Skip to main content

Gelaran ‘Suvarnabhumi’ (Tanah Emas) kini menyinar di Kelantan

Malaysia merupakan negara yang bertuah kerana kaya dengan sumber hasil bumi seperti mineral dan batuan berharga. Antara yang telah memberi sumbangan yang besar kepada ekonomi negara ini pada suatu masa dahulu selain bijih timah adalah emas.

Justeru, Tanah Melayu menjadi rebutan kuasa-kuasa Barat untuk menduduki negara ini. Kekayaan emas Tanah Melayu pada waktu itu menyebabkan negara luar seperti Greek mengelarkan Tanah Melayu sebagai ‘Golden Chersonese’, (Semenanjung Emas), ‘Suvarnabhumi’ (Tanah Emas) oleh pedagang India. Penaklukan Barat ke atas Tanah Melayu juga adalah berasaskan kepada Gold, Glory, Gospel. Ini tidak syak lagi menggambarkan hasil bumi Tanah Melayu yang dikehendaki oleh penjajah adalah emas. Oleh itu, tidak hairanlah pelabuhan Tanah Melayu pada suatu masa dahulu dipenuhi oleh para pedagang Timur dan Barat. Tarikan utama adalah kekayaan emas. Apa yang nyata, sekitar 2,000 tahun dahulu, nadi utama ekonomi yang mengkayakan penduduk Tanah Melayu adalah melombong emas dan Tanah Melayu menjadi pengeluar emas utama dunia pada waktu itu. 

Gelaran ‘Suvarnabhumi’ (Tanah Emas) kini menyinar di Kelantan

 
Sumber: Berita Harian

Sejarah Perlombongan Emas 

Menelusuri jejak-jejak sejarah tanah air, suatu masa dahulu, Semenanjung Tanah Melayu dikenali dengan pelbagai nama oleh negara luar. Antaranya, Tanah Melayu pernah digelar atau dipanggil dengan gelaran ‘Golden Chersonese’ atau ‘Semenanjung Emas.’ Nama ini diberikan oleh Claudius Ptolemy, seorang Ahli Geografi Greek di dalam bukunya ‘Geography’. Ia menggambarkan kekayaan hasil emas pada zaman sekitar tahun 150 SM iaitu merujuk kepada Semenanjung Tanah Melayu. Dalam buku tersebut, terdapat lukisan peta yang menghubungkan Pantai Timur serta Barat Semenanjung Malaysia pada ketika itu dan menamakan beberapa tempat yang menjalankan perlombongan emas seperti di Perak dan Kedah. Di dalam buku tersebut juga, ditunjukkan terdapat beberapa lokasi sungai utama bagi urusan perdagangan emas iaitu sekitar sungai Pahang dan sungai Johor. Terdapat juga sebuah penulisan pada abad ke-17 yang mengaitkan perlombongan emas di Patani dan Pahang. 

Aktiviti perlombongan emas di Tanah Melayu juga terdapat di dalam rekod lama China pada abad ke-13, di mana negeri Kelantan dan Pahang turut disebut sebagai tempat dagangan emas. Dinyatakan juga emas telah dijadikan sebagai hadiah kepada negeri-negeri lain oleh Sultan Pahang pada ketika itu. Raub, Bentong, Ulu Tembeling juga disebut di dalam peta kawasan perlombongan emas Tanah Melayu pada tahun 1929. Walau bagaimanapun, perlombongan emas dilakukan secara kecil-kecilan oleh orang Melayu berbanding pertanian. Kedatangan orang-orang Cina ke Pahang sekitar abad ke-18 telah merancakkan lagi perlombongan emas di Pahang. Hasil galian emas pada waktu itu hanya dikeluarkan menggunakan jalan penarikan, sungai dan denai hutan. 

Gambaran mengenai kekayaan emas di Tanah Melayu juga boleh didapati dalam penulisan Sejarah Melayu atau dikenali sebagai Sulalatus Salatin. Ia ditulis pada tahun 1356 dan disunting pada tahun 1612. Teks sejarah ini banyak menggambarkan tentang penggunaan emas dalam kehidupan pembesar dan rakyat Melayu pada ketika itu. Emas telah digunakan sebagai mata wang, hadiah, bayaran denda serta perhiasan manusia dan binatang.  

Hasil kajian oleh penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2007, dikatakan sejarah perlombongan emas di Tanah Melayu berlaku sejak zaman abad ketujuh atau kelapan iaitu di Pahang. Ini berdasarkan kepada penemuan bekas-bekas lombong lama berserta alatan yang digunakan menggambarkan masyarakat di sini sebagai orang pertama yang melakukan perlombongan emas. Pada hari ini, penemuan emas utama di Semenanjung Tanah Melayu terdapat di Jalur Tengah, iaitu dari Batu Melintang di Kelantan, menuju ke selatan melalui Sokor, Pulai, Selinsing, Raub, Chenderas hinggalah ke Gunung Ledang di Johor. Penemuan terbaharu dibuat di Jalur Timur iaitu di kawasan Mersing di Johor dan Lubuk Mandi di Terengganu.

Gelaran ‘Suvarnabhumi’ (Tanah Emas) kini menyinar di Kelantan

Rupa bentuk emas yang didulang

Perlombongan Emas di Kelantan

Gelaran ‘Suvarnabhumi’ (Tanah Emas) kini menyinar di Kelantan

 
Bukti kerajaan Kelantan prihatin

Meskipun sejarah lampau amat sedikit membicarakan tentang emas di Kelantan, namun pada hari ini seluruh Malaysia telah digemparkan dengan penemuan timbunan emas di beberapa daerah di negeri Kelantan. Ini bakal mencetus kebangkitan industri emas di Kelantan memandangkan kerajaan negeri sendiri yang membenarkan rakyat Kelantan untuk mengusahakan perlombongan emas dengan kaedah mendulang. Aktiviti ini boleh dilakukan di tanah milik kerajaan dengan lesen yang akan dikeluarkan mengikut syarat tertentu. Ini bertujuan bagi menjaga keselamatan dan memastikan aktiviti tersebut tidak merosakkan alam sekitar. Ini menunjukkan rakyat Kelantan mendapat faedah langsung daripada khazanah bumi Kelantan. Dinyatakan terdapat lebih 50 tempat di Kelantan yang telah dikenal pasti berpotensi mengandungi sumber emas dan setakat ini Kelantan merekodkan jumlah emas paling banyak yang belum diteroka berbanding negeri lain. Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Geosains, Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr. Mohd Syakir Sulaiman menyatakan lokasi emas tersebut membabitkan beberapa daerah iaitu Gua Musang, Tanah Merah, Jeli dan Kuala Krai yang kini mula menjadi tumpuan. Daripada empat daerah berkenaan, kawasan yang dikenal pasti terdapat emas ialah Kuala Balah, Sokor, Batu Melintang, Lawar, Kalai, Perasu, Pulai serta beberapa lokasi di Gua Musang. Emas yang ditemui di Kelantan adalah emas yang mempunyai ketulenan yang tinggi seperti emas 999 dan 916 yang sangat popular dalam kalangan penggemar dan peminat emas masa kini. Menurut beliau lagi, Malaysia mempunyai kawasan Jalur emas atau Central Gold Belt yang merentasi negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu, dan Pahang. Jalur ini adalah kawasan yang kaya dengan mineral emas. 

Gelaran ‘Suvarnabhumi’ (Tanah Emas) kini menyinar di Kelantan

Secara amnya, sebelum penemuan kawasan timbunan emas, rakyat Kelantan memang sudah dikenali sebagai masyarakat yang gemar membeli dan menyimpan emas. Kedai emas milik masyarakat Melayu di Kelantan bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Majoriti kedai emas di Kelantan adalah dimiliki oleh orang Melayu. Secara asasnya, bila ini berlaku, Kelantan seolah-olah menyambung legasi sejarah masa lampau iaitu perlombongan emas. Sejarah ‘Tanah Emas’ akan memberi inspirasi baharu untuk Kelantan maju dan membangun pada masa akan datang. Kelantan akan berpotensi sebagai hab ekonomi Pantai Timur berasaskan industri kraf, seni dan budaya serta industri emas. 

Kesimpulannya, sejarah bukan sahaja berperanan merakamkan dan mengkaji peristiwa lalu untuk dijadikan sebagai pengajaran dan sempadan, malah ia membuka ruang ke arah kajian pada masa depan. Dari situ kita akan dapat merungkai kejayaan, kekayaan negara pada masa dahulu yang boleh memberi manfaat kepada negara dan generasi pada hari ini. Legasi masa lalu, kejayaan masa depan. Belajarlah Sejarah kerana sejarah ada cerita yang hendak diceritakan. 

Dr. Hasnah Hussiin

Oleh: Dr. Hasnah Hussiin
E-mel: hasnah@umpsa.edu.my

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri