Penyelidik UMPSA berjaya bangunkan Modul Ilmu Kecerdasan Spiritual untuk memperkasakan pendakwah MUIP
KUALA LUMPUR, 23 Julai 2024 - Sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah berjaya membangunkan Modul Ilmu Kecerdasan Spiritual untuk para pendakwah Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
Hasil penyelidikan itu telah dipersembahkan kepada YAM Tengku Panglima Raja Bridgadier Jeneral Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Timbalan Yang di-Pertua MUIP dan telah diperkenankan oleh baginda untuk digunakan bagi melatih pendakwah lantikan MUIP.
Tujuan modul ini dibangunkan adalah untuk melatih para pendakwah dengan Ilmu Kecerdasan Spiritual.
Ia adalah sebahagian daripada usaha untuk memberi sokongan terutamanya dari sudut psikologi kepada golongan mualaf dalam menghadapi cabaran hidup setelah mereka memilih untuk memeluk Islam.
YAM Tengku Panglima Raja Bridgadier Jeneral Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah menyarankan agar modul ini dapat dimanafaatkan oleh semua pendakwah termasuk mudir, guru-guru sekolah pondok dan semua institusi di bawah MUIP.
"Langkah ini penting sebagai satu usaha bersepadu untuk meningkatkan kualiti para pendakwah dalam usaha menyebar luaskan keindahan dan kefahaman Islam kepada semua kaum di negeri Pahang,” titah baginda.
Baginda juga turut berharap agar diadakan bengkel bagi melatih jurulatih untuk menyampaikan modul tersebut kepada pendakwah MUIP pada masa akan datang
Baginda juga bertitah agar kerjasama lebih erat dapat terus dijalinkan dengan UMPSA dalam usaha untuk memantapkan institusi ilmu di bawah MUIP melalui kerjasama dengan Institut Ilmu Darul Makmur yang baharu ditubuhkan.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Dato' Haji Ahmad Hairi Hussain, Timbalan Pegawai Eksekutif: Baitulmal dan Operasi MUIP, Dr. Haji Asmadi Abd Rahman, Ketua Unit Pembangunan Modal Insan, Ustaz Sh. Mohd Firdaus Sh Othman, Pensyarah Kanan PSK UMPSA, Dr. Ahmad Muhaimin Mohamad dan Pensyarah Kanan, Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Dr. Muhd Khairul Izamil Zolkefley.
Manakala menurut Ketua Penyelidik dari Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), UMPSA, Dr. Rohana Hamzah, antara keistimewaan modul ini ialah ia adalah hasil gabungan pakar daripada pelbagai bidang bukan sahaja dalam bidang Dakwah dan Pendidikan tetapi juga dalam bidang Sains dan Teknologi.
“Pendekatan ini sesuai kerana Islam adalah agama yang mengalakkan manusia berfikir dan menyintai ilmu pengetahuan.
“Integrasi ilmu agama dan ilmu sains mampu membawa manusia lebih meyakini kewujudan dan keesaan Allah SWT.
“Malah, tujuan sebenar proses keilmuan adalah membawa manusia mengenali Penciptanya,” katanya.
Oleh itu katanya, Islam adalah agama yang dianuti kerana keyakinan seseorang tentang kebenarannya dan bukan dengan cara paksaan.
“Apa yang lebih istimewa, proses pembangunan modul ini telah dilakukan secara saintifik.
“Modul ini telah melalui proses pengesahan isi kandungannya daripada pakar-pakar dalam pelbagai bidang iaitu Dakwah, Aqidah, Usuluddin, Psikologi Islam, Psikospiritual Islam dan bahasa Arab sebelum diuji kepada para pendakwah.
“Kami para penyelidik ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak MUIP yang sudi menaja geran penyelidikan ini,” katanya.
Ujar beliau lagi, semoga kepakaran yang terdapat di UMPSA ini dapat dimanafaatkan melalui jalinan kerjasama yang lebih erat demi membangunkan masyarakat sejahtera khususnya di negeri Pahang Darul Makmur.
Disediakan Oleh: Dr. Rohana Hamzah, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK)
- 169 views