UMPSA aktifkan Sistem Aduan Kecemasan Staf dan Pelajar ditimpa bencana banjir
PEKAN, 24 November 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mula mengaktifkan Sistem Aduan RES-Q bagi staf dan pelajar yang terlibat dengan sebarang bencana seperti banjir, tanah runtuh atau sebarang keperluan berkaitan bencana bagi memudahkan saluran bantuan disampaikan di bawah pelarasan Jawatankuasa Bertindak Bencana UMPSA.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, pihak universiti telah bersiap siaga berdepan dengan sebarang kemungkinan rentetan cuaca dan hujan lebat pada masa ini yang melanda di beberapa negeri.
“Para pelajar perlu melengkapkan maklumat bencana di ruangan 'STUDENT RES-Q' bagi menyalurkan sebarang bantuan yang diperlukan oleh pelajar yang ditimpa bencana terutamanya mereka yang menetap di luar kampus atau yang menghadapi masalah untuk pulang ke kampus akibat bencana.
“Sistem 'STUDENT RES-Q' boleh diakses melalui pautan https://std-comm.ump.edu.my/ecommstudent/studentResQ/index.jsp.
“Manakala pautan pengisian maklumat staf yang ditimpa bencana banjir perlu dilengkapkan bagi tujuan tindakan oleh Jawatankuasa Kecil Kebajikan Staf UMPSA seperti di dalam pautan https://community.ump.edu.my/ecommstaff/cms/resQ/daftar.jsp,” ujarnya.
Selain itu, UMPSA mulai menggerakkan Misi Sukarelawan Banjir Pantai Timur bagi membantu menghulurkan bantuan terutamanya mangsa banjir di Kelantan yang mulai melanda negeri itu.
Tambah Profesor Dr. Yatimah lagi, Misi Sukarelawan UMPSA pada kali ini membawa keperluan sumbangan beg makanan dan pakej makanan ‘Ready to Eat’ melalui teknologi retort di bawah inisiatif food@campus (UMPSA Campus Pantry) dan Yayasan UMPSA,” katanya.

“Pada peringkat pertama ini sebanyak 1,000 pek makanan sedia diedarkan dan akan diagih secara berperingkat bagi membantu mangsa banjir terutama pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan IPT sekitarnya.
“Dengan bermatlamatkan ‘Zero Hunger’ kemudahan makanan teknologi retort atau penstrilan yang dihasilkan ini mampu bertahan lama tanpa menjejaskan struktur dan rasanya.
“Usaha ini sebagai persediaan bagi menyediakan makanan semasa kecemasan bagi membolehkan pelajar di sini mendapatkan makanan yang sihat dan sedia untuk dimakan.
Ujarnya, inisiatif ini adalah hasil kerjasama UMPSA dan Yayasan UMPSA dengan sokongan Kementerian Pendudikan Tinggi (KPT) bagi membolehkan pelajar yang terkesan banjir di sini bagi mendapat makanan yang dimasak menggunakan teknologi retot antaranya nasi berlaukkan ayam masak merah, daging masak kicap dan nasi goreng dan lain-lain.
“Berdasarkan Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 yang dijangka bermula bulan November ini dan berterusan sehingga Mac tahun depan serta dalam tempoh MTL itu, episod hujan lebat berterusan dijangka boleh berlakunya bencana banjir,” katanya.
Pihaknya turut menasihatkan warga UMPSA dan mereka khususnya yang tinggal di kawasan berisiko banjir supaya peka dengan maklumat semasa dan mendapatkan amaran terkini melalui aplikasi MyCuaca, laman web dan media sosial rasmi MetMalaysia serta saluran rasmi universiti di portal UMPSA dan Media Sosial UMPSA Malaysia.
Warga UMPSA yang terkandas dan memerlukan bantuan boleh menghubungi Hotline Bencana UMPSA di talian 09-431 9999/ 09-431 5005/ 09-431 5065.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 32 views
Reports by: