Kolaborasi Mahasiswa UMP dan UMK santuni pelajar minat STREAM
Pengkalan Chepa, 28 April- Seramai 40 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) bergabung bersama mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menjayakan Program Life & Journey @ Pengkalan Chepa bagi memupuk minat pelajar terhadap dunia Sains dan Teknologi serta memberikan motivasi untuk meningkatkan prestasi dalam pembelajaran khususnya kepada pelajar Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa.
Program dianjurkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMP dengan kerjasama dengan Komuniti Sukarelawan Mahasiswa (KOSUM) UMK dan Kelab Wataniah UMP membabitkan seramai 80 pelajar di sekolah ini.
Usahasama ini mampu meningkatkan jaringan kolaborasi dan kerjasama kedua-dua pihak selain memperkasakan budaya Sains dan Teknologi dan reka cipta dalam kalangan pelajar sekolah.
Menurut pengarah program, Ezwan Shah Nordin selaku Exco Kesukarelawan dan Khidmat Komuniti MPP UMP berkata, program ini juga memberi peluang mahasiswa meningkatkan kesedaran dan kemahiran dalam aspek rawatan kecemasan melalui kursus bersama agensi kerajaan.
“Peluang kolaborasi ini diharapkan dapat dimanfaatkan mahasiswa di kedua-dua universiti manakala aktiviti yang dijalankan bersama pelajar sekolah turut menekankan elemen terhadap bidang Sains, Teknologi, Agama, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STREAM),” katanya.
Sementara itu bagi Muhammad Qayyim Mohd Awie selaku Presiden Kelab Wataniah UMP daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, kolaborasi ini memberikan kelebihan buat mahasiswa untuk berkongsi pengalaman dalam menjalankan program terutamanya dalam kepimpinan dan khidmat sosial.
Manakala bagi mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Pushparani A/P Chadayam mengharapkan peluang ini dapat mengeratkan hubungan baik antara mahasiswa universiti selain bertukar pandangan. Namun apa yang lebih menarik ujarnya dapat bertemu dengan pelajar sekolah dan sekaligus mempromosikan universiti.
- 148 views