Sekeluarga dari Melaka sanggup datang ke Program Jom Masuk U 2024 Zon Timur II di UMPSA Gambang
GAMBANG, 2 Jun 2024 - Dalam usaha mendapatkan maklumat dan melihat sendiri kemudahan makmal pembelajaran, sebuah keluarga dari Melaka telah sanggup bertolak seawal jam 5 pagi untuk menghadiri Program Jom Masuk U 2024 Zon Timur II di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Kampus Gambang baru-baru ini.
Bagi Ling Ying Pei, 47 tahun, yang hadir bersama suami dan anak-anaknya yang merupakan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah merancang dari awal untuk datang ke UMPSA bagi mendapatkan maklumat mengenai kemasukan pelajar secara bersemuka.
“Anak saya amat meminati bidang Kejuruteraan Elektrik,
“Kebiasaannya, kami hanya akan mendapatkan maklumat mengenai program yang ditawarkan menerusi portal dan brosur sahaja.
“Namun pada hari ini, kami ingin mendapatkan sendiri maklumat dari pegawai di universiti ini sendiri,” ujarnya.
Katanya, ketika diberi penerangan beliau tertarik dengan program yang ditawarkan oleh UMPSA iaitu ijazah dual.
“Pada masa yang sama, apabila saya bertanyakan mengenai kemudahan makmal yang terdapat di UMPSA, kami sekeluarga terus dibawa melawat makmal-makmal yang terdapat UMPSA.
“Sungguh menakjubkan, pada pandangan saya makmal di UMPSA besar dan banyak peralatan canggih serta berteknologi terkini.
“Ini adalah peluang yang baik untuk melihat sendiri kemudahan dan suasana pembelajaran di UMPSA,” katanya.
Beliau sekeluarga sangat terinspirasi dan berharap anak dapat dapat menimba ilmu di UMPSA.
Dalam pada itu, seramai 360 pelajar dan guru dari sembilan buah sekolah sekitar Kuantan dan Pekan telah menyertai program Campus Tour@UMPSA dalam Hari Terbuka UMPSA sempena JMU 2024.
Menurut salah seorang Guru dan Kaunselor dari Sekolah Menengah Kebangsaaan Nenasi, Maisharah Mohd Salleh, 45 mengakui cukup teruja apabila dapat menyertai program Campus Tour tersebut.
“Saban tahun, aktiviti membawa pelajar tingkatan lima untuk menghadiri program Jom Masuk U adalah merupakan program yang sering disertai walau dimana juga program tersebut diadakan.
“Namun pada kali ini di UMPSA, pelajar turut dibawa melawat makmal dan Perpustakaan bagi merasai kehidupan di kampus.
“Lebih terharu apabila pelajar-pelajar ini pergi ke UMPSA dengan menaiki bas yang disediakan oleh pihak UMPSA,” katanya.
Tambahnya, ia merupakan satu motivasi kepada pelajar tingkatan 5 untuk merasai kehidupan pelajar di universiti.
“Selain itu juga saya dapat lihat pelajar begitu teruja dengan alat-alat yang canggih dan berteknologi yang terdapat di Makmal UMPSA,” katanya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada UMPSA yang memberikan layanan yan sangan baik sepanjang program berlangsung.
Sesi Campus Tour ini mengambil masa kira-kira satu jam dan pelajar berpeluang melawat ke beberapa makmal yang terdapat di UMPSA antaranya seperti Makmal Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FIST), Makmal Berpusat, Makmal Fakulti Pengurusan Industri (FPI) dan Makmal Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam (FTKASA).
Pelajar kemudiannya dibawa melawat ke Perpustakaan UMPSA bagi merasai pembelajaran di kampus dan pelajar bergerak ke Dewan Kompleks Sukan untuk mengunjungi pameran pendidikan program Jom Masuk U.
Kisah keluarga dan guru ini merupakan di antara 18,339 pengunjung yang membanjiri Program Jom Masuk U Zon II yang diadakan bermula 1 hingga 2 Jun 2024 bertempat di UMPSA Kampus Gambang.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Pro-Canselor UMPSA.
Terdapat lebih 70 reruai berkaitan pendidikan tinggi yang ditawarkan oleh institusi pendidikan tinggi di bawah KPT yang merangkumi Universiti Awam (UA), Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik, Kolej Komuniti (KK) serta penglibatan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).
Di samping itu juga, terdapat reruai agensi penajaan, sesi konsultasi UPUOnline️, konsultasi penajaan/ biasiswa/ pinjaman dan bantuan kewangan pendidikan tinggi.
Pelbagai program mewarnai JMU 2024 antaranya termasuklah hari Terbuka UMPSA dan program TVET yang diselaras di bawah Pusat TVET Termaju.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Komunikasi Korporat
- 114 views