Rancang pengajian PhD Sasar “GOT”
Kuantan, 16 Disember- Cabaran bertukar penyelia di saat akhir bukan halangan buat pensyarah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr. Mohamad Rusydi Mohamad Yasin menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan.
“Pihak universiti telah memberi ruang, jadi seharusnya saya membalas kepercayaan yang pihak universiti berikan. Dengan tekad itu, saya telah berusaha sehabis mungkin untuk menyudahkan pengajian ini,” katanya.
Tambah beliau, pada masa itulah merupakan dugaan terbesar buatnya sewaktu berdepan situasi yang mungkin menggagalkan niat untuk capai sasaran menamatkan pengajian. Namun bantuan dan sokongan rakan-rakan terutamanya pegawai di Jabatan Pendaftar memberikan saya semangat baharu.
Ujarnya, hasil perbincangan dengan pihak universiti dan penyelia yang baharu, akhirnya pengajian dapat diteruskan. Pada ketika itulah banyak masa perlu dikorbankan termasuklah di hujung minggu dan pulang ke rumah selepas jam 12.00 malam.
Lebih membanggakan Dr. Mohamad Rusydi berjaya mencapai sasaran apabila berjaya menamatkan pengajian dalam pengajian kedoktoran (PhD) dalam tempoh 4 tahun bermula 20 Ogos 2015 hingga 19 Ogos 2019 di Purdue University United States.
Beliau yang kini merupakan pensyarah di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik dirai bersama 30 staf akademik yang lain dalam Majlis Apresiasi Staf dan Felo Tamat Pengajian anjuran Jabatan Pendaftar baru-baru ini.
Berkongsi pengalaman ketika berada di dalam dunia PhD, beliau berkata perancangan dengan penyelia amat penting dan jangan pendam masalah. Beliau menasihatkan mereka yang sedang menyambung pengajian agar terus istiqamah dalam setiap tindakan yang dilakukan untuk mencapai apa yang dinginkan. Cabaran berbeza mengikut masing-masing namun ini adalah kemanisan dalam dunia PhD.
Selain itu, belajar di luar negara turut memberikannya pengalaman terutamanya mengenali gaya hidup dan budaya masyarakat di US yang dilihat lebih terbuka, berani dan rajin bekerja. Memandangkan kajian yang dijalankan berkaitan dengan industri memberikannya peluang menimba pengetahuan dalam dunia kerja sebenar bagi menyelesaikan masalah industri.
Sebagai pensyarah, beliau berbangga dengan pencapaian universiti kini terutamanya dalam penarafan dan diiktiraf dunia. Kejayaan ini diharapkan berterusan dan sebagai pensyarah muda harapnya dapat menyumbang sama atas kejayaan ini.
Turut sama menerima insentif kecemerlangan melalui program Graduate On Time (GOT) adalah Dr. Noor Intan Shafinas Muhamad (Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia & Proses), Dr. Mohd Fazli Farida Asras, Dr. Nazira Mahmud dari Fakulti Sains & Teknologi Industri, Dr Nurhaizan Mohd Zainudin dari Fakulti Pengurusan Industri serta Dr. Noradilah Md Nordin dari Pusat Sains Kemanusiaan.
Disediakan Bahagian Komunikasi Korporat
- 279 views