Skip to main content

UMPSA diiktiraf 609 terbaik dunia dalam QS WUR, tersenarai kelompok 200 terbaik penarafan THE Impact Rankings

PEKAN, 19 Jun 2025- Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melonjak di tangga ke-609 terbaik dunia dalam penarafan QS World University Rankings (QS WUR) 2026 yang diumum baru-baru ini. 

Kedudukan ini mengekalkan kedudukan UMPSA sebagai universiti teknikal nombor satu terbaik dalam kalangan Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

Lebih membanggakan bagi petunjuk sitasi per fakulti, UMPSA berada di kedudukan kedua terbaik di Malaysia. 

Indikasi ini menunjukkan karya penyelidikan dari fakulti di UMPSA berkualiti dan sering dirujuk dalam penerbitan akademik lain.

Ia adalah berdasarkan kriteria penilaian QSWUR 2026 yang merangkumi reputasi akademik, sitasi per fakulti, reputasi pekerja, nisbah fakulti dan pelajar. 

Lain-lain adalah hasil pekerjaan, fakulti (staf) antarabangsa, rangkaian penyelidikan antarabangsa, pelajar antarabangsa dan kelestarian.

UMPSA diiktiraf 609 terbaik dunia dalam QS WUR, tersenarai kelompok 200 terbaik penarafan THE Impact Rankings

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, UMPSA turut berada di kedudukan kelapan terbaik di Malaysia bagi indikasi rangkaian penyelidikan antarabangsa yang memberikan petunjuk kerjasama penyelidikan yang melibatkan institusi, universiti, atau penyelidik dari pelbagai negara dalam usaha menghasilkan penyelidikan berkualiti tinggi.

“Pada masa yang sama, UMPSA juga berbangga dengan pencapaian UMPSA dalam penarafan Times Higher Education Impact Rankings (THEIR) 2025 apabila berada di tangga 101-200 terbaik yang menilai penglibatan universiti ini berasaskan 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dengan komponen utama dinilai adalah penyelidikan, pengurusan, jaringan dan pengajaran.

“UMPSA juga berada di kedudukan pertama nombor satu di Malaysia dan kedudukan ke-18 terbaik dunia bagi SDG7: Tenaga Mampan dan Berpatutan. 

“Bagi penarafan THEIR ini, UMPSA berada di kedudukan kelima terbaik di Malaysia dan kedudukan pertama dalam kalangan MTUN,” ujarnya.

UMPSA diiktiraf 609 terbaik dunia dalam QS WUR, tersenarai kelompok 200 terbaik penarafan THE Impact Rankings

Pihaknya merakamkan penghargaan tahniah buat warga UMPSA atas pencapaian yang membanggakan dalam usaha universiti dalam menangani masalah dunia berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“UMPSA akan terus memperkayakan penyelidikan dalam pembangunan lestari dan teknologi hijau serta memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Termaju atau dikenali sebagai Advanced TVET seiring dengan hasrat universiti menjadi Hab TVET Termaju di ASEAN.

“UMPSA bukan sahaja melahirkan graduan kompeten, malah menjadi pemangkin transformasi TVET melalui program pengantarabangsaan akademik yang merupakan program `signature’ universiti ini. 

“Kita juga berbangga dengan Kadar Bekerja Graduan (GE) 2024 yang mencapai 99.1 peratus antara tertinggi di Malaysia,” katanya.

Ujarnya, sehingga kini, UMPSA merupakan satu-satunya universiti awam (UA) yang telah melaksanakan sebelas program ijazah dual dengan kerjasama rakan strategik, Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) yang kini masuk tahun ke-15. Ini termasuklah Mannheim University of Applied Sciences (HMA) Jerman, Beijing Jiaotong University (BJTU) dan Tianjin University, China, Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU), Kazakhstan dan terbaharu dengan Hanyang University Erica Campus, Korea Selatan. 

“UMPSA komited menyediakan bakat tempatan yang mahir dalam bidang teknologi dan menjadi semakin penting bagi negara memanfaatkan peluang ekonomi berkaitan. 

“Program ijazah dual ini dijangka membuka lebih peluang meneroka kerjasama penyelidikan dan perkongsian kepakaran dalam bidang Kejuruteraan serta Teknologi bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.

“Selain itu, UMPSA juga diiktiraf universiti pertama di Malaysia oleh Malaysia Board of Technologists (MBOT) sebagai perintis Program Offshore (Pesisir) bagi program kerjasama UMPSA dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi memberi peluang lebih ramai mengikuti pengajian TVET di negara ini,” tambah beliau lagi. 

Merealisasikan UMPSA sebagai peneraju TVET Termaju, Universiti melakar sejarah apabila berjaya menerima pengiktirafan Asia Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC) dengan Status Akreditasi Tahap Emas daripada Asia Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC).

Akreditasi antarabangsa ini menjadikan UMPSA sebagai universiti awam (UA) dan MTUN pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan tertinggi dalam bidang TVET di Asia Pasifik.

Dalam memperluas akses pendidikan tinggi negara, UMPSA juga berbangga apabila diiktiraf sebagai salah satu daripada empat universiti yang dilantik oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sebagai Pusat Verifikasi Kualiti (QVC) dalam menjalankan penilaian verifikasi kualiti Stand-alone Micro-credentials (SAMC) bagi tahap Sijil (T-3) hingga Ijazah Kedoktoran (T-8) tertakluk kepada syarat-syarat yang selari dengan piawaian Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).

UMPSA juga kini mempunyai Pusat Serantau Kemahiran Vokasional China-Malaysia dengan penubuhan China-Malaysia Chinese Plus Vocational Skills Regional Development Center (Malaysia) hasil jalinan kerjasama dengan Center for Language Education and Cooperation (CLEC) dan Hebei University. 

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri