UMPSA edar 4,500 pek sarapan pagi percuma sepanjang minggu peperiksaan
PEKAN, 27 Jun 2024 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengedarkan sebanyak 4,500 pek sarapan pagi percuma kepada para pelajarnya sepanjang Minggu Peperiksaan Akhir Semester 2 Sesi Akademik 2023/2024 yang bermula pada 24 Jun hingga 10 Julai 2024.
Edaran pek sarapan pagi itu bermula pada pukul 8.00 pagi setiap hari di Dewan Serbaguna, UMPSA Pekan dan di Dewan Kompleks Sukan Universiti, UMPSA Kampus Gambang.
Pek sarapan pagi itu diedarkan oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin di Dewan Kompleks Sukan Utama, UMPSA Kampus Gambang.
Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, sarapan pagi percuma kepada pelajar ini merupakan salah satu inisiatif dalam usaha menjaga kebajikan pelajar.
“UMPSA komited dan prihatin terhadap keperluan para pelajar menjelang musim peperiksaan.
“Inisiatif pemberian sarapan pagi percuma ini telah dijalankan sejak tahun 2022.
“Ia merupakan satu kemudahan buat para pelajar dalam menghadapi peperiksaan dan sebagai tanda sokongan moral universiti kepada para pelajar agar lebih fokus dalam menghadapi peperiksaan” ujarnya.
Edaran sarapan pagi percuma dijangka memberi manfaat kepada lebih 4,000 pelajar di UMPSA.
Pelajar Fakulti Komputer (FK), Sandhia a/p Pichan berkata, sarapan pagi percuma ini membantu pelajar agar lebih fokus semasa menjawab peperiksaan kerana kekangan masa, mereka dapat mengalas perut sebelum masuk ke dalam dewan peperiksaan.
“Inisiatif ini sangat bagus kerana saya dapat mengalas perut sebelum menjawab peperiksaan dan membantu saya untuk lebih fokus semasa di dalam dewan peperiksaan,” ujarnya.
Begitu juga menurut pelajar tahun tiga dari FK, Nur Syamila Nabilah Mohd Sanosi, berharap agar inisiatif ini diteruskan kerana dapat membantu meringankan beban pelajar terutamanya ketika menjelang hujung semester pengajian.
“Bagi saya inisiatif ini sangat bagus kerana kami selalu tidak sempat untuk mengambil sarapan pagi dan menjelang hujung semester, kebanyakan pelajar akan mempunyai kekangan kewangan perbelanjaan.
“Oleh itu inisiatif ini dapat meringankan sedikit beban pelajar,” katanya.
Edaran pek sarapan pagi percuma ini kendalikan oleh Unit Pembiayaan, Kebajikan dan Disiplin, Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) UMPSA dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMPSA.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 49 views