Ustaz Ebit Lew kongsi rahsia kejayaan buat warga UMP
PEKAN, 3 Mei 2021 – “Hidup kita akan lebih bermakna dengan membahagiakan dan mengembirakan orang lain.
“Jadilah orang yang baik, ikhlas, rajin berusaha dan jangan pernah putus asa, sabar insya-Allah suatu hari nanti pasti berjaya,” kata Ustaz Ebit Lew semasa program Siri Bicara Profesional UMP dengan tajuk ‘Pembangunan Komuniti Melalui Keusahawanan Sosial’ yang disiarkan secara langsung secara dalam talian melalui Facebook baru-baru ini.
Katanya, kita perlu ingat setiap kesusahan dan tekanan dalam hidup ialah pendidikan yang sangat besar yang akan mendorong untuk kita lebih jadi berani dan tidak akan berputus asa hingga kita berjaya.
“Dari dahulu cita-cita saya untuk berjaya dalam hidup dengan matlamat untuk membahagiakan kedua ibu bapa saya.
“Saya berasal dari keluarga susah. Justeru dengan kesusahanlah membawa kejayaan pada hari ini.
“Antara petua kejayaan yang boleh kita amalkan ialah kita perlu yakin dengan apa yang kita lakukan dan pastikan sentiasa jujur dalam apa jua yang kita lakukan.
“Selain itu, kita jangan terlalu bergantung kepada manusia. Yakinlah dengan doa, Allah SWT pasti membantu kita,” katanya.
Beliau yakin jika semua orang kaya sanggup berkongsi dan membantu golongan yang memerlukan, pasti tiada golongan miskin dan kanak-kanak terbiar yang tidak bersekolah.
“Kita perlu ingat perjuangan kejayaan ialah dengan membuat kedua ibu bapa agar sentiasa tersenyum.
“Tidak lupa juga pasang niat yang betul untuk membahagiakan orang lain dan memberi manfaat kepada mereka.
“Malahan, setiap apa yang kita lakukan, jangan terlalu berkira kerana definisi kaya sebenarnya adalah untuk membahagiakan orang lain. Niat yang betul akan menjadikan hidup kita sangat bermakna,” ujarnya.
Justeru katanya, sekiranya kita ingin membahagiakan orang lain mulakan dengan membahagiakan orang yang terdekat dengan kita.
Beliau turut berkongsikan pengalamannya sewaktu kecil, tatkala beliau tidak mampu membayar yuran persekolahan, muncul penyumbang yang membayarkan yurannya.
Bermula dari itu, beliau bertekad suatu hari nanti akan bangkit untuk membantu orang yang senasib dengannya.
“Alhamdulillah, masyarakat kini telah ramai yang menerima manfaat sama ada dalam negara mahu pun luar negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau telah membantu seramai lebih 70 orang kanak-kanak di Kuantan dalam urusan pembayaran yuran dan barang keperluan persekolahan.
Beliau turut menggalakkan pelajar UMP untuk menceburkan diri dalam bidang peniagaan, namun jika ingin memulakan perniagaan, mulakan dari bawah kerana pengalaman itulah yang akan mematangkan kita dalam perniagaan.
“Satu lagi perkara yang lebih penting, jangan ada perasaan hasad dengki. Ia tak menghalalkan cara untuk berjaya.
“Kunci utama iaitu kita kena berusaha dan kreatif untuk menjadi yang terbaik dalam melakukan sesuatu perkara.
“Sudah lumrah kehidupan, kadang kala ujian pasti menjelma. Sebagai umat Islam ada dua situasi sama ada untuk kita menerimanya dengan hati yang terbuka atau terima musibah dengan penuh kemarahan,” katanya yang kini mempunyai 23 buah cawangan Ebit Lew Mart dalam tempoh setahun.
Namun, katanya, “Ingatlah semua yang berlaku kerana Tuhan sayangkan kita dan Dia hendak kita menjadi lebih kuat dan jadikan ia sebagai pengalaman yang manis dalam kehidupan.
Program yang berlangsung hampir dua jam secara dalam talian itu dikendalikan oleh Penolong Naib Canselor, Jabatan Pembangunan Graduan, Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin dari Studio Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), UMP Pekan.
Program Siri Bicara Profesional anjuran Jabatan Pembangunan Graduan itu mengetengahkan tokoh atau ikon industri untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran bersama komuniti UMP.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 126 views