peralatan persekolahan apabila memasuki sesi persekolahan nanti, tambahan peningkatan kos sara hidup ketika ini yang tidak hanya menyaksikan harga makanan naik, malah turut membabitkan kelengkapan sekolah," katanya. Beliau berharap program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang dan lebih ramai yang berpendapatan rendah dapat menerima manfaat dari program ini.
Hadir menyampaikan kelengkapan persekolahan itu telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa ), Prof Ts Dr Mohd Rosli Hainin kepada 101 penerima bantuan kelengkapan pakaian sekolah bertempat di Blok W, UMP Gambang. Hadir sama Pro Pendaftar, Abd. Rahman Safie dan Presiden Kesatuan Kakitangan Sokongan UMP (KESUMP), Abd. Latip Haji Deris.
Dalam ucapan Prof Ts Dr Mohd Rosli Hainin berkata, Program ‘Back to School 2019’ merupakan inisiatif Yayasan UMP dengan kerjasama Jabatan Pendaftar dan Etiqa Family Takaful Berhad yang cakna terhadap tanggungjawab UMP dalam menjaga kebajikan staf terutamanya yang memerlukan bantuan. Selain itu, ianya dapat meringankan beban staf terutamanya menjelang sesi persekolahan dengan menyumbang bantuan kelengkapan persekolahan kepada anak-anak yang memerlukan.
“Usaha ini salah satu inisiatif universiti dalam membantu warga UMP dengan usaha mewujudkan Tabung Kebajikan Staf di bawah Yayasan UMP. Penglibatan pelbagai pihak untuk tampil menyumbang dan menderma melalui dana Yayasan UMP berupaya melestarikan ekosistem sedekah dan amal jariah, khususnya untuk manfaat warga UMP dan masyarakat lain amnya,” katanya. Program “Back To School” ini juga telah dilaksanakan dengan membantu seramai 200 anak-anak asnaf di sekitar Pekan dan Gambang.
Pada kesempatan ini, anak-anak staf juga berpeluang melawat sekitar kampus universiti dan berkunjung menyaksikan koleksi bahan penyelidikan dan informasi temtang UMP di galeri universiti.
Disediakan Nor Salwana Mohd Idris daripada Bahagian Komunikasi Korporat
- 69 views