Skip to main content

Pelajar sekolah calon UPSR timba pengalaman kampus, cakna alam siber

Pekan, 17 Julai - Seramai 171 orang pelajar tahun 6 daripada tujuh buah sekolah sekitar Pekan dan Kuantan telah menyertai program Empower Edu-tour & Socio Outreach UPSR anjuran Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) bertempat di Perpustakaan UMP Pekan.

Tujuh sekolah yang menyertai program adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Wira, SK Jaya Gading, SK Indera Mahkota, SK Padang Garuda, SK Indera shahbandar, SK Lepar dan SK Paloh Hinai. Selain program motivasi, antara aktiviti yang diadakan adalah seperti  jigsaw puzzle dan digital literacy yang dijalankan oleh pensyarah UMP yang dikenali sebagai The Reading Makcixx.

Menurut  pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Nor Farizan Zakaria merangkap pengarah program The Reading Makchixx berkata, antara pengisian  iaitu berkongsi dengan pelajar mengenai dunia siber, media sosial, pembelian secara atas talian, jejak digital, pembulian di alam Siber, penipuan dan penyamaran di alam siber dan ketagihan gajet dan internet.

“Program ini sangat membantu dalam membina perwatakan pelajar di alam siber dan mereka perlu diberi pemahaman tentang manfaat dan langkah keselamatan yang perlu diambil semasa menggunakan internet dan dunia siber ini,” katanya.

Manakala menurut salah seorang pelajar Sekolah Kebangsaan Wira, Kuantan, Wan Norizati Suriya, 12, berkata banyak ilmu yang perolehi sepanjang program itu. Ujarnya, walaupun mempunyai sebuah telefon pintar namun penggunaannya masih dipantau oleh kedua ibubapanya. Namun dari sudut positif, banyak juga kebaikan menggunakan media sosial terutama dalam pembelajaran. Selain itu ianya juga dapat menambahkan pengetahuan dan kemahiran digital dan internet.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, program sehari ini bertujuan untuk membentuk konsep kendiri positif  dalam diri  pelajar di samping  memberi pendedahan kepada pelajar untuk belajar di luar bilik darjah. Selain itu, program ini diadakan di dalam kawasan UMP yang mana dapat memberi pendedahan kepada pelajar dengan persekitaran dan suasana universiti.

Ujarnya, ECERDC komited dalam memberi peluang kepada rakyat di Wilayah ECER secara inklusif untuk mencapai potensi sebenar mereka melalui program-program yang telah dirangka secara holistik.

“Oleh kerana itu, program ini adalah amat penting untuk memberi motivasi dan galakan kepada semua peserta empower ECER dan menunjukkan yang mereka mampu meraih kejayaan sekiranya pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari ketika mengikuti program empower ECER dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya,” katanya.

 

Disediakan oleh Nor Salwana Mohamad Idris daripada Bahagian Komunikasi Korporat 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri