Belanjawan 2027: Mengimbangi kesejahteraan rakyat dan pertumbuhan ekonomi masa hadapan
Belanjawan 2027 memperlihatkan usaha kerajaan untuk mengimbangi keperluan meningkatkan kesejahteraan rakyat dengan agenda memperkukuh daya saing dan pertumbuhan ekonomi negara. Dalam persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar, pendekatan belanjawan perlu melangkaui pemberian bantuan kewangan dan perbelanjaan pembangunan semata-mata. Sebaliknya, belanjawan perlu dilihat sebagai instrumen dasar fiskal yang mampu meningkatkan produktiviti, merangsang pelaburan berkualiti, memperkukuh pendapatan rakyat dan membina asas ekonomi yang lebih mampan.
Dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM510 bilion berbanding RM470 bilion pada tahun sebelumnya, Belanjawan MADANI 2027 memperlihatkan komitmen kerajaan untuk meneruskan agenda pembangunan negara melalui pendekatan yang lebih menyeluruh. Antara keutamaan yang diberikan ialah pengukuhan kuasa beli rakyat, reformasi pendapatan, pembangunan industri bernilai tinggi, pemerkasaan perusahaan tempatan serta peningkatan kemahiran tenaga kerja.
Dari perspektif ekonomi, pendekatan ini amat penting kerana kejayaan pembangunan negara tidak seharusnya diukur berdasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semata-mata, tetapi juga sejauh mana pertumbuhan tersebut dapat diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup dan kesejahteraan masyarakat. Prestasi ekonomi Malaysia yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus pada tahun 2025, diikuti pertumbuhan 5.4 peratus pada suku pertama dan 6.0 peratus pada suku kedua tahun 2026, menunjukkan bahawa asas ekonomi negara berada pada landasan yang positif. Namun begitu, cabaran sebenar adalah untuk memastikan momentum pertumbuhan ini dapat dikekalkan dalam keadaan ekonomi global yang semakin dipengaruhi oleh ketidaktentuan geopolitik, perubahan teknologi dan persaingan pelaburan antarabangsa. Justeru, kekuatan Belanjawan 2027 perlu dinilai melalui keupayaannya menghubungkan tiga komponen utama pembangunan ekonomi, iaitu kesejahteraan rakyat, produktiviti industri dan pembangunan modal insan.
Kesejahteraan Rakyat dan Reformasi Pendapatan Perlu Bergerak Seiring
Antara kekuatan Belanjawan 2027 ialah penekanan terhadap usaha menangani kos sara hidup dan meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah. Dalam keadaan sebahagian rakyat masih berhadapan dengan tekanan harga barangan dan perkhidmatan, bantuan kewangan bersasar terus memainkan peranan penting sebagai mekanisme perlindungan sosial. Penerusan bantuan melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dilihat mampu membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana menguruskan perbelanjaan keperluan harian. Peningkatan bantuan persekolahan daripada RM150 kepada RM200 serta sokongan terhadap keperluan kesihatan dan perlindungan sosial turut memperlihatkan usaha kerajaan mengurangkan beban kewangan isi rumah. Namun demikian, bantuan tunai sahaja tidak mencukupi untuk menjamin kesejahteraan rakyat dalam jangka panjang. Peningkatan pendapatan melalui peluang pekerjaan berkualiti, reformasi gaji dan peningkatan produktiviti perlu menjadi asas kepada pembentukan ekonomi yang lebih berdaya tahan.
Dalam konteks ini, langkah reformasi gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000, dengan pengecualian tertentu bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), merupakan antara pendekatan yang berpotensi meningkatkan pendapatan pekerja. Begitu juga dengan penambahbaikan struktur gaji bagi kategori pekerja tertentu yang boleh menyumbang kepada peningkatan kuasa beli dan merangsang permintaan domestik. Selain itu, peningkatan had pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000 berpotensi memberikan ruang kewangan tambahan kepada pembayar cukai yang layak, khususnya dalam kalangan isi rumah berpendapatan pertengahan. Walau bagaimanapun, peningkatan pendapatan perlu diseimbangkan dengan kemampuan perusahaan untuk menanggung kos operasi. Sekiranya kenaikan gaji tidak disertai dengan peningkatan produktiviti, perusahaan mungkin berhadapan dengan tekanan kos yang akhirnya boleh mempengaruhi harga barangan dan peluang pekerjaan. Oleh itu, reformasi gaji perlu dilaksanakan seiring dengan sokongan kepada automasi, peningkatan kemahiran pekerja dan penambahbaikan proses pengeluaran. Pendekatan ini penting bagi memastikan manfaat peningkatan pendapatan dapat dinikmati pekerja tanpa menjejaskan daya saing perusahaan. Secara keseluruhannya, bantuan bersasar merupakan langkah penting untuk menangani tekanan kos sara hidup dalam jangka pendek, manakala peningkatan pendapatan, kemahiran dan produktiviti menjadi asas kepada kesejahteraan ekonomi yang lebih mampan.
Pelaburan Bernilai Tinggi Membentuk Struktur Ekonomi Baharu
Belanjawan 2027 turut memperlihatkan usaha mempercepatkan peralihan ekonomi Malaysia daripada industri berintensif buruh kepada industri berasaskan teknologi, inovasi dan aktiviti bernilai tambah tinggi. Peralihan ini penting kerana Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada kelebihan kos buruh yang rendah untuk bersaing dalam ekonomi global. Sebaliknya, negara perlu meningkatkan keupayaan menghasilkan produk dan perkhidmatan yang mempunyai nilai ekonomi lebih tinggi melalui penggunaan teknologi, automasi dan kepakaran tempatan. Antara inisiatif yang diketengahkan ialah Dana Modal Teroka Ekonomi Baharu bernilai RM1.25 bilion melalui kerjasama dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT). Inisiatif ini berpotensi menyokong pembangunan sektor pertumbuhan baharu seperti tenaga bersih, pusat data dan logistik bernilai tinggi.
Pada masa yang sama, usaha menarik pelaburan dalam sektor semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), automasi, aeroangkasa dan teknologi hijau boleh membuka ruang kepada penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi serta pembangunan ekosistem industri yang lebih kompetitif. Walau bagaimanapun, jumlah pelaburan yang diluluskan bukanlah satu-satunya petunjuk kejayaan pembangunan ekonomi. Aspek yang lebih penting ialah sejauh mana pelaburan tersebut mampu menghasilkan pemindahan teknologi, pembangunan kepakaran tempatan, peningkatan produktiviti serta penglibatan perusahaan domestik dalam rantaian bekalan. Sebagai contoh, kemasukan pelaburan dalam industri berteknologi tinggi seharusnya membuka peluang kepada perusahaan tempatan untuk menjadi pembekal komponen, penyedia perkhidmatan teknikal, penyelenggaraan dan sokongan operasi. Dengan cara ini, manfaat pelaburan dapat diperluas kepada lebih banyak perusahaan dan pekerja tempatan. Justeru, strategi menarik pelaburan berkualiti perlu disertakan dengan pembangunan vendor tempatan, kerjasama universiti-industri dan program peningkatan kemahiran yang memenuhi keperluan sebenar sektor industri.
Digitalisasi dan AI Perlu Meningkatkan Produktiviti PMKS
Perusahaan mikro, kecil dan sederhana merupakan antara komponen penting dalam struktur ekonomi Malaysia. Sumbangan PMKS sebanyak 39.7 peratus kepada KDNK pada tahun 2025 memperlihatkan bahawa kekuatan ekonomi negara turut bergantung kepada kemampuan perusahaan tempatan untuk berkembang dan meningkatkan daya saing. Dalam konteks ini, sokongan Belanjawan 2027 terhadap pembangunan perusahaan domestik dan penggunaan teknologi digital merupakan langkah yang wajar diberikan perhatian. Walau bagaimanapun, transformasi digital tidak seharusnya dilihat sekadar penggunaan media sosial, pemasaran dalam talian atau penyertaan dalam platform e-dagang. Digitalisasi yang berkesan perlu melibatkan perubahan dalam cara perusahaan menguruskan operasi, kewangan, inventori, pelanggan dan proses membuat keputusan. Sebagai contoh, penggunaan sistem pengurusan inventori digital boleh membantu perusahaan mengurangkan pembaziran stok, manakala aplikasi perakaunan berasaskan teknologi dapat meningkatkan ketepatan rekod kewangan dan pengurusan aliran tunai.Perkembangan AI juga membuka peluang kepada usahawan untuk mengautomasikan tugasan rutin, menganalisis tingkah laku pelanggan, menghasilkan kandungan pemasaran dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan. Namun, cabaran utama sebahagian usahawan mikro bukan semata-mata kekurangan modal untuk mendapatkan teknologi. Sebaliknya, tahap literasi digital, kemahiran menggunakan aplikasi dan keupayaan mengintegrasikan teknologi ke dalam model perniagaan turut mempengaruhi keberkesanan transformasi digital. Oleh itu, pemberian geran dan insentif digitalisasi perlu disertakan dengan latihan praktikal, bimbingan perniagaan dan sokongan teknikal secara berterusan. Lebih penting, keberkesanan bantuan digitalisasi perlu dinilai berdasarkan hasil sebenar seperti peningkatan jualan, pengurangan kos operasi, penjimatan masa dan peningkatan produktiviti perusahaan. Pendekatan ini akan memastikan pelaburan dalam teknologi bukan sekadar meningkatkan bilangan usahawan yang menggunakan aplikasi digital, tetapi benar-benar membantu perusahaan berkembang dan bersaing dalam pasaran yang semakin mencabar.
Pembangunan Modal Insan dan TVET Menentukan Daya Saing Masa Hadapan
Perubahan teknologi, khususnya perkembangan AI dan automasi, sedang mengubah struktur pekerjaan serta keperluan kemahiran dalam pelbagai sektor ekonomi. Menurut Future of Jobs Report 2025 oleh World Economic Forum, sekitar 39 peratus kemahiran sedia ada pekerja dijangka berubah atau menjadi kurang relevan menjelang tahun 2030. Perkembangan ini menunjukkan bahawa pembangunan modal insan perlu menjadi agenda berterusan bagi memastikan tenaga kerja negara mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi. Peruntukan RM8 bilion bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merentas kementerian dalam Belanjawan 2027 memperlihatkan penekanan terhadap pembangunan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran teknikal dan profesional. Walau bagaimanapun, kejayaan pembangunan modal insan tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan jumlah graduan atau peserta latihan yang dihasilkan. Keutamaan perlu diberikan kepada kesepadanan antara kemahiran yang dibangunkan dengan keperluan industri serta kemampuan graduan memperoleh pekerjaan yang menawarkan pendapatan setimpal.
Dalam era AI, penguasaan kemahiran teknikal perlu digabungkan dengan keupayaan berfikir secara kritis, kreativiti, komunikasi, penyelesaian masalah dan penggunaan teknologi secara beretika. Pembangunan kemahiran juga perlu merangkumi pekerja sedia ada melalui program peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling). Langkah ini penting bagi memastikan perubahan teknologi tidak menyebabkan sebahagian kumpulan pekerja kehilangan daya saing dalam pasaran pekerjaan. Dalam konteks pendidikan tinggi, universiti mempunyai tanggungjawab untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan akademik, tetapi juga mampu mengaplikasikan ilmu dan teknologi bagi menyelesaikan masalah sebenar. Pendidikan teknokeusahawanan, misalnya, dapat memainkan peranan dalam membangunkan graduan yang mampu mengenal pasti peluang pasaran, menghasilkan inovasi dan membangunkan perniagaan berasaskan teknologi. Melalui pendekatan ini, institusi pendidikan bukan sahaja berperanan menyediakan tenaga kerja kepada industri, tetapi turut menjadi pemangkin kepada penciptaan perusahaan baharu dan peluang pekerjaan masa hadapan.
Pengkomersialan Penyelidikan Universiti Perlu Diperkukuh
Satu lagi aspek yang menarik perhatian dalam Belanjawan 2027 ialah usaha memperkukuh ekosistem inovasi melalui pengkomersialan hasil penyelidikan universiti. Pengenalan Dana University Commercialization (UNIVC) bernilai RM50 juta melalui kerjasama dengan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) berpotensi membantu merapatkan jurang antara pembangunan penyelidikan dan penggunaan teknologi dalam pasaran. Dalam ekosistem inovasi, cabaran utama bukan sahaja menghasilkan penemuan atau teknologi baharu, tetapi memastikan hasil penyelidikan tersebut mempunyai nilai komersial dan dapat dimanfaatkan oleh industri serta masyarakat. Sebahagian inovasi yang dibangunkan di universiti memerlukan sokongan tambahan untuk melalui proses pembangunan prototaip, pengujian produk, pengesahan pasaran dan pengkomersialan. Justeru, dana pengkomersialan perlu dilengkapi dengan jaringan kerjasama yang lebih kukuh antara penyelidik, industri, pelabur dan usahawan.
Bagi universiti teknikal seperti Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), inisiatif ini membuka ruang untuk memperkukuh peranan universiti dalam pembangunan teknologi, penyelidikan gunaan dan penyelesaian masalah industri. Kepakaran dalam bidang kejuruteraan, automasi, teknologi hijau, pengurusan industri dan teknokeusahawanan boleh dimanfaatkan untuk membangunkan penyelesaian yang memenuhi keperluan sebenar perusahaan. Pada masa yang sama, kerjasama universiti dengan PMKS perlu dipertingkatkan supaya hasil penyelidikan tidak hanya dimanfaatkan oleh syarikat besar, tetapi turut membantu perusahaan tempatan meningkatkan produktiviti, kualiti produk dan daya saing. Dengan pendekatan yang lebih berorientasikan industri dan pasaran, penyelidikan universiti berpotensi menjadi sumber pertumbuhan ekonomi baharu serta menyumbang kepada pembangunan perusahaan berasaskan inovasi.
Pahang Berpotensi Menjadi Hab Ekonomi dan Industri Bernilai Tinggi
Dari perspektif pembangunan wilayah, Belanjawan 2027 turut membuka peluang kepada negeri Pahang untuk memperkukuh kedudukannya sebagai pusat pertumbuhan ekonomi strategik di Pantai Timur. Pahang mempunyai kelebihan melalui gabungan sumber semula jadi, kawasan perindustrian, jaringan pengangkutan dan potensi pembangunan sektor teknologi tinggi. Antara peluang utama ialah pembangunan ekosistem logistik dan perindustrian yang menghubungkan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Pelabuhan Kuantan dan Kawasan Perindustrian Gebeng. Gabungan infrastruktur ini berpotensi meningkatkan kecekapan rantaian bekalan, mengurangkan kos pengangkutan serta memperkukuh daya tarikan Pahang kepada pelabur domestik dan antarabangsa. Pembangunan ECRL juga boleh memberikan kesan limpahan ekonomi kepada perusahaan tempatan melalui peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan logistik, pergudangan, pengangkutan, penyelenggaraan dan perkhidmatan sokongan industri. Selain itu, jaringan pengangkutan yang lebih baik berpotensi merancakkan sektor pelancongan dan membuka peluang perniagaan kepada usahawan mikro di kawasan sekitar stesen ECRL, khususnya dalam bidang makanan, penginapan, peruncitan dan perkhidmatan pelancongan.
Dalam jangka panjang, cadangan pembangunan Pahang Aerospace City di Gebeng dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan turut memperlihatkan potensi tinggi untuk membangunkan ekosistem aeroangkasa dan teknologi maju di negeri ini. Pembangunan sektor aeroangkasa berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan dalam bidang kejuruteraan, penyelenggaraan pesawat, teknologi dron, logistik dan perkhidmatan teknikal berkemahiran tinggi. Namun begitu, manfaat pembangunan industri baharu perlu dirancang secara menyeluruh supaya tidak hanya tertumpu kepada syarikat pelabur utama. Penyertaan perusahaan tempatan dalam rantaian bekalan, pembangunan bakat berkemahiran tinggi dan kerjasama antara universiti, institusi TVET serta industri perlu diperkukuh bagi memastikan masyarakat setempat turut menikmati manfaat pembangunan tersebut.
Dalam hal ini, UMPSA mempunyai potensi untuk memainkan peranan strategik melalui pembangunan modal insan, penyelidikan gunaan, pemindahan teknologi dan kerjasama industri yang menyokong keperluan pembangunan ekonomi negeri. Selain sektor perindustrian dan aeroangkasa, Pahang juga mempunyai peluang untuk meneroka pembangunan ekonomi biru melalui industri akuakultur moden, pelancongan maritim dan teknologi berasaskan sumber marin. Kepelbagaian sektor ini dapat membantu negeri membangunkan sumber pertumbuhan ekonomi baharu yang lebih mampan, di samping mengurangkan kebergantungan kepada aktiviti ekonomi tradisional.
Keberkesanan Pelaksanaan Menentukan Kejayaan Belanjawan
Walaupun Belanjawan 2027 memperlihatkan pelbagai inisiatif yang positif, kejayaan sebenar bergantung kepada keupayaan kerajaan dan pihak berkepentingan menterjemahkan peruntukan serta dasar yang diumumkan kepada hasil pembangunan yang dapat diukur. Antara aspek yang perlu diberikan perhatian ialah pelaksanaan reformasi gaji, keberkesanan bantuan digitalisasi, pencapaian program pembangunan kemahiran dan impak pelaburan terhadap perusahaan serta pekerja tempatan. Sebagai contoh, reformasi gaji minimum perlu dilaksanakan secara seimbang supaya pekerja mendapat manfaat melalui peningkatan pendapatan, manakala perusahaan mempunyai keupayaan untuk menyesuaikan struktur kos dan meningkatkan produktiviti.
Begitu juga dengan pemberian geran kepada usahawan. Keberkesanannya tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah dana yang diagihkan semata-mata, tetapi melalui peningkatan keupayaan perusahaan, pertumbuhan jualan, peluasan pasaran dan kelangsungan perniagaan. Dalam pembangunan modal insan pula, kejayaan program latihan perlu dinilai berdasarkan kadar penempatan pekerjaan, peningkatan kemahiran dan pendapatan graduan atau peserta latihan. Pendekatan penilaian berasaskan hasil ini penting bagi memastikan setiap peruntukan awam memberikan pulangan ekonomi dan sosial yang sepadan. Pada masa yang sama, penyelarasan antara kementerian, agensi pelaksana, institusi pendidikan dan sektor industri perlu diperkukuh bagi mengelakkan pertindihan program serta memastikan bantuan sampai kepada kumpulan sasaran. Ketelusan pelaksanaan dan pemantauan yang berterusan juga penting untuk meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keberkesanan dasar fiskal negara.
Menghubungkan Kesejahteraan Rakyat dengan Kemakmuran Ekonomi
Secara keseluruhannya, Belanjawan 2027 memperlihatkan pendekatan yang menghubungkan agenda kesejahteraan rakyat dengan pembangunan industri, inovasi dan modal insan. Kekuatan pendekatan ini terletak pada usaha menangani keperluan ekonomi semasa tanpa mengabaikan kepentingan membina asas pertumbuhan jangka panjang. Bantuan kewangan dan perlindungan sosial sememangnya diperlukan untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup. Namun, peningkatan kesejahteraan yang lebih mampan memerlukan pertumbuhan pendapatan melalui pekerjaan berkualiti, pembangunan kemahiran dan peningkatan produktiviti. Pada masa yang sama, pelaburan bernilai tinggi, transformasi digital PMKS dan pengkomersialan penyelidikan perlu diperkukuh supaya manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara lebih meluas oleh perusahaan serta masyarakat tempatan.
Bagi negeri Pahang, pembangunan infrastruktur logistik, industri aeroangkasa, ekonomi biru dan sektor teknologi tinggi membuka peluang untuk membina struktur ekonomi yang lebih pelbagai dan berdaya saing. Dalam konteks ini, universiti seperti UMPSA mempunyai peranan penting untuk menghubungkan ilmu pengetahuan, pembangunan teknologi, inovasi dan keusahawanan dengan keperluan sebenar industri serta masyarakat. Akhirnya, kejayaan Belanjawan 2027 bukan sekadar bergantung kepada jumlah peruntukan yang diumumkan, tetapi sejauh mana dasar dan inisiatif yang dirancang mampu diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan rakyat, penciptaan pekerjaan berkualiti, pertumbuhan perusahaan tempatan dan pembangunan ekonomi negara yang lebih produktif, inklusif serta berdaya tahan. Belanjawan yang benar-benar berjaya bukan hanya mampu merangsang pertumbuhan ekonomi, tetapi memastikan kemakmuran yang dihasilkan dapat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat.
Pautan rakaman temu bual Pahang FM:
https://www.facebook.com/share/v/1PLp5sxKw4/?mibextid=wwXIfr

Oleh: DR. RUSNIFAEZAH MUSA
E-mel: [email protected]
Ketua Jabatan Teknokeusahawanan
Fakulti Pengurusan Industri
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

Oleh: DR. NORAINA MAZUIN SAPUAN
E-mel: [email protected]
Ketua Jabatan, Graduate Engineering Technology-Business School (GET-BS)
Fakulti Pengurusan Industri
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
- 23 views