Bagaikan Ketupat dan Rendang: Lagu Raya Klasik dan Sambutan Aidilfitri
Perumpamaan pada tajuk artikel memberi pemahaman bahawa mendengar lagu raya apabila menyambut lebaran adalah satu perkara yang tidak dapat dipisahkan. Begitu juga dengan hidangan pada pagi raya iaitu juadah ketupat dan rendang. Gandingan hidangan tersebut menjadi keharusan di setiap rumah di Malaysia.
Mendengar lagu raya menggambarkan kemeriahan sambutan Aidilfitri. Justeru, sejak beberapa minggu terakhir berpuasa, lagu-lagu raya sering dialunkan di udara menerusi siaran radio dan secara tidak disedari, lagu-lagu ini akan membawa pendengarnya mengimbau kenangan sewaktu mereka kecil. Malah lagu-lagu raya klasik yang didendangkan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee iaitu ‘Dendang Perantau’ dan ‘Suara Takbir’ serta lagu ‘Menjelang Hari Raya’ nyanyian DJ Dave dan seumpamanya dapat membawa fikiran pendengarnya mengingati kisah dan peristiwa yang terkait dengan lagu-lagu tersebut. Penulis mendefinisikan lagu raya klasik sebagai genre yang dihadirkan dengan kualiti serta liriknya tidak pernah lapuk dek zaman.
Penulis terpanggil untuk membincangkan perkara ini apabila mendengar lagu-lagu raya klasik pada pagi ini dalam perjalanan ke pejabat. Ketika berada di dalam kereta, penulis mengalih saluran radio untuk mencari lagu-lagu raya, sementara anak-anak di dalam kereta pula menyanyikan lagu-lagu tersebut dengan gembira semasa dalam perjalanan ke sekolah. Lagu hari raya seperti ‘Balik Kampung’ nyanyian penyanyi lagenda Allahyarham Sudirman Haji Arshad dan ‘Suasana Hari Raya’ yang dinyanyikan oleh Anuar Zain dan Elina adalah antara lagu yang didendangkan oleh mereka.
Ternyata, lagu-lagu raya klasik ini memberi pengaruh yang amat besar semasa sambutan Aidilfitri kerana tiada lagu raya, seumpama tidak meriah sambutan lebaran seseorang. Menariknya, lagu-lagu raya klasik ini mempunyai tema tersendiri dan dari pemerhatian penulis ia dapat dikategorikan seperti berikut:
1. Pulang ke kampung halaman – lagu seperti ‘Balik Kampung’ nyanyian Allahyarham Sudirman Haji Arshad dan antara liriknya “Oh, oh, oh balik kampung! Hati girang!” mengimbau kenangan yang sangat istimewa terutamanya kepada perantau. Lagu ini menzahirkan rasa kerinduan yang mendalam terhadap kampung halaman dan suasana pulang berhari raya. Bagi perantau, lagu ini membawa kegembiraan kepada mereka untuk pulang ke pangkuan keluarga tercinta.
2. Kemeriahan dan kegembiraan – M. Nasir melalui lagunya ‘Satu Hari Di Hari Raya’ umpamanya, mengekspresikan kegembiraan dan kemeriahan dalam menyambut Hari Raya. Perasaan ini dirakamkan oleh penyanyi tersebut dalam salah satu bait dendangannya:
Satu hari di hari raya
Aku menangis tanda gembira
Aku menangis tanda kucinta kepada-Nya
Satu hari di hari raya, kulihat wajah suci ibuku
Kulihat wajah kasih ayahku, kugembira
3. Kemaafan – Memohon kemaafan merupakan agenda utama semasa hari raya dan terdapat pelbagai lagu raya yang mengandungi lirik-lirik seumpama ini. Bersalaman antara ahli keluarga dan saudara-mara menjadi satu amalan yang dituntut dan ia juga menggambarkan penyatuan dalam suasana kegembiraan sambutan Aidilfitri. Lagu klasik yang sentiasa malar hijau oleh Ahmad Jais iaitu ‘Selamat Hari Raya’ memuatkan bait yang menyentuh hati pendengarnya melalui rangkap ini:
Selamat Hari Raya
Aidilfitri mulia
Ampun maaf dipinta
Mensuci hening dosa
Begitu juga dengan lagu ‘Seloka Raya’ nyanyian Hail Amir dan Uji Rashid. Lagu ini memberi nasihat mengenai pentingnya saling memaafkan dan melupakan pertikaian yang pernah terjadi pada masa lalu sempena hari yang penuh keberkataan. Baris lirik ini dapat memberi kesan dan perasaan mendalam pada pendengarnya:
Miskin dan kaya sama sahaja
Hulurkan tangan berjabat mesra
Saling bermaaf kita bersama
Lupakan saja sengketa lama
Sementara itu, lagu dendangan Biduanita Saloma, ‘Selamat Hari Raya’, mengingatkan kita untuk saling bermaaf-maafan jika terdapat perkataan yang mengguris hati sesama saudara Islam. Dengan berbuat demikian, diharapkan rezeki masing-masing akan diberkati dan dipanjangkan umur. Suara lunak biduanita tersebut melantunkan lirik-lirik ini amat menggetarkan hati:
Maafkanlah jika ada terlanjur perkataan
Diharap supaya jangan disimpan
Kuberdoa selamat panjang umur murah rezeki
Semoga Tuhan akan memberkati
4. Semarak Hari Raya – Melodi didalam lagu-lagu yang mengandungi tema kemeriahan menggambarkan suasana yang girang semasa sambutan Aidilfitri. Biduanita Negara; Allahyarhamah Datuk Hajah Sharifah Aini, di dalam lagunya ‘Suasana Hari Raya’ mengingatkan kita tentang kenikmatan berkunjung ke rumah rakan taulan dan saudara mara kerana dapat menikmati juadah yang pelbagai. Suara emas dan lunak dari biduanita ini meresap ke dalam jiwa pendengarnya bila kita mendengar beliau menyanyikan lirik ini.
Sila jamu selera
Dengan bermacam hidangan
Pilih yang mana suka
Sila janganlah segan
Semarak raya di kampung begitu jelas digambarkan dalam dendangan Allahyarhamah Toh Puan Setia Datin Rafeah Buang didalam lagunya ‘Bila Takbir Bergema’. Secara peribadi, lagu ini mengimbau kenangan bersama almarhumah ibu tercinta setiap kali Syawal menjelang. Tugas menghias rumah adalah tugas yang paling menggembirakan penulis kerana beliau dapat menukar langsir yang dijahit sendiri oleh almarhumah ibunya. Begitu juga, beliaulah orang yang penting untuk tugasan di dapur menyediakan rendang dan ketupat yang dimasak menggunakan dapur kayu.
Dengar-dengar itu bedok telah berbunyi
Sebulan puasa tamatlah hari ini
Lekaslah adikku hiaskan rumahmu
Biar serba baru untuk para tamu
Jangan kau lupa ketupat di dapur
Rendang di kuali jangan biar hangus
Cuba lihat itu kanak-kanak berlari
Di halaman rumah bermain bunga api
Menjalankan solat sunat Aidilfitri adalah di antara sunnah yang patut dilakukan oleh umat Islam pada pagi Syawal. Begitu juga, menziarahi kubur walaupun terdapat perbezaan pendapat dalam amalan ini. Kedua-dua suasana raya ini dirakamkan oleh biduanita bervokal lunak Sanisah Huri didalam lagunya, ‘Aidilfitri’.
Kini tiba masanya berhari raya
Muslimin dan muslimat sembahyang bersama
Menyembahkan diri pada yang kuasa
Bermaaf dan maafanlah di antara kita
Sesudah bersembahyang di pagi hari
Menziarahi pusara kaum keluarga
Bunga ditabur, doa pun dibaca
Mudah-mudahan rohnya dicucuri rahmat
Apabila diperhatikan, lagu-lagu raya klasik ini mengandungi bait-bait yang sangat merdu. Kebanyakan lagu-lagu ini tidak dilengkapi dengan klip video seperti lagu-lagu raya moden. Mengenai rakaman video, lagu raya yang dikeluarkan oleh seorang usahawan terkemuka di Malaysia yang baru-baru ini dilancarkan sempena April Fool dianggap tidak sesuai untuk diangkat sebagai lagu raya. Ini kerana ia amat bertentangan dengan nilai-nilai ajaran Islam dan budaya Timur dengan gaya persembahan dan prop persembahan yang tidak sesuai.
Akhirnya, selamat pulang ke kampung! Nikmati perjalanan anda dengan lagu raya yang mengasyikkan dari pautan ini https://www.youtube.com/watch?v=4EZ9vGAIE5U.
Penulis ialah Profesor Madya di Pusat Bahasa Moden, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
E-mel: zuraina@umpsa.edu.my
- 301 views