Gaza dan Malaysia Madani: Menghidupkan Semangat Umat dan Tanggungjawab Global
Kepedihan yang menimpa bumi Gaza bukan sekadar kisah peperangan dan penderitaan manusia, tetapi cerminan kemanusiaan sejagat yang sedang diuji. Setiap titisan darah yang tumpah di tanah suci itu menjadi seruan agar dunia menilai kembali erti keadilan, kemanusiaan dan tanggungjawab global. Dalam konteks Malaysia, isu Gaza bukan hanya isu luar negara, tetapi menjadi cerminan kepada nilai dan roh Malaysia Madani selaras dengan pembangunan sebuah gagasan yang berteraskan ihsan, keadilan, dan kesejahteraan sejagat.
Gaza dalam Hati Umat
Rakyat Malaysia, tanpa mengira agama dan bangsa, telah lama menunjukkan solidariti yang mendalam terhadap penderitaan rakyat Palestin. Pelbagai pendekatan dilakukan dalam membantu Gaza seperti derma kilat di masjid, doa Qunut Nazilah, kutipan sumbangan, NGO serta Yayasan khas pembangunan semula Gaza serta kempen kesedaran di media sosial. Keseluruhan tindakan ini membuktikan bahawa isu Gaza bukan isu jauh, tetapi dekat di hati rakyat Malaysia. Ia menggambarkan bahawa nur kemanusiaan dan semangat umat masih menyala dalam diri rakyat yang berjiwa Madani.
Namun, lebih daripada sekadar simpati dan emosi, perjuangan Gaza mengingatkan kita kepada tanggungjawab sebagai umat yang memiliki kesedaran sosial dan moral. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda bahawa umat Islam itu ibarat satu jasad apabila satu anggota sakit, seluruh tubuh turut merasai kesakitannya. Prinsip ini menjadi asas kepada konsep rahmatan lil ‘alamin yang menuntut kita menghidupkan peranan sebagai pembela keadilan dan penjaga keamanan sejagat.
Malaysia Madani dan Diplomasi Kemanusiaan
Konsep Malaysia Madani yang oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membawa makna lebih daripada pembangunan material. Ia menyeru kepada pembangunan insan yang berteraskan enam nilai utama: kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, dan ihsan. Dalam konteks Gaza, nilai ihsan dan keadilan menjadi roh penting yang menggerakkan Malaysia untuk memainkan peranan diplomatik yang lebih berprinsip dan berperikemanusiaan pada peringkat antarabangsa.
Malaysia telah menunjukkan keberanian moral melalui pendirian tegas di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) serta menyuarakan kecaman terhadap keganasan rejim Zionis. Pendekatan diplomasi berasaskan kemanusiaan ini bukan sahaja memperlihatkan Malaysia sebagai suara umat Islam yang konsisten, tetapi juga sebagai negara Madani yang menjunjung prinsip keadilan sejagat. Ini adalah manifestasi nyata bahawa Malaysia Madani bukan hanya slogan politik, tetapi satu kerangka tindakan berasaskan nilai kemanusiaan universal. Malah penglibatan secara langsung oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membantu membebaskan peserta Sumud Frotila yang ditahan secara tidak oleh Israel memaparkan bahawa sikap ihsan dan kesejahteraan ini bukan sahaja menjadi butir bicara tetapi sebaliknya amalan seorang pemimpin.
Menghidupkan Semangat Umat di Tanah Air
Dalam konteks masyarakat, semangat solidariti terhadap Gaza perlu diterjemahkan bukan hanya melalui sumbangan kewangan, tetapi melalui pembinaan kesedaran, pendidikan dan empati sosial. Institusi pendidikan wajar memainkan peranan memperkasa kefahaman pelajar terhadap isu kemanusiaan antarabangsa. Program seperti ‘Hari Solidariti Gaza’, forum kesedaran global, dan sukarelawan kemanusiaan boleh menjadi wahana mendidik generasi muda tentang erti tanggungjawab global dan umat sejagat.
Selain itu, badan bukan kerajaan (NGO) dan institusi keagamaan juga berperanan mengukuhkan naratif kemanusiaan Islam yang seimbang bukan retorik kebencian, tetapi seruan keadilan, keamanan dan kasih sayang sesama manusia. Inilah roh Islam yang sebenar, dan inilah juga asas kepada pembinaan masyarakat Madani yang berjiwa besar dan berhati nurani.
Membina Tanggungjawab Global
Dalam dunia global yang sarat dengan konflik, kemiskinan dan penindasan, Malaysia perlu terus memainkan peranan sebagai jambatan keamanan dan suara keadilan. Bantuan kemanusiaan ke Gaza tidak harus berhenti pada peringkat sumbangan material, tetapi diperluas kepada diplomasi budaya, pendidikan dan pembangunan insan. Hubungan antara rakyat (people-to-people relations) harus diperkukuh melalui kerjasama universiti, pertukaran ilmu, dan platform digital yang menghubungkan belia Malaysia dan Palestin.
Malaysia Madani tidak akan bermakna tanpa penglibatan aktif rakyatnya dalam memperjuangkan nilai kemanusiaan. Setiap rakyat adalah duta kecil kepada nilai ihsan dan keadilan sebenar menggunakan pelbagai saluran kekuatan yang tersendiri sama ada melalui pena, media sosial, pendidikan, atau tindakan sosial. Inilah erti sebenar menjadi umat yang hidup dan berfungsi dalam dunia global.
Penutup: Dari Gaza ke Jiwa Madani
Gaza mengajar kita tentang erti ketabahan, pengorbanan, dan cinta terhadap kebenaran. Dalam setiap derita yang disaksikan, ada seruan agar umat manusia tidak alpa terhadap tanggungjawab moralnya. Bagi Malaysia, perjuangan ini bukan sekadar solidariti agama, tetapi juga ujian kepada nilai Madani yang kita bawakan. Persoalan amalan nilai madani ini dipaparkan daripada sudut sejauh mana kita benar-benar menegakkan keadilan dan kemanusiaan dalam tindakan kekejaman.
Maka, dalam semangat Malaysia Madani, biarlah Gaza menjadi cermin untuk kita memperkukuh jiwa umat, menyuburkan nilai ihsan, dan menghidupkan tanggungjawab global. Kerana Madani bukan sekadar wacana pembangunan negara, tetapi juga jalan menuju kemanusiaan sejati.

Sumber Harian Metro: Pengarah Media Muslim Care Malaysia (MCM), Tuan Asri Tuan Hussein bersama Misi Global Sumud Flotilla (GSF) untuk menghantar bantuan ke Gaza. Foto Ihsan Tuan Asri Tuan Hussein

Sekumpulan sukarelawan Sumud Nusantara bergambar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada 30 Ogos 2025 sebelum berlepas menyertai Misi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang bertujuan memecahkan sekatan Israel yang telah menolak seluruh penduduk Gaza ke ambang kebuluran. Gambar Bernama.

Disediakan Oleh: Dr. Norizan Yusof, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK)
E-mel: norizanyusof@umpsa.edu.my
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 111 views
Reports by: