Program UMP-UI Ikatan Serumpun fokus agenda kelestarian keselamatan dan kesihatan pekerjaan
DEPOK, INDONESIA, 14 Jun 2023- Program UMP-UI Ikatan Serumpun bertemakan ‘Hand-in-hand towards a Sustainable Tomorrow’ anjuran Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Fakultas Kesehatan Masyarakat, Universitas Indonesia (UI) berjaya memberi impak terhadap khidmat masyarakat di Indonesia.
Program khidmat komuniti yang dijalankan di Kampung Industri Tahu Tempe, Desa Citeureup dan Perusahaan Peralatan Perubatan, Desa Nagasari itu dilihat mampu membantu masyarakat setempat dalam pengurusan kesihatan dan keselamatan pekerjaan (KKP) dan pengurusan sisa buangan dari proses pembuatan tempe.
Program itu diketuai Ts. Dr. Azizan Ramli daripada Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) yang hadir bersama pengarah program, Dr. Khairiah Mohd Mokhtar, Dr. Mohd Najib Yacob, Dr. Nor Adila Mohd Omar, Dr. Wan Norfazilah Wan Ismail dan Dr. Nurul Huda Abu Bakar bersama sepuluh orang pelajar Tahun 2 dan Tahun 3 dari Program Sarjana Muda (Kepujian) Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.
Menurut Ts. Dr. Azizan, program ini bertujuan untuk memupuk budaya (Komuniti untuk Komuniti) melalui social empowerment dan menyemarakkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat.
“Selain itu, para peserta turut berpeluang bertukar idea dan kepakaran dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan mempromosi UMP kepada masyarakat luar negara.
“Hasil pelaksanaan pelbagai sub-program ini turut memenuhi tiga Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu Matlamat Pembangunan Mampan 9: Industri, Inovasi dan Infrastruktur dicapai melalui HazAway Solutions – Providing Sustainable Workplace iaitu hasil aktiviti ini dapat menggalakkan perindustrian secara menyeluruh dan mampan serta menggalakkan inovasi dalam isu semasa keselamatan dan kesihatan pekerjaan,” katanya.
Begitu juga dengan Matlamat Pembangunan Mampan 11: Bandar dan Komuniti yang mampan dicapai melalui AquaCare Sustainability – Conserving Environment for Future Generations yang memberi pendedahan baharu mengenai pengolahan sisa buangan untuk menjadikan bandar dan penempatan penduduk sebagai menyeluruh, selamat, berdaya tahan dan mampan.
Manakala Matlamat Pembangunan Mampan 4: Pendidikan Berkualiti dicapai melalui pelaksanaan Youth Safety UMP-UI Network yang dapat menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua lapisan masyarakat terutamanya pelajar.
Sementara itu, Dr. Khairiah berkata, program ini melibatkan gabungan mahasiswa kedua-dua institusi dalam menjalankan aktiviti pemantauan dan penilaian risiko kesihatan dan keselamatan pekerjaan di industri tahu tempe dan industri pembuatan peralatan perubatan.
“Pelajar membentangkan hasil penaksiran risiko untuk menambah baik persekitaran kerja yang secara tidak langsung dapat meningkatkan produktiviti pekerja.
“Program ini juga melibatkan post assessment dalam tempoh tiga bulan bagi memantau penambahbaikan berterusan selepas program ini dijalankan.
“Ini termasuklah penilaian awal terhadap proses rawatan air sisa dari tempe, pengenalan kaedah rawatan yang lestari kepada alam sekitar (from waste to wealth), pelaksanaan kaedah rawatan, pemantauan dan penilaian keberkesanan kaedah,” katanya.
Selain itu, penggunaan fertilizer starter ke atas sisa buangan daripada tempe diperkenalkan kepada masyarakat setempat dan mahasiswa UI.
Penilaian keberkesanan aplikasi pengolahan sisa buangan daripada tempe akan diadakan dalam tempoh sebulan hingga tiga bulan berdasarkan jenis tanaman yang digunakan.
Turut berlangsung program berbentuk forum yang dikendalikan oleh mahasiswa dari kedua-dua institusi (UMP-UI) berkaitan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di sektor industri di Malaysia dan Indonesia.
Dengan tajuk ‘Occupational Safety and Health 5.0: Deployment and Achieving the Sustainable Development Goals’ yang diketengahkan ini memberi pendedahan kepada para pelajar tentang perancangan dan pentadbiran tempat kerja dan alam sekitar.
Program turut dihadiri Dekan Fakultas Kesehatan Masyarakat, UI , Profesor Dr. Mondastri Korib Sudaryo, Pengurus Kerjasama dan Hubungan Alumni, Profesor Madya Dr. Indri Hapsari Susilowati dan Ketua Program Program Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan, Profesor Madya Dr. Mila Tejamaya.
Lain-lain Camat Citeureup, Dr. Ridwan Said, S.STP, M.Si dan Kepala Desa Citeureup, Marwan Hermawan yang hadir mewakili Usaha Mikro Kecil dan Menengah (UMKM) Citeureup-Bogor dan Kepala Dinas Koperasi dan UKM Kabupaten Bogor, Asep Mulyana Sudrajat.
Disediakan oleh: Dr. Wan Norfazilah Wan Ismail, Fakulti Sains Dan Teknologi Industri
- 191 views