Skip to main content

Mahasiswa UMP tenang di kampus

Kuantan, 23 Mac- Keselamatan dan kesihatan membabitkan seramai hampir 1000 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang tinggal di kedua-dua kampus sama ada di dalam mahupun di luar kampus sentiasa menjadi keutamaan pihak universiti. 

Dengan kemudahan kafeteria dan kedai runcit yang beroperasi mulai jam 7 pagi hingga 7 malam serta kemudahan internet di kampus pastinya melegakan pelajar yang kini sedang mengikuti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di dalam kampus.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Dr Yuserrie Zainuddin berkata, dalam tempoh PKP ini, pihak universiti menyediakan makanan percuma buat pelajar dan makanan kering turut diagihkan daripada Campus Pantry mahupun sumbangan daripada pihak luar. Mereka juga dibekalkan keperluan asas seperti sabun dan shampoo untuk kebersihan diri.

“Pada masa pematuhan pengawalan pengerakan ini tidak membenarkan pelajar berkumpul dan mereka kerap diingatkan untuk sentiasa mengawasi jarak sosial termasuklah ketika mengambil makanan. 

Di kampus mereka bebas menjalankan aktiviti masing-masing dan pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) turut menganjurkan program bersifat online dengan menggunakan komputer seperti pertandingan video pendek dan sukan ESports,” katanya.

Beliau mengharapkan para ibu bapa dan keluarga tidak perlu bimbang keadaan anak mereka selagi mereka berada di dalam kampus. Pihak universiti sentiasa memastikan pelajar mematuhi peraturan dan garis panduan serta mengikut piawaian yang ditentukan semasa berurusan di UMP.

Ujarnya, pelajar yang mempunyai gejala tidak sihat boleh ke Pusat Kesihatan Universiti (PKU) yang beroperasi setiap hari dan pihak keselamatan berkawal  24 jam dalam memastikan keselamatan dan pergerakan keluar masuk pelajar.  Selain itu, bangunan kolej kediaman dicuci setiap hari bagi memastikan kebersihan berada pada tahap terbaik.

Pihaknya menghargai sumbangan yang diterima daripada pihak luar termasuklah daripada ahli parlimen Paya Besar YB Mohd. Shahar Abdullah, Yayasan Sabah, pihak NGO, Food Hunger dan Fakulti Teknolgi Kejuruteraan Kimia & Proses UMP yang menyumbang makanan pagi, tengahari dan malam buat pelajar termasuk yang berada di luar kampus.

Bagi memastikan kawalan keselamatan dan kesihatan warga kampus, para penyumbang dan para pelajar luar kampus yang menyewa di luar hanya dibenarkan berurusan di hadapan pondok pengawal UMP selain mengawal jarak sosial sebagai mematuhi arahan PKP dalam kampus.

Bagi mahasiswa Fakulti Komputeran, Aishah Umairah Sutrisno Karsono Sadiam yang berasal dari Kampar Perak, pada awalnya dirinya cemas memandangkan tidak pernah berdepan dengan situasi sebegini. Kerisauan terhadap penularan wabak  Covid-19 ini menyebabkan beliau membuat keputusan untuk tinggal di kampus sahaja walaupun kebanyakan pelajar lain bercuti semester di kampung.

Katanya, masanya banyak dimanfaatkan dengan membaca buku, mengemas bilik ataupun mengasah bakat dalam bidang seni. Setakat ini segala kemudahan mencukupi dan para pelajar yang tinggal di kampus tiada masalah dengan kemudahan yang disediakan kerana kafetaria dan PKU masih lagi dibuka seperti biasa.  

Manakala bagi Mohd Asraf Andman, 23 pelajar Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Kolej Kejuruteraan yang berasal dari Sabah berkata, pelajar  selamat dan tenang tinggal di kampus. 

Tiada kerisauan tentang makanan kerana mereka terutamanya pelajar Sabah menerima bantuan oleh Kerajaan Negeri Sabah melalui Pejabat Perhubungan Negeri Sabah di Kuala Lumpur. Pihak UMP juga ada memberi membantu pelajar dengan agihan “Food Kit” sebagai makanan sampingan.

Selain membuat ulangkaji, banyak masanya digunakan melayari internet serta mengakses permainan “online” (Games). Beliau sendiri akan memastikan amalan jarak selamat (social distancing), kerap membasuh tangan dan guna face mask untuk mengelakkan jangkitan wabak Covid-19. Pelajar perlu menjaga kesihatan diri dan memperbanyakkan minum air mineral atau air masak pada ketika cuaca panas seperti sekarang ini.

Begitu juga dengan Mohammad Nur Syukri Mohammad Zandri, 22, mahasiswa Jabatan Kejuruteraan Elektrik yang juga berasal dari negeri Sabah berkata, pada mulanya beliau rasa cemas tentang perintah kawalan pergerakan ini disebabkan ada rakan-rakannya yang telah kembali ke kampung untuk bercuti semester. Namun memikirkan tentang berbahaya untuk balik pada waktu ini menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk tinggal di kampus.

“Antara aktiviti yang dapat saya lakukan adalah membaca buku, menonton ‘movie’ dan paling utama dapat tidur yang cukup serta menikmati kemudahan yang diberikan,” ujarnya yang bersyukur kerana menerima bantuan daripada kerajaan negeri Sabah dan UMP sendiri.

Pesanan buat ibu bapanya yang berada di rumah agar mereka tidak perlu risau kerana UMP masih lagi selamat dan makanan masih cukup. Mohammad Nur Syukri turut menasihatkan pelajar UMP yang berada di mana sahaja agar menjaga kesihatan dan kebersihan serta melakukan perkara yang berfaedah pada masa ini.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri