Kisah Mohd Akmal berjaya genggam PhD jadi inspirasi
KUANTAN, 28 September 2021 – Bermula dengan hanya berkongsi gambar di dalam aplikasi WhatsApp yang bertujuan untuk berkongsi kegembiraan kerana dapat menyelesaikan kajian tesisnya telah memberikan kejutan apabila kisahnya mula tular di media sosial beberapa hari ini.
Menurut Mohd Akmal Azhar, 36 pelajar Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Teknologi Farmaseutikal, Universiti Malaysia Pahang (UMP) ini, beliau yang bekerja sambilan sebagai penghantar makanan FoodPanda hanya berkongsi kegembiraan apabila usahanya selama empat tahun menyiapkan tesis berjaya diselesaikan.
“Namun, pada asalnya saya rasa tidak selesa apabila kisah ini mula tular dan beranggapan ia mungkin dapat memberi inspirasi kepada orang lain,” katanya.
Menurut anak kelahiran Selangor ini lagi, beliau bersyukur kerana dapat menyelesaikan kajiannya berkaitan penghasilan produk probiotik dalam bentuk tablet yang mempunyai ketahanan dari asid dalam perut.
“Pada tiga tahun pertama saya sememangnya fokus dalam tugasan di makmal.
“Pada tahun keempat pula, saya mula menulis tesis dan memandangkan pada waktu itu negara dilanda pandemik COVID-19, saya memilih untuk bekerja pada waktu siang sebagai penghantar makanan untuk menambah pendapatan di samping menyiapkan penulisan tesis pada waktu malam,” katanya.
Berkongsi pengalamannya sebagai penghantar makanan, walaupun kerjaya ini kelihatan seperti remeh, namun tugas ini juga bukan mudah kerana sebagai frontliner mereka juga berdepan dengan risiko jangkitan COVID-19 demi memenuhi hasrat pelanggan.
“Selain itu, kita boleh meningkatkan kemahiran soft skill dan teknik berkomunikasi yang baik dengan pelanggan, memupuk sikap positif, sabar dan bijak dalam pengurusan masa.
“Apa yang penting, sesibuk mana pun kita, kita perlu sentiasa menjaga hubungan dengan Allah SWT.
“Setiap kejayaan kita bukan kerana kita hebat, namun Allah SWT yang memudahkan segala urusan sehingga dapat mencapai matlamat,” ujar bapa kepada lima cahaya mata ini.
Jelasnya lagi, setiap kejayaan juga adalah berkat doa ibu bapa.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada UMP terutamanya penyelia saya, Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim yang banyak membantu dalam kajian ini.
“Tidak dilupakan juga kepada isteri, Noor Akma Abdul Wahab yang banyak berkorban dan memahami serta sentiasa memberi dorongan sepanjang menggalas tanggungjawab sebagai pelajar dan penghantar makanan,” katanya.
Beliau turut mengharapkan agar dapat diberi peluang untuk terus mencapai cita-citanya dalam bidang akademik pada masa akan datang.
Beliau turut menasihati para pelajar UMP agar dapat menghargai masa dan jangan leka.
“Walaupun negara dilanda pandemik, ia bukan penghalang untuk kita mengukir kejayaan yang cemerlang,” katanya.
Disediakan oleh: Nor Salwana Hj. Mohammad Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 1094 views