UMPSA laksana Program Khidmat Komuniti Orang Asli berasaskan pendekatan teknologi lestari
GERIK, 1 Januari 2026 - Teknologi kini berpotensi besar dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar, khususnya komuniti Orang Asli yang masih berdepan dengan kekangan infrastruktur dan capaian kemudahan asas.
Sehubungan itu, baru-baru ini, Program Khidmat Komuniti Orang Asli “Sustainable Socioeconomic Development for Orang Asli Communities” telah dilaksanakan oleh Pusat TVET Termaju, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan kerjasama strategik Saora Plus Sdn. Bhd. sebagai rakan industri.
Menurut Ts. Junaedi Irwan Wan Abdul Halim, Pegawai Latihan Vokasional, Pusat TVET Termaju, program yang berlangsung selama lima hari itu memberi tumpuan kepada perkongsian ilmu dan pendedahan secara langsung kepada teknologi Internet of Things (IoT), sistem tenaga solar dan teknologi dron.

“Pendekatan turun padang diterapkan bagi memastikan teknologi yang diperkenalkan bersifat praktikal, mudah difahami dan selari dengan keperluan komuniti, khususnya dalam aktiviti pertanian dan kegunaan harian.
“Pelaksanaan program ini melibatkan beberapa penempatan Orang Asli di sekitar Gerik dan Royal Belum, Perak, antaranya Kampung Termin, Kampung Rengat, Kampung Bukit Tokong, Kampung Air Bah 1 dan 2, Kampung Pengkalan, Kampung Tiang, Kampung Desa Pelancongan, Kampung Sungai Kejar dan Kampung Jerai.
“Pemilihan lokasi dibuat berdasarkan tahap kemudahan asas serta kesesuaian pelaksanaan teknologi di kawasan pedalaman. Sebelum ini, inisiatif yang sama turut dilaksanakan di beberapa kampung di Raub dan Hulu Langat,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, menerusi program ini, komuniti setempat didedahkan kepada penggunaan teknologi IoT dalam pertanian, khususnya bagi pemantauan kelembapan tanah dan suhu persekitaran, sekali gus membantu pengurusan tanaman yang lebih teratur dan berasaskan data.
“Pendekatan ini secara tidak langsung dapat menyokong peningkatan hasil pertanian dan penggunaan sumber yang lebih cekap.
“Selain itu, sistem tenaga solar turut diperkenalkan sebagai sumber tenaga alternatif yang lebih lestari, terutama bagi kegunaan pencahayaan, pam air dan sokongan kepada aktiviti pertanian di kawasan yang mempunyai capaian elektrik terhad.

“Teknologi dron turut diperkenalkan sebagai alat sokongan pertanian, terutamanya bagi tujuan pemantauan kawasan tanaman, kerja-kerja penyiraman dan pembajaan, serta potensi penggunaannya dalam pemetaan kawasan,” katanya.
Sesi taklimat dan demonstrasi dikendalikan oleh beberapa orang Pegawai Latihan Vokasional dari Pusat TVET Termaju UMPSA iaitu Ts. Joharizal Johari, Ts. Mohd Sazali Salleh, Mohd Shahrul Azuar Mat Roseh, Ts. Junaedi Irwan Wan Abdul Halim, Ts. Mohd Idzwanrosli Mohd Ramli dan Ts. Muhammad Adib Shaharun.
Secara keseluruhannya, program ini bukan sekadar platform perkongsian teknologi, malah mencerminkan komitmen berterusan UMPSA dalam menyumbang kepakaran dan kemahiran kepada masyarakat.
Inisiatif ini juga diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi komuniti Orang Asli secara berperingkat dan mampan, selari dengan peranan universiti dalam memasyarakatkan teknologi.
Oleh: Ts. Junaedi Irwan Wan Abdul Halim, Pusat TVET Termaju
- 15 views