Skip to main content
Perpustakaan UMP laksana Program Waste4Fine Bayar Denda Guna Botol Minuman  

Perpustakaan UMP laksana Program Waste4Fine Bayar Denda Guna Botol Minuman  

Kuantan, 18 Mac- Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang (UMP) membenarkan pembayaran denda lewat pemulangan bahan menggunakan botol minuman plastik atau tin dalam menjayakan program Waste4Fine sebagai usaha menyokong inisiatif pelaksanaan amalan hijau ke arah pencapaian Penarafan UI Greenmetrics yang dijalankan di universiti ini.

Menurut Pemangku Ketua Pustakawan UMP, Dzull Zabarrod Ahmad berkata, program ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kitar semula di samping membolehkan mahasiswa yang menghadapi masalah kewangan membuat pembayaran dengan menggunakan alternatif ini. Kadar diskaun yang tinggi ditawarkan oleh pihak perpustakaan iaitu bagi setiap botol untuk pembayaran denda iaitu bagi botol bersaiz kurang dari 1000 mililiter akan mendapat diskaun 10 sen manakala botol bersaiz melebihi 1000 mililiter dengan harga 20 sen.

“Kadar kitar semula di UMP berada pada tahun sangat rendah iaitu 5.2 peratus pada tahun lalu. Dengan adanya program ini diharapkan ianya dapat meningkatkan kadar kitar semula serat kesedaran kepentingan kitar semula bagi memelihara dan memulihara alam sekitar,” katanya yang hadir merasmikan Program Waste4Fine anjuran Perpustakaan UMP. Turut hadir dalam program Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid dan Pengarah Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHMO), Muhammad Hairynizam Muhd Taib.

Selain itu, program ini juga memberi peluang kepada pengguna perpustakaan untuk membuat pembayaran denda lewat pemulangan menggunakan botol plastik dan tin di samping boleh memanfaatkan masalah kewangan untuk membuat pembayaran dengan menggunakan alternatif ini.

Manakala pengarah program, Hajjah Siti Aishah Ghani berharap perlaksanaan program Waste4Fine ini akan berjaya diterapkan dalam kalangan semua warga UMP, khususnya mahasiswa UMP sendiri. Lebih menarik projek ini bermula hasil cetusan idea Kumpulan Inovasi dan Kreatif dalam menyokong usaha penghijauan kampus.

Dalam pada itu hari pembayaran menggunakan botol minuman ini dihadkan setiap hari Rabu sahaja dan mengikut jadual operasi perpustakaan. Pengguna juga dibenarkan untuk membuat pembayaran penuh ataupun  sebahagian denda dengan menggunakan botol plastik atau tin minuman. Staf yang bertugas di kaunter sirkulasi akan mengemas kini rekod denda di dalam sistem perpustakaan dan memberi resit pembayaran kepada pengguna yang telah selesai melakukan pembayaran dengan kaedah pertukaran tersebut.  

Turut berlangsung ceramah bertajuk “Kelestarian Kampus UMP” bersama dengan   Ketua Inisiatif UI Greenmetric UMP Dr. Nazikussabah Zaharuddin yang juga merupakan   pensyarah Fakulti Sains & Teknologi Industri, UMP. Terdapat juga pameran bagi barang kitar semula dan juga jualan barangan seperti beg yang menggunakan bahan seperti kain dan kain rentang terpakai.

UMP juga telah  melaksanakan Kempen “Let’s Break Up with Single-Use Plastic” bagi mengurangkan penggunaan plastik oleh warga kampus. Ianya adalah usaha berterusan hasil inisiatif Jawatankuasa Kelestarian UMP di bawah Kluster Pengurusan Sisa dalam menyemai kesedaran menghapuskan penggunaan single-use plastics di UMP. Pelbagai program telah dilaksanakan pihak secara lestari dalam meningkatkan kesedaran terhadap usaha ini termasuklah “MYTAPAU” yang membolehkan mahasiswa diberikan insentif sekiranya mereka menggunakan bekas makanan sendiri untuk membungkus makanan di kafeteria universiti. 

UMP tersenarai pada kedudukan ke- 97 terbaik dunia dan ke-6 terbaik di Malaysia dalam Penarafan UI Greenmetrics World University Ranking 2018 berdasarkan usaha kelestarian kampus hijau dan pengurusan alam sekitar yang telah diumumkan baru-baru ini.  

 

Disediakan oleh Wan Nurulhuda Wan Zakaria dari Perpustakaan UMP dan suntingan Bahagian Komunikasi Korporat.

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim