Skip to main content

190 Warga UMPSA sertai Majlis Khatam al-Quran dan World #QuranHour

PEKAN, 13 Mac 2026 – Seramai 190 warga Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berhimpun di Masjid Al-Jazari, UMPSA Pekan bagi menjayakan Majlis Khatam al-Quran dan World #QuranHour yang berlangsung pada 10 Ramadan terakhir di Masjid Al-Jazari, UMPSA Pekan. 

Program anjuran Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) UMPSA itu bertujuan mengimarahkan bulan Ramadan serta menggalakkan warga kampus untuk lebih mendekati dan mentadabbur al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan seharian.

Majlis dimulakan dengan bacaan khatam al-Quran yang dipimpin oleh Ustaz Md Abdu Sahak, diikuti dengan bacaan tilawah al-Quran oleh Ustaz Muhammad Fahmi Akmal Badrulisham sebelum diteruskan dengan sesi World #QuranHour Tadabbur Surah al-Muzzammil yang disampaikan oleh Ustaz Mohamad Rozie Rejab.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias dalam ucapan perasmiannya berkata, penganjuran program seperti ini memberi ruang kepada warga universiti untuk berhenti seketika daripada kesibukan harian dan kembali mendekati kalam Allah SWT.

“Program World #QuranHour ini mengingatkan kita bahawa walaupun hanya satu jam diperuntukkan untuk bersama al-Quran, namun impaknya sangat besar dalam membentuk jiwa, akhlak dan cara kita melihat kehidupan.

“Al-Quran merupakan sumber panduan yang sentiasa relevan sepanjang zaman.

“Sesungguhnya amat mengagumkan bahawa satu surah yang diturunkan lebih 1,400 tahun lalu masih berbicara secara langsung kepada keadaan dunia dan kehidupan manusia pada hari ini,” ujarnya.

190 Warga UMPSA sertai Majlis Khatam al-Quran dan World #QuranHour

Tambahnya lagi, penghayatan terhadap al-Quran bukan sahaja perlu diamalkan secara individu, malah wajar diterapkan dalam budaya kehidupan warga universiti.

“Melalui tadabbur dan penghayatan al-Quran, kita dapat membina peribadi yang lebih berintegriti, berakhlak mulia serta mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara,” katanya.

Turut hadir ialah Mudir Pusat Pengajian Ribat Al-Musthofa dan Ribat Az Zahra Al-Batul, Ustaz Haji Muhamad Awais al-Qarni Abdul Rahman, Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan UMPSA, Dr. Ahmad Irfan Ikmal Hisham dan Imam Masjid Daerah Muadzam, Al-Fadhil Ustaz Mohd Fadzli Ishak.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri