Skip to main content

UMPSA International Cultural Festival tonjol perpaduan dan kepelbagaian budaya warga kampus

GAMBANG, 21 Disember 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan UMPSA International Cultural Festival dengan penuh warna-warni dan kemeriahan di UMPSA Kampus Gambang yang menghimpunkan warga kampus serta pelajar antarabangsa dalam satu platform yang meraikan kepelbagaian budaya, tradisi dan warisan dari pelbagai negara.

Festival itu melibatkan penyertaan sembilan negara iaitu Malaysia, Yaman, Palestin, Bangladesh, Pakistan, Sudan, Libya, Indonesia, dan India, sekali gus menampilkan kepelbagaian budaya serta warisan antarabangsa dalam satu platform yang inklusif.

Program turut dimeriahkan dengan Pertandingan Permainan Tradisional termasuk pertandingan nyanyian yang mendapat sambutan menggalakkan daripada warga kampus.

Selain itu, para pengunjung turut berpeluang menikmati pelbagai hidangan tradisional antarabangsa, antaranya pencuci mulut India seperti Kesari, Gulab Jamun dan Payasam; hidangan Yaman Mandi dan Kunafa; makanan Palestin Maqloba dan Musakhan; Biryani dan Kheer dari Pakistan; sajian tradisional Sudan termasuk sweet dumpling dan pencuci mulut tempatan; Khichuri bersama kari telur dari Bangladesh serta pencuci mulut tradisional dari Libya.

Festival turut diserikan dengan kehadiran Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias yang menzahirkan rasa gembira dapat bersama-sama warga universiti dalam festival yang disifatkan sebagai simbol komitmen UMPSA terhadap pembudayaan kampus global, inklusif dan berteraskan pelajar.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pusat Kerjasama Akademik dan Mobiliti, Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA) UMPSA atas penganjuran program yang bermakna dan selari dengan hala tuju strategik universiti.

“Festival ini bukan sekadar sambutan kebudayaan, malah mencerminkan salah satu tonggak penting dalam strategi pengantarabangsaan UMPSA, peningkatan keterlihatan global serta pemerkasaan pengalaman pelajar. 

“Sesebuah universiti teknikal bertaraf dunia tidak hanya diukur melalui kemudahan fizikal dan kedudukan ranking, tetapi turut bergantung kepada nilai, insan dan kepelbagaian yang dibangunkan dalam ekosistem kampus,” ujarnya. 

Katanya, kepelbagaian budaya memainkan peranan besar dalam membentuk persekitaran pembelajaran yang holistik. 
“Interaksi antara pelajar daripada latar belakang budaya berbeza bukan sahaja memperkaya perbincangan akademik, malah membina kemahiran komunikasi antara budaya, empati, keterbukaan dan kesedaran global yang amat penting dalam melahirkan graduan masa hadapan yang bersedia memimpin industri dan masyarakat pada peringkat antarabangsa.

“Kepelbagaian ini mengukuhkan ekosistem pengajaran dan pembelajaran UMPSA dengan merangsang pemikiran kritikal serta inovasi melalui pertukaran idea rentas budaya. 

“Ia sejajar dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten dari sudut teknikal, malah beretika, peka terhadap isu sosial dan berdaya saing di peringkat global,” jelasnya. 

Tambahnya beliau lagi, kekuatan UMPSA terletak pada kepelbagaian yang diraikan bersama dalam semangat perpaduan sebagai satu komuniti UMPSA yang yakin, inklusif dan berhubung pada peringkat global. 

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada pelajar antarabangsa dengan menegaskan bahawa UMPSA berbangga menjadi rumah kedua mereka. 

UMPSA International Cultural Festival tonjol perpaduan dan kepelbagaian budaya warga kampus

Hadir sama, Penolong Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa (Pengantarabangsaan dan Kerjasama Akademik), JHEAA, Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim.

Manakala menurut pelajar antarabangsa dari Yaman, Raed Abdullah Abobakr Busaeed yang juga pelajar tahun kedua Sarjana Sains Komputer, Fakulti Komputeran (FK) UMPSA, festival ini mencerminkan komitmen UMPSA dalam meraikan kepelbagaian budaya serta memupuk kefahaman dan keharmonian antara pelajar pelbagai latar belakang.

“Saya telah menyertai festival ini sebanyak lima kali dan festival ini sentiasa memberikan pengalaman yang bermakna dan menyeronokkan.

“Antara aspek paling menarik ialah kepelbagaian gerai dan persembahan kebudayaan yang memberi peluang kepada pelajar mempersembahkan budaya serta tradisi masing-masing dalam suasana yang meriah dan interaktif. 

“Program ini wajar diteruskan pada masa hadapan dan diperkasa dengan penambahbaikan seperti penyediaan ruang gerai yang lebih sesuai agar pelajar dapat menghias gerai dengan elemen budaya yang lebih menonjol.

UMPSA International Cultural Festival tonjol perpaduan dan kepelbagaian budaya warga kampus

Beliau turut mencadangkan agar penglibatan pelajar tempatan dipertingkatkan melalui promosi yang lebih meluas bagi memberi pendedahan kepada kepelbagaian budaya antarabangsa sekali gus mengukuhkan hubungan serta interaksi antara pelajar tempatan dan pelajar antarabangsa di UMPSA.

Sumbangan pelajar antarabangsa ini jelas memperkayakan kehidupan kampus dan mengukuhkan aspirasi UMPSA sebagai sebuah kampus global yang berteraskan keharmonian dan saling menghormati.

Festival ini diakhiri dengan sesi jamuan dan interaksi santai yang terus mengeratkan hubungan antara warga universiti, sekali gus meninggalkan kenangan bermakna serta memperkukuh jalinan persahabatan merentas budaya dalam kalangan komuniti UMPSA.

Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim