Skip to main content

70 pelajar SK Bunut Rendang teruja belajar penghasilan sabun dari minyak terpakai

KUANTAN, 6 November 2025 - Seramai 70 murid Sekolah Kebangsaan Bunut Rendang (SKBR) teruja kerana menyertai program Eco-Campus-Greenovation 2025 bersempena dengan minggu Ekspo Konvokesyen UMPSA Ke-20 bertempat di UMPSA Kampus Gambang dengan menghasilkan sabun daripada minyak terpakai.

 
Program itu adalah anjuran Pusat Pembangunan Kelestarian dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni serta Kelab Eco Nexus UMPSA.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengarah Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC) UMPSA, Dr. Suhaidah Hussain. 

70 pelajar SK Bunut Rendang teruja belajar penghasilan sabun dari minyak terpakai

Dalam ucapannya, beliau berkongsi dengan peserta bahawa UMPSA baharu sahaja menerima pengiktirafan sebagai Eco-Campus pada tahun ini, selaras dengan komitmen universiti dalam melaksanakan inisiatif kelestarian secara berterusan.

“Penganjuran program seperti ini merupakan salah satu usaha UMPSA untuk memperkukuh peranan dalam mendidik dan menyebarluaskan amalan kelestarian kepada masyarakat, khususnya kepada golongan muda di peringkat sekolah rendah dan menengah. 

“Kerjasama strategik antara UMPSA sebagai sebuah Eco-Campus dan SKBR sebagai sekolah yang diiktiraf Eco-School turut memperlihatkan sinergi berkesan dalam memperkasa budaya hijau dan pembelajaran lestari di luar kampus. 

“Menerusi perkongsian ilmu dan kepakaran daripada ahli akademik universiti, murid-murid didedahkan dengan pengetahuan yang lebih holistik dan praktikal berkaitan kelestarian,” ujarnya.

Katanya, UMPSA komited untuk terus melaksanakan pelbagai program komuniti hijau bersama sekolah-sekolah dan masyarakat setempat agar usaha kelestarian dapat dipupuk secara inklusif dan memberi impak lebih meluas demi kesejahteraan bumi pada masa hadapan.

Program itu dikendalikan oleh dua orang Pensyarah Kanan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses iaitu Ir. Dr. Mohd Sabri Mahmud dan Dr. Jun Haslinda Haji Shariffuddin serta dibantu lebih 20 sukarelawan pelajar UMPSA. 

Program yang bermula seawal jam 9.00 pagi itu dimulai dengan taklimat ringkas kepada peserta mengenai pengurusan sampah dan tanggungjawab kepada alam sekitar oleh Dr. Jun Haslinda Haji Shariffuddin. 

Seterusnya, Ir. Dr. Mohd Sabri Mahmud pula telah mengadakan demonstrasi penghasilan sabun daripada minyak masak terpakai kepada para pelajar.

Malah, para pelajar kelihatan teruja apabila berpeluang menghasilkan sendiri sabun tersebut.

Sementara itu, Guru dan Penyelaras Eco-School SKBR, Rahimatun Azma Roslan, merakamkan penghargaan kepada UMPSA atas peluang yang diberikan kepada murid-murid SKBR untuk menyertai program tersebut. 

Jelasnya, para pelajar begitu teruja kerana ini merupakan pengalaman pertama mereka menjejakkan kaki ke UMPSA. 

“Program ini amat bermanfaat, bukan sahaja dalam meningkatkan pengetahuan mengenai pengurusan sampah dan sisa, malah memberi pendedahan kepada penghasilan produk baharu daripada sisa yang boleh dimanfaatkan semula,” ujarnya. 

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohamamd Idris, Pusat Pembangunan Kelestarian

Reports by:
Nur Hartini binti Mohd Hatta