Cabaran AI dalam Pendidikan: Kaedah Mengesan Penggunaan Alatan AI dalam Tugasan Pelajar
Kepintaran Buatan (AI) semakin memainkan peranan penting dalam pelbagai aspek kehidupan. Bidang Pendidikan juga tidak terkecuali dengan fenomena AI yang semakin meledak akhir-akhir ini. Alatan AI seperti penjana teks automatik, pemeriksa tatabahasa, dan pembantu tugasan memudahkan pelajar dalam menghasilkan tugasan akademik dengan lebih cepat dan tepat. Walaupun alatan ini menawarkan kemudahan dan maklumat yang tepat, ia juga menimbulkan cabaran besar kepada para pendidik dalam mengesan dan menilai tahap sebenar pemahaman serta keaslian hasil kerja pelajar. Penggunaan berlebihan atau salah guna alatan AI, khususnya dalam konteks salinan-tampal, boleh menjejaskan objektif penilaian akademik dan menimbulkan isu etika dalam pendidikan.
Seiring dengan peningkatan penggunaan alatan AI dalam kalangan pelajar, kaedah untuk mengenal pasti penggunaan alatan AI dalam tugasan akademik perlu diketahui oleh para pendidik. Pendekatan ini penting bukan sahaja untuk mengekalkan integriti akademik, tetapi juga bagi memastikan pelajar menggunakan teknologi AI secara bertanggungjawab.
Cabaran Utama dalam Mengesan Penggunaan Alatan AI
1. Keaslian Tugasan
Berbantukan alatan AI yang canggih, pelajar boleh menghasilkan tugasan yang kelihatan asli, tetapi sebenarnya dijana oleh AI. Alat penjana teks seperti ChatGPT atau Grammarly mampu menghasilkan teks yang unik dan bebas daripada kesilapan. Ini menyukarkan pendidik untuk mengenal pasti sama ada tugasan tersebut dihasilkan oleh pelajar atau alatan AI.
2. Kemajuan Pesat Teknologi AI
Teknologi AI terus berkembang, dengan alatan yang lebih pintar dan tepat. Alatan AI terkini yang sentiasa ditambah baik, mampu menghasilkan teks yang lebih halus dan lebih menyerupai gaya penulisan manusia. Hal ini menjadikan proses mengenal pasti salin-tampal atau penggunaan alatan AI lebih sukar, terutama kepada pendidik yang kurang mahir dengan teknologi AI.
3. Kekurangan Alat Pengesanan Khusus
Walaupun terdapat alat untuk mengesan plagiat, masih kurang alat yang secara khusus dibangunkan untuk mengesan penggunaan AI dalam tugasan. Kebanyakan alat pengesan AI masih dalam tahap pembangunan atau tidak boleh digunakan secara meluas, menyebabkan cabaran dalam mengenal pasti integriti akademik yang melibatkan teknologi ini.
Kaedah Mengesan Penggunaan Alatan AI
Terdapat beberapa kaedah yang boleh diguna pakai oleh para pendidik untuk mengelakkan salah guna alatan AI oleh pelajar di dalam tugasan akademik. Antaranya:
1. Memahami Corak Penulisan Pelajar
Salah satu cara terbaik untuk mengenal pasti penggunaan alatan AI adalah dengan memahami corak dan gaya penulisan pelajar. Sekiranya hasil tugasan tiba-tiba berubah dengan ketara dari segi gaya, nada, atau kualiti, pendidik mungkin boleh mengesyaki bahawa alatan AI telah digunakan. Memantau perkembangan pelajar dalam setiap tugasan dapat membantu pendidik mengenali perubahan yang luar biasa. Perbezaan yang ketara gaya penulisan pelajar boleh dilihat melalui ujian bertulis.
2. Soalan Bertahap dan Berbentuk Peribadi
Menggunakan soalan-soalan berbentuk peribadi atau meminta pelajar untuk menceritakan pengalaman mereka, boleh mengurangkan peluang pelajar menggunakan alatan AI kerana alatan AI sukar untuk memberikan respons yang berbentuk pengalaman peribadi. Soalan terbuka yang memerlukan refleksi atau pendapat peribadi dapat mendedahkan sejauh mana pelajar menggunakan AI dalam tugasan mereka. Soalan-soalan juga perlulah berbentuk kritis, pandangan dan berdasarkan kajian kes.
3. Penggunaan Alat Pengesan AI
Walaupun alat pengesan AI masih dalam tahap perkembangan awal terdapat beberapa alat yang boleh digunakan untuk mengesan teks yang dijana oleh AI. Pendidik boleh mula menggunakan alat seperti GPTZero atau AI Content Detector untuk menilai sama ada tugasan pelajar mungkin menggunakan bantuan AI.
4. Perbincangan Interaktif Bersama Pelajar
Jika satu tugasan yang diserahkan oleh pelajar, menimbulkan kecurigaan, perbincangan bersama pelajar adalah digalakkan. Mintalah mereka menjelaskan idea, pandangan dan pendekatan mereka terhadap tugasan tersebut. Pendekatan interaktif ini boleh mendedahkan sama ada pelajar benar-benar memahami tugasan yang diberikan atau hanya salin-tampal.
5. Latih Pelajar Menggunakan AI secara Bertanggungjawab
Pendekatan proaktif adalah dengan mengajar pelajar bagaimana menggunakan alatan AI secara beretika. Ini termasuk mengajar mereka untuk memahami had alatan AI dan bagaimana untuk menggunakan sebagai alat bantu, bukan untuk mengambil alih keseluruhan proses penulisan. Pendidikan ini boleh membantu pelajar membentuk sikap yang lebih bertanggungjawab terhadap penggunaan teknologi AI dalam tugasan yang diberikan kepada mereka.
6. Rujukan
Pendidik boleh menekankan pentingnya merujuk sumber yang sahih dalam tugasan. Jika perlu mewajibkan pelajar untuk menyenaraikan sumber rujukan bagi tugasan yang diberikan. Panduan mengenai cara menulis rujukan dengan cara yang betul (seperti menggunakan kaedah APA atau MLA) perlu didedahkan kepada pelajar. Ini menjadikan pelajar lebih cenderung untuk melakukan penyelidikan yang mendalam dan menghasilkan kerja yang berkualiti. Sebagai galakan, berikan markah bagi rujukan yang telah mereka senaraikan di dalam tugasan mereka.
Teknologi AI bukanlah sesuatu yang perlu dihindari, namun perlu diterima sebagai alat bantuan tambahan dalam pendidikan. Kreativiti para pendidik dalam menghasilkan tugasan merupakan penyelesaian utama bagi mencegah masalah integriti akademik. Pendidik disarankan untuk belajar dan memahami teknologi AI supaya tidak ketinggalan dan berupaya mengenal pasti hasil penulisan berbantukan AI yang semakin popular diaplikasikan dalam bidang pendidikan.
Penulis adalah seorang pensyarah Fakulti Komputeran (FK) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
E-mel: drrahmah@umpsa.edu.my
- 607 views