Lagu ‘Kita Jaga Kita’ nyanyian mahasiswa UMP berunsur nasihat cegah COVID-19
Kuantan, 14 April- Sekumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah menyanyikan semula lagu yang berjudul “Kita Jaga Kita” hasil olahan dari lagu “Sakit” yang popular dan dinyanyikan oleh Zynnakal untuk memberi nasihat kepada rakyat Malaysia dalam berjuang membendung penularan wabak penyakit COVID-19 yang melanda negara di seluruh dunia.
Tampil kreatif mahasiswa yang mempunyai latar belakang akademik dalam bidang kejuruteraan dan teknologi ini terpanggil untuk mencipta sesuatu ketika menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksana di Malaysia sejak 18 Mac lalu.
Mereka terdiri daripada Nur Nissa Halimah Rahmat yang merupakan mahasiswa Fakulti Komputeran bersama dua lagi rakannya iaitu Haris Nufail Shamshul Azri dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif dan Dinie Almatin Asfarin dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam. Mereka juga merupakan dari Kelab Nyanyian Solo, Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian UMP.
Ketika ditemubual, Nur Nissa berkata, terlebih dahulu pihaknya ingin mengucapkan terima kasih kepada Zynnakal yang membenarkan menggunakan lagunya dan penasihat Kelab, Noor Afiza Mohd Azmi yang banyak memberi dorongan buat beliau dan rakan-rakan.
Ujarnya, penghasilan lagu ini sebagai usaha menyahut saranan kerajaan yang menyeru masyarakat agar sentiasa bekerjasama dan bersatu dalam memerangi wabak COVID-19. Beliau turut berkongsi pengalamannya dalam penghasilan lagu tersebut yang mengambil masa sehari.
“Pada awalnya kami mengambil masa selama dua jam untuk menghasilkan lirik yang berunsurkan nasihat. Kami akan menyanyi dan merekodkan di rumah masing-masing. Setelah proses merekod suara selesai kami berhubung dan menghantar bahan melalui e-mel untuk proses seterusnya,” ujarnya.
Walaupun sedang menjalani PKP di rumah, Nur Nissa tinggal bersama keluarga di Johor Bahru, Harris di Perak dan Dinie di Selangor namun, ia bukan penghalang buat mereka menghasilkan lagu ini tambahan pula dengan kemudahan teknologi yang terkini.
Beliau turut menceritakan antara cabaran yang ditempuhi iaitu capaian internet yang terhad namun ia bukan halangan besar. Tambahnya, lagu ini didedikasikan kepada seluruh rakyat Malaysia sebagai tanda penghargaan kepada barisan hadapan yang berjuang memerangi COVID-19.
Harapannya agar lagu ini dapat memberi kesedaran dan peringatan kepada rakyat Malaysia di luar sana. Beliau percaya bahawa pesanan melalui lagu merupakan salah satu pendekatan yang sesuai bagi mereka yang menjalani PKP sama ada di rumah mahu pun di kampus sebagai mengisi masa lapang.
Lagu ini telah dimuat naik di media sosial dan YouTube UMPTV dan dikongsikan di Facebook UMPMalaysia. Di antara seni kata liriknya adalah memohon kerjasama rakyat Malaysia untuk sama-sama perangi COVID-19, janganlah terleka, kesilapan ini bakal menjadi bahaya. Kena hati-hati, COVID-19 mudah dijangkiti dan penyakit ini tidak mudah untuk dihenti.
Dalam pada itu, selain sibuk memberi tumpuan terhadap pengajian masing-masing ketiga-tiga mahasiswa ini turut aktif dalam bidang nyanyian dan sering membuat persembahan di majlis-majlis rasmi universiti.
Lirik Lagu “Kita Jaga Kita”
Ini pesanan untuk semua
Bukalah hati bukalah mata
Ini pesanan untuk semua
Untuk elakkan dari corona
Wahai kawan kawan mari kita beri kerjasama
Bangkit wahai rakyat, marilah jaga Malaysia
Kita perangi corona janganlah kita terleka
Kesilapan ini bakal menjadi bahaya
Bila sorang sakit kena hati hati
Sakit dia bukan sakit sendiri
Covid-19 ini mudah dijangkiti
Penyakit ini tak mudah untuk dihenti
Mengerti
Kita mesti dengar arahan diberi
Kita mesti hentikan penyakit ini
Beri kerjasama jangan penting diri
Oh perintah kawalan, kawalan pergerakan
Jadi tolonglah pesan, aku tolong ingatkan
Duduk saja di rumah, duduk dengan keluarga
Ataupun kawan kawan, oh kita jaga kita
Oh rajinlah kau kerap cuci tangan
Ada barang diperlukan
Biar sorang je dapatkan
Ini pesanan untuk semua
Bukalah hati bukalah mata
Ini pesanan untuk semua
Untuk elakkan dari corona
Penyakit ini tumpas pabila kita kerjasama
Bangkit wahai kawan kita perangi corona
Polis askar doktor misi semua dah jaga negara
Just stay at your home guys kita jaga kita
Oh virus di serata
Jangan buat taktahu
Jangan kau buat gila
Semua pun kau sapu
Dah mayat berterabur
Kau masih takmengerti
Sampai kena sendiri
Baru nak takut mati
Biar kau buta mata
Jangan diminta maut
Maut tak kenal siapa
Nanti kau kecut perut
Biar harta tak mewah
Asalkan tak merungut
Diam saja dirumah
Buat apa yang patut
Lagu asal: Sakit oleh Zynakal
Lirik :
-Nur Nissa Halimah binti Rahmat
-Haris Nufail bin Shamshul Azri
Penyanyi & Editor :
-Nur Nissa Halimah binti Rahmat
(Tahun 3 - Fakulti Komputeran)
-Haris Nufail bin Shamshul Azri
(Tahun 1- Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif)
-Dinie Almatin bin Asfarin
(Tahun 1 - Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam)
Video : Kumpulan Seni Suara Aural Adrenalin, Sekretariat Kebudayaan & Kesenian UMP dengan kerjasama Pusat Sukan & Kebudayaan UMP.
Berita disediakan oleh Nor Salwana Mohd. Idris daripada Unit Perhubungan Awam Pejabat Naib Canselor.
- 2555 views