Skip to main content

UMPSA dan Aerodyne & Cisco Malaysia teroka inovasi Kampus Pintar

KUALA LUMPUR, 6 Februari 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) baru-baru ini telah telah mengadakan lawatan rasmi ke ibu pejabat Aerodyne Sdn. Bhd. di Cyberjaya dan Cisco Malaysia Sdn. Bhd. di Kuala Lumpur bagi meneroka potensi kerjasama dalam pembangunan kampus pintar.

Delegasi UMPSA diketuai oleh Ketua Pegawai Maklumat, Jabatan Pengurusan Pengetahuan dan Teknologi Maklumat (JPPTM), Profesor Madya Dr. Mohamed Ariff Ameedeen.

UMPSA dan Aerodyne & Cisco Malaysia teroka inovasi Kampus Pintar

Lawatan itu bertujuan untuk mengenal pasti teknologi dan penyelesaian digital yang boleh diadaptasi di UMPSA.
Delegasi UMPSA disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Aerodyne Sdn. Bhd., Dato' Kamarul A Muhamed iaitu sebuah syarikat terkemuka dalam bidang teknologi dron, transformasi digital dan data analitik. 

Dalam sesi perbincangan, beliau berkongsi tentang bagaimana Aerodyne berkembang dengan pantas di peringkat global melalui inovasi berterusan, etika kerja yang kukuh, dan budaya kerja berprestasi tinggi. 

Menurutnya, kejayaan Aerodyne banyak didorong oleh penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang telah membuka ruang inovasi dan membolehkan syarikat mencapai hasil yang lebih tepat dan pantas.

Sementara itu, ketika sesi lawatan di ibu pejabat Cisco Malaysia pula perbincangan tertumpu kepada teknologi-teknologi infrastruktur digital yang dapat memperkasa ekosistem kampus pintar UMPSA. 

Delegasi UMPSA turut diberi peluang untuk melihat secara langsung teknologi WiFi 7 yang menawarkan kelajuan lebih tinggi dan latensi lebih rendah. 

Selain itu, para delegasi UMPSA turut didedahkan kepada Cisco Spaces iaitu satu platform pintar yang membolehkan pengurusan dan pemantauan persekitaran bangunan secara lebih komprehensif. 

UMPSA dan Aerodyne & Cisco Malaysia teroka inovasi Kampus Pintar

Cisco Spaces menggunakan data daripada rangkaian WiFi dan peranti IoT untuk menyediakan analitik masa nyata mengenai penggunaan ruang, kepadatan orang ramai, serta tahap kualiti udara dalam bangunan. 

Dengan teknologi ini, institusi seperti UMPSA dapat mengoptimumkan penggunaan tenaga dan ruang kerja dengan lebih baik.

Lawatan itu turut mengukuhkan aspirasi UMPSA dalam merealisasikan transformasi digital yang menyeluruh bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan kampus dan pengalaman pembelajaran yang lebih dinamik. 

Kerjasama strategik bersama Aerodyne dan Cisco Malaysia membuka peluang kepada UMPSA untuk meneroka teknologi terkini yang dapat menyokong pembangunan kampus pintar yang lebih cekap, lestari, dan selari dengan keperluan pendidikan masa hadapan

Disediakan Oleh: Irman Khalil, Jabatan Pengurusan Pengetahuan dan Teknologi Maklumat (JPPTM)
 

Reports by:
Admin UMP News