Penerbit UMP, Perbadanan Kota Buku pergiat usaha pemasaran buku ke pasaran antarabangsa
PEKAN, 3 Disember 2021 - Berkongsi nilai dan aspirasi yang sama demi masa hadapan dan kelangsungan industri buku negara, Penerbit Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Perbadanan Kota Buku (PKB) telah menjalinkan kolaborasi strategik yang melibatkan pelbagai segmen kerjasama khususnya dalam promosi dan pemasaran buku ke pasaran antarabangsa.
Sebagai sebuah syarikat milik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), PKB berperanan sebagai pusat sehenti yang menghubungkan antara penulis, penerbit dan pembaca di samping mempromosikan kandungan lokal ke pesta buku antarabangsa.
Di samping itu, PKB juga turut terlibat dalam penyediaan buku masa hadapan melalui inisiatif go digital yang menawarkan perkhidmatan pendigitalkan pelbagai dokumen fizikal untuk tujuan pengkomersialan atau perkhidmatan akses.
Manakala melalui inisiatif pembangunan Super Apps yang dikenali sebagai BOCA, PKB mempunyai perancangan jangka masa panjang yang lebih holistik dengan penyediaan platform khusus untuk pelbagai aktiviti perbukuan termasuklah kedai buku digital, multivendor marketplace, eBook portal, BOCA Jobs dan BOCA Calendar untuk semua pemegang taruh di dalam industri ini.
Menurut Pengarah Penerbit UMP, kerjasama ini sangat penting dan sokongan semua pemain industri buku terhadap inisiatif PKB ini sangat diperlukan.
“Sudah tiba masanya industri buku negara digerakkan dengan lebih bersepadu dan berstrategi.
“Saya yakin PKB mampu memimpin industri buku negara agar lebih berdaya saing sekali gus membentuk komuniti penerbitan buku yang lebih komprehensif,” ujarnya.
Majlis ringkas Penyerahan Surat Niat kolaborasi tersebut telah ditandatangi oleh Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Saufy Nizar Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Mutalib Uthman, manakala Penerbit UMP diwakili oleh Pengarahnya, Muhammad Azli Shukri.
Majlis yang diadakan di Executive Lounge Perpustakaan UMP Pekan itu turut dihadiri oleh wakil daripada pihak Perpustakaan UMP dan juga staf Penerbit UMP.
Menurut Mutalib Uthman, inisiatif kerjasama ini tidak hanya membuka peluang yang lebih luas untuk memasarkan produk Penerbit UMP ke peringkat antarabangsa, bahkan Penerbit UMP juga boleh memperoleh data-data yang lebih strategi dalam membangunkan judul penerbitan yang berkualiti dan diterima oleh pasaran semasa.
“PKB bukan merupakan sebuah entiti yang membuat keuntungan tetapi lebih kepada menyokong industri buku negara.
“Kesan daripada pandemik Covid-19, PKB telah mewujudkan satu platform yang menempatkan semua penulis dan penterjemah iaitu BOCA.
“BOCA berfungsi melalui Portal BOCA Mart, BOCA eBook, BOCA Jobs dan juga BOCA Calendar,” katanya.
Tambah beliau lagi, melalui BOCA Mart, fasa pertama, PKB akan membeli buku-buku daripada penerbit dan menjualnya, manakala bagi fasa kedua pula kami akan wujudkan marketplace seperti Shopee.
“Akan datang Penerbit sendiri akan buka sendiri kedai buku digital masing-masing di BOCA MART.
“Manakala untuk Portal BOCA eBook pula merupakan penjenamaan semula bookcapital.my kepada BOCA eBook.
“BOCA eBook sebagai pusat jualan ebook terbesar di Asia Tenggara dan kini terdapat lebih 200,000 judul eBook tersedia untuk dibeli oleh umum,” katanya.
Katanya, BOCA eBook turut menempatkan buku teks digital milik KPM untuk diakses pelajar, guru dan ibu bapa secara percuma.
“Portal BOCA Jobs pula adalah untuk mana-mana organisasi yang menawarkan jawatan kosong seperti pekerja freelance (editor, penulis, pembaca pruf, copywriter, pereka grafik, penterjemah dan sebagainya) berkaitan dengan industri perbukuan.
“Portal BOCA Calendar pula memaparkan aktiviti perbukuan di Malaysia.
“Ia diwujudkan bagi mengelakkan pertembungan penganjuran acara berkaitan buku di samping meuar-uarkan kepada umum aktiviti yang akan diadakan,” ujarnya.
Menurut Mutalib Uthman lagi, PKB kini cuba untuk mengikut trend semasa seperti Shopee, Food Panda dan sebagainya kerana ia mempunyai pasaran.
Pada masa yang sama turut diadakan sesi soal jawab menerusi Program Sembang Buku Bersama Kota Buku berjudul ‘Di Dalam Kepala Seorang Penerbit’ yang membicangkan pelbagai cabaran dan isu dalam industri buku negara yang sedang dihadapi, terutama persoalan penjenamaan dan kedudukan industri ini untuk tempoh lima tahun yang akan datang.
Antara topik yang dibincangkan ialah keperluan melahirkan ‘ikon penulis buku’ yang boleh diangkat menjadi daya tarikan masyarakat dunia untuk mengenali Malaysia.
Disediakan oleh: Athirah Ruzaini dan Nur Hartini Mohd Hatta, Penerbit UMP.
- 193 views