UMPSA Kenang Jasa Pesara dalam Majlis Jasa Dikenang 2025
PEKAN, 2 September 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menghargai khidmat bakti dan pengorbanan 12 orang pesaranya melalui penganjuran Majlis Jasa Dikenang 2025 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Canseleri Tun Razak, UMPSA Pekan.
Majlis itu merupakan manifestasi tanda penghormatan, penghargaan, ingatan dan kasih sayang universiti terhadap pegawai yang telah mencurahkan tenaga, masa serta ilmu pengetahuan sepanjang perkhidmatan mereka di UMPSA.
Antara pesara yang diraikan termasuk Profesor Dr. Mohd Zuki Salleh (Pusat Sains Matematik), Profesor Madya Ir. Dr. Ayib Rosdi Zainun (Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik), Profesor Madya Dr. Mohamad Idris Ali dan Profesor Madya Dr. Aishah Abu Bakar (Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam), serta Puan Hartini A. Muain ddari Jabatan Bendahari, Cik Ratna Wilis Haryati Mustapa dari Perpustakaan, Cik Zainon Mohd Ali dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Encik Suhaimi Khalid dari Pusat Kesihatan Universiti, serta Encik Rosli Ismail dari Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta.
Turut hadir waris dan keluarga Allahyarham Rosilavi Mat Jusoh, Allahyarhamah Dr. Nurul Mubinah Suhaimi dan Allahyarham Muhammad Fadhli Othman.
Turut hadir Pendaftar, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim, Ketua Pustakawan, Kamariah Gono dan barisan pengurusan universiti.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran ahli keluarga pesara dan wakil warga universiti sebagai simbolik kepada penghargaan UMPSA terhadap sumbangan mereka yang menjadi sebahagian daripada pembangunan institusi ini.
Menurut Dato’ Saiful Bahri, majlis ini bukan sekadar sebagai tanda penghormatan, tetapi juga merupakan pengiktirafan atas jasa dan bakti yang telah dicurahkan oleh pesara UMPSA.

“Sumbangan mereka menjadi asas penting dalam pembangunan universiti dan akan sentiasa dikenang serta dijadikan teladan oleh warga yang masih berkhidmat,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada keluarga pesara yang sentiasa memberi sokongan sepanjang tempoh perkhidmatan, sambil mendoakan agar para pesara terus diberi kesihatan yang baik dan terus menyumbang kepada masyarakat walaupun sudah menamatkan perkhidmatan rasmi di universiti.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 182 views
Reports by: