Kayuhan Berbasikal Go Green inisiatif penghijauan kampus
PEKAN, 24 Oktober 2021 - Program Kayuhan Go Green Bersama Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Pahang (UMP) anjuran Yayasan UMP baru-baru ini memberi pendedahan terhadap kepentingan penjagaan kesihatan melalui aktiviti berbasikal di dalam kampus dan sebagai amalan terbaik dalam usaha menyokong agenda penghijauan kampus.
Kayuhan yang diketuai oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman sejauh 2 kilometer ini turut disertai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan pengurusan tertinggi UMP.
Program yang disertai seramai 40 staf itu bermula dari Canseleri Tun Abdul Razak menuju ke Rimba Lestari UMP.
Menerusi kayuhan itu juga berjaya mengurangkan penghasilan karbon dioksida sebanyak 188 kg CO2.
Amalan teknologi hijau ini juga dapat meminimumkan degradasi terhadap alam sekitar, memulihara tenaga dan sumber semula jadi serta menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.
Menurut Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz, inisiatif penghijauan kampus UMP juga melibatkan kawasan penanaman pokok, kawasan hutan dan kawasan lapang yang ditumbuhi tumbuhan semula jadi.
“Pada masa ini, sebanyak 27.5 peratus telah digazetkan sebagai kawasan hijau di dalam kawasan kampus dalam mewujudkan suasana kampus yang nyaman, teduh, rendang, dan seterusnya dapat mengurangkan pemanasan global.
“UMP dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan NGO lain juga turut giat menjalankan penanaman pokok di dalam UMP termasuklah tanaman aromatik dan perubatan, spesies asli, spesies yang cepat tumbuh, spesies yang memberikan naungan dan juga pokok yang dapat tumbuh di ekosistem pesisir semula jadi sehingga mencecah 7,000 anak pokok,” katanya.
Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz turut diberi penerangan mengenai perkembangan Rimba Lestari, pondok wakaf dan kawasan hijau UMP oleh Pengurus Kanan, Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH), Ernie Nurazlin Lizam dan jurutera, Ts. Mohd. Nurulakla Mohd. Azlan.
Dalam pada itu, Pusat Reka Bentuk dan Inovasi Teknologi sedang menjalankan projek geran pembangunan produk UMP Rimba Lestari Smart Irrigation System menggunakan dana permulaan sebanyak RM38,000 bagi membangunkan teknologi berkaitan penggunaan sumber bekalan air bawah tanah dan kolam tadahan atau air tasik bagi memastikan tanaman mendapat bekalan air yang secukupnya.
Rimba Lestari 1 merupakan projek kerjasama antara UMP dan terletak di antara bangunan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM).
Di sini terdapat pondok wakaf yang dilengkapi teknologi asas sistem solar.
Sistem ini digunakan untuk menghidupkan lampu 18W LED dan para pengguna boleh mengecas telefon.
Ia turut dilengkapi dengan bateri VRLA iaitu bateri yang digunakan oleh sistem solar dan mampu bertahan sehingga lima tahun.
Solar pondok wakaf ini mampu menghasilkan tenaga anggaran sebanyak 1.3 kw sehari bagi kegunaan wakaf ini, bersamaan pengurangan 1 kg CO2 sehari.
Sehingga kini, terdapat 20 pondok wakaf di UMP Gambang dan Pekan yang telah dilengkapi dengan sistem solar.
Para pelajar berpeluang menggunakan kemudahan di sini dan merentasi laluan denai di Rimba Lestari ini sambil menikmati keindahan alam semula jadi.
Pelan kampus lestari yang sedang dibangunkan UMP ini akan memberi pengalaman kehidupan gaya kampus kepada warga UMP.
Ia juga melibatkan pembangunan mampan dan fasiliti hijau, penjimatan tenaga dan sumber air, kampus hijau, pengangkutan yang cekap, pengurusan sisa organik, bukan organik dan terjadual, teknologi lestari serta kampus selamat.
Turut berlangsung Prapelancaran Tour De Pahang Kayuhan 900 km menjelang Sambutan 20 tahun UMP dan Tok Gajah Virtual Challenge yang merupakan salah satu usaha Yayasan UMP dalam mengumpul dana bagi setiap tabung dan endowmen bagi membantu pelajar dan golongan komuniti.
Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 167 views