Biar Peluh Jadi Pahala
Dalam denyut nadi kehidupan moden yang bergerak laju, di tengah kota yang tidak pernah tidur dan desa yang terus bernafas perlahan, bekerja bukan lagi sekadar satu tuntutan duniawi namun, ia adalah fitrah yang mengikat manusia dengan maruah, rezeki, dan harga diri. Di zaman aplikasi mendahului tenaga, dan robot menggantikan sebahagian kudrat manusia, persoalan tentang makna bekerja menjadi semakin mendalam. Bagi umat Melayu Islam, akar pemahaman ini telah pun bertunas sejak ribuan tahun, melalui petunjuk Rasulullah SAW yang mengajar bahawa pekerjaan adalah kunci kehormatan. Sabda Baginda bermaksud, “Seseorang di antara kamu yang pergi mencari kayu api, lalu memikulnya di belakangnya, itu lebih baik baginya daripada meminta-minta kepada orang lain”. Hadis ini menyambar hati kita seperti kilat yang membelah langit, bahawa bekerja, walaupun kecil, adalah lebih mulia daripada mengharap belas ihsan manusia.
Dalam dunia yang serba moden ini, keperluan bekerja bukan hanya untuk menyara tubuh namun, ia adalah medan membentuk jiwa. Kita melihat anak muda bangun seawal subuh, menunggang motosikal meredah jalan kesesakan untuk menuju pejabat, bengkel, kilang atau ladang semuanya berlari mengejar kehidupan. Ada yang bekerja dari skrin enam inci, ada yang bekerja dari rumah dengan WiFi sebagai tali hayat, dan ada yang bekerja berpeluh di tapak binaan. Dunia telah berubah, tetapi prinsipnya tetap sama iaitu rezeki tidak datang bergolek. Ia harus dicari, sebagaimana burung yang keluar pagi dengan perut kosong lalu pulang pada petang dengan tembolok terisi. Rasulullah SAW mengajar kita bahawa bekerja adalah sebahagian daripada ibadah, kerana di situlah manusia menunjukkan kesungguhan, disiplin, dan rasa syukur kepada Tuhan yang membuka pintu-pintu rezeki.
Bagi bangsa Melayu Islam, bekerja adalah nyawa kepada masa depan. ‘Hidup segan, mati tak mahu’ bukan lagi pepatah yang boleh diterima, kerana zaman kini menuntut kecerdasan, kegigihan, dan keberanian untuk berubah. Teknologi bergerak tanpa menoleh ke belakang. Negara berkembang bukan dengan retorik, tetapi dengan usaha manusia yang bangun seawal pagi untuk menyusun masa depan. Dalam setiap denyut usaha itu, hadis Nabi kembali mengingatkan: “Sesungguhnya Allah SWT menyukai hamba yang bekerja dan berusaha. Sesiapa yang bersusah payah mencari rezeki untuk diri, keluarga dan kehidupannya, maka dia telah berjalan di jalan Allah.” Betapa indahnya, betapa mulianya manusia yang memilih untuk menyara hidup dengan tangan sendiri.
Namun, dalam keindahan bekerja itu, dunia moden tidak sunyi daripada cabaran. Tekanan kehidupan menjerut leher manusia. Kos sara hidup meningkat, jurang kaya miskin melebar, dan persaingan pekerjaan semakin sengit. Ada yang bekerja dengan hati yang letih, ada yang terperangkap dalam pekerjaan yang tidak digemari, dan ada yang hampir rebah kerana tekanan mental yang tiada penghujung. Tetapi inilah medan ujian yang telah dijanjikan. Dalam sabda Rasulullah SAW: “Tidak ada makanan yang lebih baik dimakan oleh seseorang, melainkan hasil daripada usahanya sendiri.” Hadis ini memeluk kita dengan penuh harapan bahawa walau sepenat mana perjalanan, setiap titik peluh itu adalah berharga di sisi Tuhan.
Dunia moden mengajar kita pelbagai kemahiran seperti kejuruteraan, teknologi, pemasaran, reka bentuk, kewangan akan tetapi dunia Islam mengajar kita nilai. Nilai bahawa tangan yang bekerja lebih mulia daripada tangan yang meminta. Nilai bahawa masa depan dibentuk oleh mereka yang bersungguh, bukan mereka yang menunggu. Nilai bahawa kualiti hidup bukan hanya terletak pada pendapatan, tetapi pada keberkatan. Kita mungkin hidup dalam abad kecerdasan buatan, namun kecerdasan hati tetap datang daripada ajaran Nabi yang tidak pernah lapuk ditelan zaman.
Keperluan bekerja juga telah berubah. Dahulu bekerja hanya untuk memastikan dapur berasap, kini bekerja menentukan keseimbangan mental, kestabilan emosi, dan identiti diri. Tidak hairanlah ramai anak muda kini bercakap tentang ‘passion’, ‘self-worth’ dan ‘purpose’. Namun, hadis Nabi mengajar bahawa ‘purpose’ terbesar ialah menjadi hamba yang bermanfaat. Baginda bersabda, “Sebaik-baik manusia adalah yang paling memberi manfaat kepada manusia lain.” Maka bekerja bukan hanya untuk diri, tetapi untuk masyarakat, negara dan ummah. Seorang doktor menyelamatkan nyawa, seorang guru mencorak fikiran, seorang jurutera membina dunia, dan seorang petani memberi makan kepada umat manusia. Setiap profesi memiliki maruah yang tersendiri.
Di tengah hiruk-pikuk kota dan lentiknya cahaya skrin yang menjadi peneman malam, manusia moden sering lupa untuk berhenti sejenak dan bertanya. Untuk apa aku bekerja? Adakah untuk kekayaan? Untuk pengiktirafan? Untuk memenuhkan keinginan? Atau untuk mencari keberkatan? Jalan yang Nabi tunjukkan begitu jelas, bekerja untuk Allah yang Maha Esa akan membuat manusia bebas daripada perhambaan dunia. Seperti peribahasa Melayu, ‘Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian’. Ini bukan sekadar ungkapan lama, tetapi cermin realiti bahawa kejayaan tidak pernah datang tanpa kesusahan.
Dalam dunia ekonomi gig, freelancer, creator digital dan peniaga kecil dalam talian, hadis Nabi tetap relevan. Jika dahulu orang mengutip kayu api, kini orang mengutip rating pelanggan, jika dahulu orang membajak tanah, kini orang membajak algoritma, jika dahulu perdagangan berlaku di pasar, kini perdagangan berlaku di hujung jari. Tetapi prinsipnya tidak berubah dengan erti kata, usaha tetap usaha. Tiada siapa dapat mengaut hasil tanpa menanam benih.
Akhirnya, bekerja adalah tanda manusia masih berharap. Selagi kita bangun pagi, menarik nafas panjang dan melangkah keluar mencari rezeki, itu tanda Tuhan masih memberi peluang. Hidup ini mungkin keras, dunia ini mungkin kejam, tetapi setiap peluh adalah doa, setiap langkah adalah sedekah, dan setiap usaha adalah jambatan menuju keberkatan. Seperti sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa berusaha untuk menanggung kehidupan keluarganya, maka dia berada di jalan Allah.” Betapa agungnya pekerjaan di sisi Tuhan.
Maka di bumi kita berdiri, di langit kita bernaung, bekerja bukan sekadar memenuhi keperluan hidup. Namun, ia adalah tanda bahawa kita masih berjuang dan selama perjuangan itu terus menyala, bangsa Melayu tidak akan pernah hilang arah, kerana hadis Nabi kekal menjadi kompas, memandu kita menghadapi dunia moden yang bergerak tanpa henti.

Oleh: Mohammad Baihaqi Hasni
E-mel: baihaqi@umpsa.edu.my
Penulis adalah Guru Bahasa Kanan, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 2 views
Reports by: