Skip to main content

UMPSA memperkukuh hubungan dengan BJTU bakal tawar program Sarjana dan Doktor Falsafah Dual

BEIJING, 12 November 2025- Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sedang mempertimbang untuk melaksanakan Program Sarjana dan Doktor Falsafah Dual lanjutan cadangan Presiden Beijing Jiaotong University (BJTU), Yu Zujun hasil kejayaan program Ijazah Dual UMPSA-BJTU yang telah berjaya melahirkan seramai 45 graduan perintis bagi program ini. 

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, sebagai sebuah universiti yang turut memfokuskan dalam Kejuruteraan Teknologi Rel, UMPSA berbesar hati untuk memperluas kerjasama sedia ada dengan BJTU dalam inovasi keretapi dan kejuruteraan pengangkutan.

“Kejayaan ini merupakan langkah signifikan ke arah melahirkan tenaga kerja mahir untuk menyokong pembangunan sektor rel di Malaysia, termasuk projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka beroperasi pada tahun 2026.

“Program ijazah dual ini membuka lembaran sejarah di antara UMPSA dengan BJTU bagi mengeratkan hubungan kerjasama strategik dan membuka peluang yang lebih meluas dalam bidang penyelidikan serta pembangunan akademik kedua-dua universiti.

“Selain itu, pertumbuhan sektor pembuatan dan industri di Malaysia pada masa kini memerlukan lebih banyak tenaga pakar dan berkemahiran dalam pelbagai bidang teknologi,” ujarnya bersempena Lawatan Kerja Rasmi ke China yang bermula hari ini. 

Turut sama Pengarah Confucius Institute UMPSA, Profesor Madya Ts. Dr. Lee Khai Loon.

Pada petang tadi, Profesor Dr. Yatimah telah mengadakan kunjungan kepada Presiden BJTU), Yu Zujun. 

Selain Presiden, ketibaan beliau dan delegasi UMPSA disambut oleh Timbalan Presiden BJTU, Gao Liang, dan dekan-dekan fakulti BJTU. 

UMPSA memperkukuh hubungan dengan BJTU bakal tawar program Sarjana dan Doktor Falsafah Dual

Hubungan antara UMPSA dan BJTU ini telah terbina pada sejak tahun 2018 melalui memorandum persefahaman (MoU) dan diteruskan melalui program ijazah dual pada tahun 2021 yang bertujuan untuk melahirkan jurutera yang berfikiran global, berakar budaya dan bersedia menghadapi masa depan terutama dalam bidang kejuruteraan rel.

 
Hari ini kedua-dua pihak amat berbangga dengan pencapaian kumpulan pertama graduan program Ijazah Dual UMPSA-BJTU. 

Ujarnya lagi, kejayaan ini bukan sekadar menandakan penyempurnaan suatu program tetapi permulaan lebih banyak kisah kejayaan dan inspirasi.

“Selain itu, pihakn UMPSA turut bersetuju untuk memperluas kerjasama sedia ada melalui program sangkutan staf. 

“UMPSA bercadang untuk menghantar staf mengikuti kursus jangka pendek dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), Kejuruteraan Pintar dan Teknologi Rel. 

“Saya turut mempelawa BJTU menjadi rakan strategik antarabangsa UMPSA di bawah inisiatif Hab TVET Termaju ASEAN melalui kerjasama dalam penyelidikan dan inovasi untuk sistem pengangkutan yang mampan dan lestari,” katanya. 

Pihaknya turut menghargai sokongan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Duta Besar China di Malaysia serta hasil kolaborasi dengan pihak BJTU.

Sehingga kini, UMPSA merupakan satu-satunya universiti awam (UA) yang telah melaksanakan 11 program ijazah dual dengan kerjasama rakan strategik, Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) dan Technishe Hochschule Mannheim (THM) Jerman, BJTU dan Tianjin University, China, Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU), Kazakhstan dan dengan Hanyang University Erica Campus Korea Selatan.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat

 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri