UMPSA sertai Majlis Menandatangani Nota Kerjasama di antara KEMENTAH dan KPT
KUALA LUMPUR, 2 Disember 2024 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berbangga menjadi sebahagian daripada Majlis Menandatangani Nota Kerjasama di antara Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang berlangsung di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM.
Majlis ini menyaksikan usaha kerjasama strategik antara dua kementerian utama dalam membangunkan program Work-Based Learning (WBL), Program Komuniti Tertumpu dan Kolaborasi Industri Pertahanan.
Program ini dirangka untuk meningkatkan tahap pendidikan, kemahiran, serta kebolehpasaran warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan komuniti awam yang terlibat.
Majlis dirasmikan oleh Menteri Pertahanan, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
Acara turut dimeriahkan dengan kehadiran tetamu kehormat antaranya naib canselor institusi pengajian tinggi, pegawai tertinggi ATM serta pemimpin sektor pendidikan dan pertahanan.
UMPSA diwakili oleh Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Lt. Kol. Dato’ Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Pengarah Akademi A.D.A.B, Profesor Madya Dr. Mohd Nizam Mohmad Kahar dan Pengurus Akademi A.D.A.B, Saharudin Ramli.
Menurut Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha, UMPSA komited dalam menyokong inisiatif ini menerusi penyediaan pendidikan berkualiti serta peluang latihan kepada anggota ATM dan komuniti awam yang terlibat.
“Nota Kerjasama ini juga melibatkan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Yayasan LTAT dengan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), serta Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Turut diadakan adalah sesi penyerahan surat tawaran diploma UiTM kepada peserta program WBL yang terpilih.
Majlis tersebut diakhiri dengan sesi pertukaran cenderamata dan sesi bergambar sebagai simbolik permuafakatan kedua-dua kementerian.
UMPSA berbesar hati menjadi sebahagian daripada usaha strategik ini yang selaras dengan matlamat universiti untuk menyumbang kepada pembangunan modal insan negara.
Disediakan Oleh: Leftenan Madya Maritim Kehormat Saharudin Ramli, Akademi A.D.A.B., Jabatan Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni (JHEPA)
- 11 views