Skip to main content

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sempurnakan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja Pegawai Muda PALAPES Universiti Awam Ke-42 Tahun 2024

TANJUNG MALIM, 21 September 2024 - Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam (UA) Ke-42 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini. 

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Pemangku Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Shamsuddin Ludin mewakili Pemangku Panglima Tentera Laut.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sempurnakan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja Pegawai Muda PALAPES Universiti Awam Ke-42 Tahun 2024

Pada majlis istiadat itu, Sultan Nazrin yang mewakili Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mentauliahkan 1,435 orang PALAPES terdiri daripada 20 UA termasuk 810 orang Pegawai Muda Rejimen Askar Wataniah (RAW), 350 orang Pegawai Muda Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) dan 275 Pegawai Muda Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM). 

Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES UA Ke-42 ini merupakan istiadat yang diadakan secara tahunan dan dianjurkan oleh UA di seluruh Malaysia mengikut penggiliran. 

Pada istiadat kali ini, seramai 35 orang pegawai turut menerima Anugerah Pegawai Terbaik iaitu 16 (Darat), 11 (Laut) dan lapan (Udara) yang telah dikurniakan oleh Sultan Nazrin. 

Selain itu, penganjuran kali ini turut dimeriahkan dengan Pameran Aset Ketenteraan Angkatan Tentera Malaysia (ATM, Pameran Ikhtiar Hidup, Demonstrasi Anjing Perang dan Demonstrasi Tempur Tanpa Senjata. 

Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin hadir ke majlis istiadat dan turut meluangkan masa bertemu barisan pegawai PALAPES dari UMPSA.  

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman. 

Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dato' Dr. Haji Mohd Zahari Ismail; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UPSI, Puan Seri Datuk Rohani Parkash Abdullah; Naib Canselor UPSI, Dato’ Profesor Dr. Md. Amin Md. Taff; serta Naib-naib Canselor UA. 

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Naqiah Puaad