FIMiEx2025 memperkukuh ekosistem inovasi negara, platform merentas generasi lahirkan pemikir masa depan
KUANTAN, 30 November 2025 – Faculty of Industrial Management Innovation Exhibition 2025 (FIMiEx2025) anjuran Fakulti Pengurusan Industri (FPI) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sekali lagi membuktikan kedudukannya sebagai platform inovasi berimpak tinggi untuk kali keempat sejak penganjurannya apabila berjaya menghimpunkan penyertaan yang merentas generasi dan latar belakang yang berlangsung di BCIC Lodge, Kuantan.
Penganjuran tahun ini menyaksikan penglibatan pelajar sekolah rendah, sekolah menengah, mahasiswa, agensi kerajaan serta pemain industri yang secara kolektif memperlihatkan perkembangan budaya inovasi yang semakin matang dalam negara dan merupakan penganjuran pertama luar dari kampus.
Majlis penutupan FIMiEx2025 telah disempurnakan oleh Penolong Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UMPSA, Profesor Dr. Mohd Hasbi Ab Rahim.
Majlis turut dihadiri oleh Dekan FPI, Dr. Mohd Hanafiah Ahmad, Penolong Pengarah Pembangunan Bakat Murid Kokurikulum (STEM), Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Tuan Jamil Hamzah Sazali, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Hajjah Kalsom, Tuan Haji Jonaidi Osman, dan Regional Business Manager (Deposit), East Coast Region MBSB, Nurasyikin Muhd Akhir, selain wakil industri, panel juri, penaja dan pempamer.
Dalam ucapannya, Profesor Dr. Mohd Hasbi menegaskan bahawa impak penganjuran FIMiEx2025 tahun ini semakin terserlah apabila penyertaannya membabitkan kelompok peserta yang luas dan pelbagai.
“FIMiEx tidak lagi menjadi platform inovasi biasa, ia kini adalah ruang penyatuan di antara sekolah, IPT demham industri.
"Apabila pelajar sekolah rendah, menengah, mahasiswa dan profesional berkumpul di tempat yang sama, ia membawa mesej bahawa inovasi itu milik semua.
"Pada tahun 2019, kami hanya menerima 36 penyertaan, namun hari ini, penyertaan melonjak dengan penglibatan dari seluruh negeri serta pelbagai sektor dan saya melihat perkembangan ini sebagai bukti bahawa ekosistem inovasi negara semakin subur dan semakin diterima pada peringkat akar umbi,” ujarnya.
Mengulas tentang tema tahun ini, 'Smart Innovation for A Sustainable Future', beliau berkata bahawa setiap idea dan prototaip yang dibawa ke FIMiEx2025 harus mencerminkan penyelesaian kepada cabaran masa depan.
“Inovasi yang kita perlukan hari ini bukan sekadar baharu atau unik.
"Inovasi mestilah bijak, mesra alam, mampan dan mampu menyelesaikan masalah sebenar.
"Inilah pendekatan yang kami tekankan dalam FIMiEx2025,” jelasnya.
Beliau turut mengakui bahawa penyertaan pelajar sekolah dalam program ini merupakan pencapaian besar kerana ia menandakan pemupukan bakat sejak usia muda.
“Apabila saya melihat murid sekolah rendah menghasilkan idea dan prototaip mereka sendiri, saya yakin masa depan inovasi negara berada di tangan yang baik kerana mereka ini mungkin kecil usianya, tetapi idea mereka tidak kecil.
“Hubungan antara universiti dan industri bukan lagi hubungan pinggiran, mereka kini menjadi rakan strategik yang memberi bimbingan, penajaan, input teknologi dan peluang kolaborasi.
"Kita sangat menghargai komitmen industri yang tidak putus-putus menyokong penganjuran FIMiEx sejak beberapa tahun lalu,” ujarnya.
Profesor Dr. Mohd Hasbi turut memberikan penghormatan kepada FPI atas dedikasi yang tidak berbelah bahagi dalam memastikan program berjalan lancar.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada panel juri yang menilai tiga subprogram utama iaitu FIMiEx Innovation (FINO), Youth Entrepreneur Challenge (YEC) dan Sumo Robot Competition (ROBO SUMO) yang memerlukan kepakaran dan masa yang tinggi.
Beliau menitipkan nasihat agar tidak berhenti mencipta selepas FIMiEx2025.
“Jangan anggap hari ini sebagai penghujung perjalanan saudara-saudari.
"Jadikan FIMiEx sebagai batu loncatan untuk menyertai pertandingan seperti CITREX, ITEX dan PECIPTA.
"Dunia inovasi ini tidak ada batasnya, teruskan langkah, teruskan meneroka,” katanya.
Tambahnya, beliau percaya FIMiEx mampu menjadi salah satu program inovasi paling berprestij di UMPSA.
Majlis penutupan turut mengiktiraf semua pemenang daripada ketiga-tiga subprogram.
Bagi subprogram FINO, pengiktirafan Young Innovator Award diberikan kepada projek ‘Smart AI Library Book Monitoring and Notification System with Paperless Innovation’ dari Maahad Tahfiz Negeri Pahang dan projek ‘SKILLPARK – AI Powered Platform for Skills Learning’ dari Sekolah Kebangsaan Assunta Convent.
Bagi kategori Emerging Researcher Award, penghargaan disampaikan kepada projek ‘Leo-Pack: Lemongrass Essential Oil-Infused Starch Edible Film Packaging’ dari UMPSA.
Dalam kategori Emerging Innovator Award pula, projek ‘MECHALIFT: An Ergonomic Platform Based on Hydraulic System for Vehicle Maintenance’ dari Politeknik Merlimau Melaka menerima pengiktirafan.
Seterusnya, kategori Outstanding Researcher Award menobatkan projek ‘IoT-Enabled Smart Modular Greenhouse for Sustainable and Autonomous Farming’ dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang, Kampus Raub, manakala kategori ‘Outstanding Innovator Award’ pula diberikan kepada projek ‘TECHNOSPARK HELMET’ dari Kolej Komuniti Kuantan.
Tiga anugerah khas TRIZ turut diumumkan, iaitu Most Inventive yang diberikan kepada projek ‘Smart e-Space: Revolutionizing Outbound Logistics with AI Technology’ dari Politeknik METrO Johor Bahru, Most Creative melalui kajian komposit berasaskan hampas kopi dan resin epoksi oleh Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), dan Most Innovative bagi projek /AR Eco-label Fashion Tag’.
Dalam subprogram Youth Entrepreneur Challenge (YEC), kategori Best Sustainable Business Award diberikan kepada inovasi makanan berasaskan pengurangan pembaziran melalui produk ‘ReFruit Noodles – Eat Smart Waste Less’ hasil usaha Kolej Komuniti Jeli Kelantan.
Kategori Most Innovative Idea Award pula diungguli oleh ‘Codetronics IoT World’ daripada syarikat Codetronics, manakala kategori Best Commercialization Potential Award diberikan kepada ‘SecureAir Co.’ dari UMPSA.
Bagi subprogram ROBO SUMO, kategori Radio Controlled menyaksikan pasukan ‘Codetronic Alpha 1’ dari Codetronic IoT World dinobatkan sebagai juara.
Dalam kategori Autonomous, kemenangan turut menjadi milik pasukan daripada organisasi yang sama melalui pasukan Codetronic Bravo 2, sekali gus membuktikan penguasaan mereka dalam kedua-dua kategori pertandingan.
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 51 views
Reports by: