Menteri Pengajian Tinggi bertemu mahasiswa dan pensyarah UMP bincang PdP Pasca Covid-19
Kuantan, 14 Jun 2020 – Kunjungan Menteri Pengajian Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Dr. Noraini Ahmad bersama delegasi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ke Universiti Malaysia Pahang (UMP) baru-baru ini adalah bagi memberi peluang mahasiswa UMP untuk menyalurkan pandangan, cadangan dan mendapatkan maklum balas secara terus berkaitan isu semasa berkaitan pasca COVID-19 khususnya dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).
Ia adalah sebagai usaha untuk menambah baik aspirasi dan hasrat KPT terutamanya dalam negara masih berdepan dengan penularan wabak Covid-19 ini.
Pada masa yang sama, Dato’ Dr. Noraini turut bertemu dengan para akademik UMP bagi mengetahui senario sepanjang PdP secara dalam talian dan persiapan para pensyarah berdepan norma baharu pada ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Turut sama hadir Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan dan Pengurusan, Rosli Yaakub dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dato’ Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak.
Delegasi disambut mesra Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMP, Profesor Ts. Dr. Rosli Hainin dan pengurusan tertinggi UMP serta pelajar.
Menurut Dato’ Dr. Noraini, pihaknya menghargai komitmen UMP sebagai penyelaras dan Ketua Zon Timur yang bukan sahaja menguruskan pelajar di negeri Pahang malahan membabitkan pelajar di negeri Terengganu dan Kelantan.
“Dengan kerjasama semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT), KPT telah berjaya menguruskan hampir 60 ribu pelajar pulang ke kampung masing-masing.
“Manakala seramai 10,300 orang pelajar pula telah dihantar pulang oleh UMP.
“Selain itu, ketika kita berdepan dengan situasi pandemik Covid-19 ini, sama ada bersedia atau tidak, pendigitalan atau pembelajaran secara dalam talian perlu dilaksanakan segera dalam masa yang pendek,” ujar beliau.
Tambah beliau lagi, terdapat keperluan dalam menambah baik infra di IPT terutamanya capaian internet, lipuan wifi, peranti mudah alih dan banyak lagi.
“Pihak KPT telah menjalankan kerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan pihak lain dalam usaha mendapatkan bantuan bagi kemudahan pelajar menjalankan PdP dalam talian.
“Usaha dan gerak kerja ini sedang dijalankan,” katanya.
Bagi Naib Yang di-Pertua Pembangunan Mahasiswa Majlis Pewakilan Pelajar 2019/2020 UMP, Nik Atirah Nik Mahdi yang berpeluang bertemu dengan Menteri Pengajian Tinggi menganggap program ini merupakan satu medium yang sangat baik memandangkan program tersebut dilakukan secara santai.
Sementara itu, rakannya, Muhammad Aizat Azed yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Kejuruteraan Awam, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) pula menganggap program ini merupakan peluang keemasan kepada pelajar untuk berjumpa dengan YB Menteri Pengajian Tinggi yang turun padang mendengar luahan hati pelajar hadapi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga kini.
Jelasnya, beliau amat tertarik dengan sikap Dato’ Dr. Noraini yang menyantuni pelajar secara santai sambil menikmati sarapan pagi.
“Pendekatan ini sangat mesra dan dekat di hati pelajar,” katanya.
Menurut salah seorang pensyarah UMP yang merangkap Timbalan Presiden Persatuan Kakitangan Akademik (PAKAD), Mohd Hairul Ab Rahim pula, perjumpaan ini banyak membincangkan situasi dan maklum balas penjalanan operasi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Perhubungan Awam, Pejabat Naib Canselor
- 231 views