Mobiliti akademik ke Kobe University perkukuh jaringan teknologi dan pertukaran budaya pelajar UMPSA
KOBE, 27 November 2025 – Seramai sepuluh orang pelajar daripada empat fakulti di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menyertai Program Mobiliti Akademik Tidak Berkredit di Kobe University, Jepun selama enam hari bermula pada 25 hingga 30 November 2025 anjuran Perwakilan Mahasiswa Kolej Kediaman 6 (PEKA 6).
Peserta yang terdiri daripada pelajar pelbagai disiplin akademik merupakan pelajar daripada Fakulti Komputeran (FK), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), serta Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM).
Ia diiringi oleh Eksekutif Kanan Jabatan pendaftar, Mohd Izzat Shafie@Mohd Alias merangkap penasihat program.
Menurut Mohd Izzat, program ini diadakan bagi memperkukuh jaringan akademik global serta memantapkan pembangunan pelajar dalam persekitaran antarabangsa.

“Sepanjang program berlangsung, pelajar telah mengikuti sesi pengenalan bersama Profesor Hibiki Takahira, selaku penyelaras yang membawa pelajar melawat lokasi sekitar bandar Kobe dan Kampus Kobe Universiti.
“Antara tempat lawatan adalah The Great Hanshin-Awaji Earthquake Memorial Disaster Reduction and Human Renovation Institution.
“Di siti pelajar berpeluang mempelajari sejarah gempa bumi yang melanda Kobe pada tahun 1995 serta melihat inovasi kejuruteraan dan strategi pembinaan semula bandar Kobe yang dilaksanakan dalam tempoh 30 tahun selepas tragedi tersebut,” katanya.
Tambahnya, paparan video saat-saat kejadian serta barang tinggalan mangsa menjadi rujukan kepada pelajar berkenaan kepentingan persediaan dalam menghadapi bencana.
“Di samping itu, pelajar juga berpeluang melawat tempat ikonik di Kobe seperti Kobe Port Tower, Meriken Park dan Earthquake Memorial Park.
“Menerusi lawatan di bawah bimbingan Profesor Dr. Keiko Gion dari Graduate School Medicine, pelajar berkesempatan berkunjung ke Department of Medical Device Engineering yang berada di Port Island dan tersenarai di dalam 10 pulau buatan (artificial island) yang terbesar di dunia dan menempatkan beberapa universiti, hospital dan kemudahan lain.
“Sesi lawatan ini mendedahkan pelajar kepada kaedah penghasilan inovasi melalui latihan amali (hands-on training) serta lawatan ke makmal penyelidikan peranti perubatan bagi memahami penggunaan teknologi terkini dalam kejuruteraan perubatan,” ujarnya.
Beliau menambah, delegasi juga turut diberikan peluang menghadiri siri pembentangan dan lawatan akademik di Graduate School of Human Development and Environment yang berada di Kampus Rokkodai, iaitu Kampus utama Kobe University yang terletak di kawasan berbukit.

“Antara penyelidik yang berkongsi kepakaran termasuk Profesor Dr. Nobuko Ohmido, Profesor Dr. Atsushi Tani, Profesor Madya Dr. Tatsuya Saga dan Profesor Madya Dr. Kosuke Kurosawa.
“Sepanjang sesi ini, pelajar didedahkan kepada kepelbagaian bidang penyelidikan seperti sitogenetik, proses kimia berinduksi plasma, entomologi serta kajian evolusi planet yang menonjolkan kecemerlangan penyelidikan universiti dalam menempatkan universiti ini antara 15 universiti terbaik Jepun.
“Lawatan ke Makmal Energy Conversion Engineering (MH-3) bersama Profesor Dr. Hitoshi Asano pula memberi peluang kepada pelajar untuk pembelajari penyelidikan berkaitan teknologi penukaran tenaga, kejuruteraan haba dan aplikasi tenaga mampan,” ujarnya.
Beliau turut berkongsi turut diadakan sesi yang melibatkan komunikasi dua hala antara pelajar UMSPA dan pelajar Kobe University yang sedang menjalankan penyelidikan makmal.
“Dalam sesi penerangan berkenaan universiti, turut dimaklumkan bahawa Perdana Menteri wanita pertama Jepun sekarang iaitu Sanae Takaichi merupakan Alumni Kobe Universiti
“Dalam aspek pertukaran budaya, di samping sesi interaksi bersama pelajar antarabangsa dan pelajar Jepun berkenaan budaya pembelajaran kelas, delegasi juga turut diberikan pengalaman berkenaan etika meja makan (Japanese Table Manners) dan seni serta maksud dalam penyediaan makanan.

“Pembelajaran tentang Chanoyu, iaitu seni menghidangkan teh hijau yang menjadi simbol budaya Jepun turut dirasai oleh delegasi pada sesi penutup setelah serahan sijil penglibatan pelajar diadakan,” ujarnya.
Selain itu, pelajar juga sempat melawat Masjid Kobe yang merupakan masjid pertama di Jepun yang dibina pada 1935 dan antara bangunan yang terselamat ketika gempa bumi Hanshin pada 1995.
Turut berkongsi pengalaman sepanjang program adalah pelajar Tahun 4 FK, Umie Kalsum Ghazali merangkap pengarah program, program mobiliti ini bukan sahaja memperluas perspektif global mahasiswa, malah meningkatkan keyakinan mereka dalam persekitaran akademik antarabangsa.
“Inisiatif ini turut mengukuhkan usaha UMPSA dalam memperluas kerjasama penyelidikan dan pertukaran akademik bersama Kobe University, sekali gus membuka peluang kolaborasi jangka panjang dalam bidang teknologi dan inovasi,” ujarnya.
Para pelajar turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak UMPSA terutamanya Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) atas sokongan kelulusan dan kewangan program yang secara tidak langsung memberi peluang kepada pelajar untuk terlibat dalam program mobiliti serta PEKA 6 yang menganjurkan program, Kedutaan Malaysia di Tokyo, staf dan pelajar Kobe University yang terlibat dalam sesi lawatan dan syarikat penaja iaitu Axis Technology Resources (M) Sdn. Bhd.
Disediakan oleh: Mohd Izzat Shafie@Mohd Alias, Jabatan Pendaftar
- 51 views