Simposium Antarabangsa Celik Digital pupuk kesedaran kandungan media
PEKAN, 12 Oktober 2022 - Program Simposium Antarabangsa Celik Digital: Literasi Media dan Maklumat mampu memupuk masyarakat untuk mengendalikan kandungan media dengan lebih bertanggungjawab serta beretika dalam aktiviti peribadi, profesional dan kemasyarakatan.
Malahan menerusi simposium ini, para peserta dapat meningkatkan kesedaran dan mengetahui strategi pelaksanaannya merentas komuniti antarabangsa.
Program anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama UNESCO Information for All Program (IFAP) itu turut berkongsi kepakaran dalam literasi maklumat dan memupuk masyarakat mengendalikan kandungan media yang kreatif bersama lapan orang pakar dari Malaysia, Thailand, Indonesia, Jepun, Turki, Amerika Syarikat dan United Kingdom.
Menurut Penolong Naib Canselor Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat UMP, Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin, program ini merupakan platform pakar-pakar berkongsi pandangan dan saranan berkaitan kompetensi digital khususnya dari konteks literasi media dan maklumat.
“Elemen literasi itu sendiri merupakan satu konsep yang sentiasa berkembang dan tahap pengetahuan serta penguasaan literasi media ini mempengaruhi kehidupan masyarakat terutamanya di dalam dunia tanpa sempadan pada hari ini.
“Ia selaras dengan Pelan Strategik UNESCO, iaitu Program Maklumat untuk Semua (Information for All Program - IFAP).
“Literasi maklumat ini merangkumi aspek pengetahuan, sikap dan kemahiran yang membawa kepada keupayaan untuk mengakses, menganalisis, menilai, menggunakan, menghasilkan dan menyampaikan maklumat,” katanya dalam program yang berlangsung di Auditorium Perpustakaan UMP Pekan baru-baru ini.
Tambah beliau lagi, maklumat boleh didapati di pelbagai platform digital dan amat penting bagi setiap rakyat untuk yakin dan cekap menggunakan teknologi ini untuk pencarian maklumat, komunikasi dan penyelesaian masalah asas dalam semua aspek kehidupan.
Sementara itu, Nor Farizan Zakaria dari kumpulan The Reading Makchixx berkata, literasi media dan maklumat ini menekankan keupayaan untuk mencari dan mengemudi maklumat.
Ujarnya, program ini akan diteruskan dengan program pemerkasaan dan aktiviti bersama pelajar dan guru sekolah bagi meluaskan kesedaran berkaitan kompetensi digital dan literasi media.
Lebih 800 orang peserta termasuk guru sekolah menengah sekitar negeri Pahang menyertai simposium yang merupakan aktiviti susulan sesi sidang meja bulat berkaitan kepentingan kompetensi digital dalam literasi media dan maklumat yang telah diadakan pada bulan Mac yang lepas.
Program kali ini menampilkan panel jemputan daripada Hu Xianghong (UNESCO IFAP, Paris), Profesor Julian McDougall (Bournemouth University, UK), Saidatul Ashikin Abu Hassan (Malaysian Communications and Multimedia Commission, MCMC), Dr. Nolan Higdon (University of California, Santa Cruz, US).
Turut serta ialah Soraya Ahyaudin, Megan Sweas dan Rev. Dr. Najuma Smith-Pollard (University of Southern California, US), Profesor Dr. Ali Gunes (Ankara Medipol University, Turkey), Dr. Taufiqur Rahman (Universitas Muhammadiyah Yogyakarta, Indonesia), Ray Ting-Chun Wang (Thammasat University, Thailand) dan Profesor Jun Sakamoto dan Dr. Kyoko Murakami (Hosei University, Tokyo, Japan).
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
- 59 views