Pensyarah UMPSA Mejar Dr. Haji Imaduddin diiktiraf antarabangsa dalam usaha memperkasa TRIZ
YOGYAKARTA, 13 November 2025 - Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Mejar Dr. Haji Imaduddin Abidin menerima pengiktirafan antarabangsa apabila dianugerahkan Certificate of Gratitude oleh Presiden International TRIZ Association (MATRIZ), Dr. Sergei Yatsunenko bersempena dengan Persidangan Antarabangsa TRIZFest 2025 yang berlangsung di Universiti Islam Indonesia, Yogyakarta, Indonesia baru-baru ini.
Penganugerahan tersebut mengesahkan tahap pencapaian dan kepakaran beliau dalam pendekatan Theory of Inventive Problem Solving (TRIZ) yang telah diiktiraf oleh badan profesional antarabangsa seperti MATRIZ di samping menghargai sumbangan besarnya dalam mengembangkan ilmu ini di Malaysia.
Teori Penyelesaian Masalah Secara Inventif (TRIZ) merupakan akronim bahasa Rusia yang diasaskan oleh Genrich Altshuller pada tahun 1946 yang telah dibangunkan bagi memastikan proses inovasi dan penyelesaian masalah dapat dijalankan secara sistematik.
Kaedah ini telah diamalkan oleh pelbagai syarikat gergasi dunia seperti Boeing, Apple, Samsung, Xerox, Christian Dior dan banyak lagi.
TRIZ merangkumi teori, proses, teknik dan prosedur operasi yang membolehkan penciptaan idea kreatif dalam domain teknikal, teknologi, kejuruteraan, perniagaan serta pengurusan moden.
Beliau kini memegang tiga sijil profesional TRIZ iaitu Certified TRIZ Practitioner Level 3 (Malaysia-MyTRIZ dan Antarabangsa–MATRIZ), Certified TRIZ Instructor Level 2 serta Certified TRIZ Consultant, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pakar TRIZ tempatan yang berkelayakan tinggi.

Sebagai antara tokoh utama yang mempelopori TRIZ di UMPSA, beliau memainkan peranan besar dalam memperluas pengamalan dan kefahaman TRIZ bukan hanya dalam kalangan mahasiswa, malah turut diperluas ke peringkat industri serta komuniti setempat.
Beliau menjelaskan bahawa penglibatannya dalam TRIZ memberi peluang kepadanya untuk melatih staf dan pelajar menguasai pendekatan penyelesaian masalah secara sistematik yang menjadi asas kepada pembentukan pemikiran kritis serta peningkatan kreativiti dan inovasi.
“Jika AirAsia ada motto ‘Now Everyone Can Fly’, TRIZ@UMPSA juga mempunyai semangat ‘Now Everyone Can Innovate’.
“Kursus TRIZ Level 1 for Practitioner amat sesuai untuk dipelajari semua penyelidik kerana pendekatan ini bukan sahaja menyediakan kaedah yang tersusun malah turut menawarkan set penyelesaian mengikut alat penyelesai masalah yang dipilih.
“Manakala Kursus TRIZ Level 1 for Instructor pula relevan dan signifikan untuk tenaga pengajar sebagai persediaan mendidik generasi yang bakal mendepani cabaran ekosistem IR 4.0,” katanya.
Tambah Mejar Dr. Haji Imaduddin, kursus-kursus ini turut disampaikan melalui beberapa kaedah komprehensif termasuk analisis kes sebenar bagi memastikan kefahaman peserta dipantau dengan baik.
“Peserta juga perlu menduduki peperiksaan profesional sebaik sahaja menamatkan sesi latihan, menjadikan pensijilan TRIZ satu proses yang berkualiti dan berstruktur.
“Sejak memperkenalkan TRIZ di UMPSA pada 2018, saya telah berjaya membina kumpulan nukleus TRIZ yang terdiri daripada enam orang pensyarah, selain melatih lebih 10,000 pelajar bagi pensijilan TRIZ Tahap 1 bersama pasukan.
“Antara usaha besar lain termasuklah penganjuran UMPSA TRIZ Innovation Exhibition sebanyak tiga kali dengan tema berbeza iaitu ‘Daily Problem’, ‘Green’ dan ‘Enable the Disable,” ujarnya.
Pameran ini berjaya menarik penyertaan kira-kira 1,500 pelajar setiap semester dan mempamerkan lebih 150 prototaip inovasi, selain mendapat liputan media termasuk RTM.
Sumbangan beliau dalam memperluas TRIZ turut merentasi UMPSA apabila menerima jemputan untuk memberi latihan di pelbagai institusi dan agensi seperti Kolej Profesional MARA, Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), Pahang Skills, Universiti Putra Malaysia (UPM), CIDB Pahang dan beberapa lagi agensi.
Usahanya ini turut menyumbang kepada kejayaan memperoleh dua geran bernilai RM20,000 masing-masing iaitu untuk melatih Guru SISC+ TVET Pahang bagi pensijilan TRIZ Tahap 1 dan meningkatkan kompetensi jurutera serta anggota teknikal KJLJD.
Komitmen beliau dalam TRIZ turut dihargai melalui pelantikan sebagai Ahli Mesyuarat Tertinggi MyTRIZ selama tiga penggal berturut-turut.
Malah, beliau juga merupakan Ketua Kluster Penyelidikan TRIZ di FPI dan turut menjadi tenaga pengajar kepada staf dari jabatan-jabatan lain termasuk Akademi A.D.A.B.
Kini, beberapa inisiatif TRIZ sedang berada dalam fasa pelaksanaan termasuk penubuhan East Coast TRIZ Innovation Association (ECTIA), penerbitan buku projek TRIZ, pembentangan cadangan pelaksanaan TRIZ kepada kerajaan negeri serta penubuhan TRIZ Innovation Lab.
Usaha berterusan ini menunjukkan visi jelas dan konsisten beliau untuk menjadikan UMPSA serta negeri Pahang sebagai antara peneraju TRIZ di Malaysia.
Dengan rekod pencapaian yang konsisten serta sumbangan luas dalam membangunkan ekosistem TRIZ, beliau terus membuktikan komitmennya sebagai figura penting dalam pengukuhan budaya inovasi di UMPSA dan negara.
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 54 views
Reports by: