Skip to main content

UMPSA dan YASA lancar Akademi Menara Gading 2.0

GAMBANG, 2 Oktober 2024 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bersama rakan strategiknya Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) hari ini telah melancarkan program Akademik Menara Gading 2.0 di Dewan Astaka, UMPSA Kampus Gambang.

Akademi Menara Gading (AMG) adalah hasil cetusan idea Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah yang juga merupakan Canselor UMPSA dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti AlMarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj yang sentiasa prihatin terhadap masa depan pendidikan di negeri Pahang.

Program Akademi Menara Gading 2.0 ini berpandukan kepada empat objektif utama iaitu kecemerlangan bidang akademik terutamanya bidang STEM, pelaksanaan program pembangunan modal insan holistik, melahirkan pelajar memiliki kemahiran insaniah terutamanya kepimpinan kesukarelawanan dan yang terakhir melatih pembinaan kesejahteraan kesihatan fizikal serta mental.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman yang hadir mewakili Naib Canselor UMPSA, Prof Dato Ts Dr Yuserrie Zainuddin  berkata, UMPSA sentiasa komited dan bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak khususnya yang mempunyai objektif serta agenda dalam meningkatkan tahap pendidikan para pelajar.

“Dengan kepakaran yang dimiliki oleh Universiti ini dalam pelbagai lapangan kejuruteraan, sains dan teknologi, saya percaya UMPSA sememangnya berkeupayaan untuk berperanan sebagai rakan sinergi yang kompeten bagi mencapai hasrat yang dihajatkan”, katanya.

Dalam pada itu, UMPSA juga telah mewujudkan program Faculty@School yang merupakan inisiatif strategik UMPSA dalam membangunkan jenama UMPSA sebagai universiti pilihan utama melibatkan kolaborasi di antara UMPSA dan 8 buah sekolah terpilih di sekitar Kuantan dan Pekan, Pahang.

UMPSA dan YASA lancar Akademi Menara Gading 2.0

Hadir merasmikan majlis Yang Di Pertua Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, Tan Sri Dato’ (Dr) Johari bin Abdul merasmikan Majlis Pelancaran Akademi Menara Gading 2.0.

Turut hadir Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Haji Ahmad Khirrizal bin Haji Ab. Rahman, Pengurus Besar Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA), Tuan Haji Mohd Fakhrul Islam bin Juhali, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kosma, Dato’ Haji Abdul Rahim bin Mohamad, Ketua Penolong Pengarah Kanan (Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri), Tuan Muhamad Sapiee bin Meon dan Wakil dari Majlis Ugama Islam Pahang, Tuan Haji Abdul Rahman bin Talib.

Sementara itu, Haji Mohd Fakhrul Islam berkata, Program AMG NEXT-GEN yang diperkenalkan melalui akademi ini menumpukan kepada pembinaan generasi baharu pemimpin muda Pahang berasaskan Konsep Abdullah.

Ujarnya, sasaran penerima manfaat adalah pelajar yang kurang berkemampuan, golongan asnaf, serta anak-anak yatim. 

Program ini menyediakan platform pembangunan modal insan yang holistik dan merangkumi pelbagai bidang akademik, terutamanya dalam STEM. 

Selain itu, melahirkan pelajar yang mempunyai kemahiran insaniah dalam kepimpinan, kesukarelawanan,  dan kesejahteraan fizikal serta mental.

Turut berlangsung pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara UMPSA dan YASA.

Majlis pada hari ini dihadiri lebih 250 orang melibatkan warga universiti, pengetua sekolah, guru-guru dan pelajar sekolah.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri