Hujan Tak Pernah Berniat Jahat
Hujan tak pernah berniat jahat. Ia turun mengikut perintah, setia sejak zaman Nabi Nuh hingga zaman TikTok. Tetapi setiap kali langit mula berkerut, setiap kali bunyi guruh menyapa bumbung rumah, hati manusia juga tiba-tiba berdebar, maklumlah, sekali terkena, serik seumur hidup. Kita tahu hujan itu rahmat, tapi kita juga tahu banjir itu bencana, bagai rambut sama hitam, hati lain-lain, hujan memberi, banjir mengambil.
Hujan sepatutnya penyejuk jiwa. Titisannya seperti zikir alam, menghidupkan tanah, menenangkan hati yang kusut. Tapi entah bagaimana, dalam dunia moden yang penuh kecelaruan ini, hujan yang turun bagai mutiara dari langit semakin kerap membawa bersama lumpur, arus ganas, dan berita duka. Ada hari kita menunggu hujan bagai menunggu kekasih, tetapi bila ia datang bertubi-tubi, kita pula menyesal, itulah manusia, ada saja yang tak kena.
Sejak awal sejarah manusia, banjir sudah menjadi watak utama dalam episod bencana dunia. Kisah Nabi Nuh A.S bukan sekadar cerita dongeng untuk ditampal di buku teks, tetapi amaran bahawa apabila manusia melampaui batas, alam akan menyatakan protes. Bahtera yang dibina baginda bukan sekadar kapal penyelamat, tetapi simbol bahawa iman lebih kukuh daripada mana-mana tembok konkrit yang manusia moden bina. Kadang-kadang kita lupa, dunia ini bukan kita yang punya namun kita hanya menumpang, itu pun sementara.
Dalam lipatan sejarah, banjir pernah menundukkan tamadun besar. Sungai Nil pernah mengganas, Sungai Yangtze pernah mengamuk, dan Sungai Mekong pun pernah naik angin. Malaysia tidak kurang hebatnya, dari Bah Merah 1926 hingga banjir besar tahun 2014, kita sudah berkali-kali ditampar dengan realiti bahawa alam bukan boleh dibuat main. Setiap kali air naik, kita sedar betapa lemahnya kita walaupun rumah sebesar istana, bila air masuk sampai lutut, semua orang sama sahaja.
Persoalannya, adakah banjir ini tiba-tiba muncul tanpa sebab? Tidak. Alam bukan macam manusia. Ia tidak buat perangai sesuka hati. Banyak banjir hari ini adalah hasil kerja tangan kita sendiri. Kita gondol bukit tanpa belas, kita sumbat sungai dengan sampah, kita ratakan tanah lembap dan ganti dengan bangunan. Kita mahu mengejar kemajuan, tapi lupa bahawa maju tidak bermaksud menghancurkan. Akhirnya, bila banjir datang, kita marahkan hujan, padahal hujan cuma menjalankan amanah.
Namun, di sebalik arus deras yang menghanyutkan, ada hikmah yang menenangkan. Banjir mengajar kita tentang nilai kemanusiaan. Ketika rumah orang lain ditenggelami air, tiba-tiba kita menjadi wira tanpa jubah, memikul beg pakaian, mengangkat kanak-kanak, menolak perahu getah walau lutut menggigil. Ketika banjir datang, yang kaya tidak sempat kira saham, yang miskin pun tidak sempat fikir hutang, semua orang sama-sama mencari tempat berteduh. Di situlah indahnya bencana yang menunjukkan ia menghapuskan dinding yang kita sendiri bina.
Islam mengajar bahawa setiap ujian mengandungi rahmat tersembunyi. Kadang-kadang Allah SWT turunkan hujan yang banyak bukan untuk menghukum, tetapi untuk menyedarkan betapa kita sudah jauh tersasar. Kita sibuk mengejar dunia sampai lupa bumi ini pun ada perasaan. Bila alam menangis, hujan turun. Bila alam marah, banjir datang dan bila kita melihat rumah hanyut dibawa arus, barulah kita faham betapa kecilnya kita di bawah langit yang luas ini.
Namun begitu, dalam kesedihan itu tetap ada ruang untuk senyum. Orang Melayu memang terkenal dengan humor walau dalam bencana. Ada yang berkata, “Nasib baik aku pandai berenang, cuma tak pandai berenang sambil pegang peti ais.” Ada pula yang berseloroh, “Banjir kali ini tinggi sangat, ikan pun macam tak percaya tengok kita.” Humor begini bukan tanda kita ambil ringan, tetapi bukti bahawa semangat kita tidak mudah patah ibarat air dicincang takkan putus, begitulah persaudaraan manusia ketika diuji.
Banjir sebenarnya membawa pesan yang halus tetapi mendalam. Berhentilah menjadi tamak, belajarlah menjadi bijak, dan kembalilah menjadi manusia. Dunia moden yang serba canggih ini kadang-kadang menjadikan kita lupa bahawa alam ada undang-undangnya. Kita tidak boleh menukar sungai menjadi longkang dan mengharap air bersopan santun. Kita tidak boleh menarah bukit dan berharap tanah kekal teguh. Alam bukan budak suruhan yang boleh ditegur sesuka hati.
Pada akhirnya, hujan tetap turun mengikut ketentuan Tuhan, banjir tetap berlaku apabila alam seakan tidak tahan lagi, dan manusia tetap perlu belajar. Hujan itu rahmat, banjir itu peringatan, dan kedua-duanya mengandungi mesej yang sama. Jangan sombong dengan dunia yang bukan milik kita.
Apabila hujan kembali turun selepas bencana berlalu, semoga hati kita lebih lembut, akal kita lebih matang, dan iman kita lebih kukuh. Semoga kita ingat bahawa di sebalik setiap titisan yang jatuh, ada kasih sayang Rabbu Jalil dan kadang-kadang, kasih sayang itu datang dalam bentuk yang paling kita tidak jangka.

Oleh: Mohammad Baihaqi Hasni
E-mel: baihaqi@umpsa.edu.my
Penulis adalah Guru Bahasa Kanan, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 14 views
Reports by: