Skip to main content

Isu Integriti dan Adab dalam kalangan Pelajar IPT

Perbincangan mengenai isu integriti dan etika dalam kalangan pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) ini tidaklah merujuk kepada semua pelajar IPT di Malaysia, tetapi lebih kepada perkongsian pengalaman pengajar atau pensyarah yang melalui pengajaran dan pembelajaran (PnP) di Universiti Malaysia Pahang (UMP). Masalah ini sebenarnya boleh memberi kesan yang besar kepada modal insan yang bakal dilahirkan jika masalah integriti dan etika ini dipandang remeh oleh semua pihak. Ini memandangkan integriti dan etika yang baik merupakan elemen yang sangat penting dalam melahirkan manusia yang bertakwa, bertanggungjawab dan jujur dalam memikul tugas tidak kira apa juga jawatan yang dipegang pada masa hadapan. 

Barangkali para pelajar hari ini tidak mengetahui atau tidak mempelajari bagaimana untuk menjaga integriti dan adab sebagai seorang mahasiswa universiti. Harus ditekankan bahawa mahasiswa adalah aset negara memandangkan mereka akan keluar dengan segulung ijazah dan ilmu yang bakal melakar pembangunan negara, agama dan bangsa di luar sana. Justeru, mereka harus memiliki sifat integriti dan adab yang tinggi yang perlu disemai sejak di universiti lagi. Mahasiswa juga adalah contoh kepada masyarakat di luar sana kerana tahap ilmu yang dimiliki sehingga mampu menjejak menara gading. 

Masalah integriti yang paling besar yang perlu diberi perhatian yang serius adalah perbuatan copy and paste. Ia seakan menjadi budaya para pelajar tanpa rasa bersalah. Perbuatan ini melambangkan sikap tidak ingin berfikir untuk menghasilkan kerja sendiri atau melahirkan idea sendiri. Oleh itu, mereka mencedok idea orang lain 100 peratus tanpa melakukan sebarang penambahbaikan dan olahan idea. Persoalannya, di mana letaknya kredibiliti mahasiswa hari ini? Inikah generasi yang ingin kita lahirkan yang tidak mampu berfikir dan tidak mempunyai keyakinan diri? Sampai bila? Jika hal ini berterusan, kita akan gagal melahirkan generasi yang mampu berdikari dan menghasilkan produk atau ciptaan sendiri. Maka sehingga bila kita hendak bergantung kepada teknologi orang lain? Ini adalah antara isu yang perlu kita fikirkan apabila kita masih menjadi negara dan bangsa yang banyak menggunakan teknologi luar. 

Isu integriti seterusnya adalah mudahnya pelajar menciplak hasil kerja orang lain dan mengaku hak milik peribadi. Ini juga biasa berlaku bukan sahaja dalam kalangan pelajar malahan dalam kalangan kakitangan akademik sekalipun sama ada tempatan dan luar negara. Ini semua berkaitan dengan integriti seseorang iaitu setinggi mana pun ilmu yang dimiliki memang sukar untuk mengelak daripada menciplak. Bagaimana untuk mendidik diri dalam hal ini? Ini sangat bergantung kepada hati dan sifat jujur pada diri sendiri. Jika kita berasa bangga dengan kerja sebegini bermakna kita telah merompak dalam sedar. Tetapi, bak kata pepatah Melayu, sepandai-pandai tupai melompat, akan jatuh ke tanah jua. Ini melambangkan perbuatan ini tidak kekal, jika ditangkap, seluruh kredibiliti sebagai pelajar atau pendidik akan malap sekelip mata. 

Sebagai seorang mahasiswa, kita tidak akan lari daripada melakukan tugasan yang memerlukan kita merujuk buku, laman web, jurnal, majalah, dan sebagainya. Sememangnya kita akan mengambil fakta-fakta, gambar rajah dan jadual daripada bahan orang lain untuk memantap dan menguatkan lagi penulisan atau kajian kita. Di sini biasa timbul masalah iaitu pelajar tidak meletakkan rujukan. Apabila pelajar tidak meletakkan rujukan, nota kaki atau nota akhir, secara tidak langsung apa yang kita tulis itu menjadi hak milik kita secara tidak sah walaupun sumber itu adalah hak milik orang lain. Silap hari, pelajar itu boleh disaman oleh penulis asal.  

Kredibiliti dan integriti pelajar diuji lagi dengan wujudnya ujian atas talian online test. COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beberapa tahun yang lepas telah mengubah gaya pembelajaran sama ada pada peringkat menengah dan IPT. Di samping melakukan PnP secara dalam talian, kita juga terpaksa melaksanakan ujian secara dalam talian. Pembelajaran secara dalam talian juga sedikit sebanyak menguji integriti pelajar. Pembelajaran secara maya memperlihatkan pelajar dan guru atau pensyarah tidak nampak dan tahu apa yang pelajar lakukan semasa dalam kelas atau ujian. Hanya pengajar yang dapat mengetahui bahawa sememangnya timbul isu integriti dan adab pelajar dalam mengendalikan kelas secara maya. 

Isu kehadiran pelajar pada hari ini sememangnya perlu diberi perhatian. Setiap pelajar perlu memahami tugas utama mereka adalah untuk mendapatkan ilmu. Oleh itu, bagi mendapatkan ilmu tersebut, mereka perlu hadir ke kelas dan menambah ilmu melalui pembacaan. Kehadiran mencerminkan pelajar itu berintegriti dan bertanggungjawab sebagai orang yang mencari ilmu. Kehadiran ke kelas juga menjadi satu latihan untuk pelajar sebelum keluar bekerja nanti kerana mereka dilatih untuk bangun awal dan menepati masa. Jika di universiti, pelajar sering ponteng kelas, bagaimana pula bekerja nanti, adakah boleh ponteng kerja? Mahasiswa tidak boleh ponteng kelas dan mengharap nota daripada rakan sahaja. Selain daripada masalah kehadiran, perbuatan lewat masuk ke dalam kelas dan tiada permohonan maaf kepada pensyarah juga merupakan satu adab yang tidak baik.

Masalah adab juga meliputi penggunaan telefon pintar semasa pensyarah sedang mengajar adalah satu perbuatan yang tidak beretika kerana pelajar secara terang-terangan menunjukkan sikap mereka yang tidak menghormati pensyarah di depan mereka. Perbuatan ini perlu diubah kerana hadirnya pelajar ke kelas adalah untuk mendapatkan ilmu yang disampaikan. Tetapi malangnya, pelajar lebih seronok melihat telefon pintar daripada melihat apa yang diajarkan oleh pensyarah. Tidak hairan jika pelajar menghadapi masalah dalam mendapatkan ilmu kerana kurangnya atau hilang fokus semasa sesi pembelajaran.

Dewasa ini, kita juga mendapati para pelajar hanya mengenali pensyarah mereka hanya pada masa pensyarah berkenaan mengajar mereka. Apabila pensyarah itu tidak lagi mengajar mereka, mereka sudah lupa pensyarah tersebut dan ini dapat dilihat apabila pelajar sering menjauhkan diri atau mengelak daripada bertembung dengan bekas pensyarah. Ada juga yang langsung tidak menyapa atau mengucapkan salam apabila bertembung atau berjumpa dengan bekas pensyarah. Para pelajar juga dilihat hanya menegur atau menunduk tanda hormat hanya pada pensyarah yang mereka kenali, manakala pensyarah yang mereka tidak kenal atau tidak pernah mengajar mereka, pensyarah berkenaan tidak akan disapa dan dianggap orang biasa-biasa yang tidak ada kaitan dengan mereka. Mahasiswa perlu bersopan santun dengan siapa sahaja di universiti iaitu daripada pentadbir sehingga ke golongan bawahan. Perbuatan ini perlu diubah kerana kita perlu berbudi kepada semua orang tanpa mengira siapa mereka. Berpeganglah kepada salah satu bait dalam Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

Akhir sekali adalah berkait dengan perumpamaan Melayu, ‘orang berbudi kita berbahasa’. Apa yang dilihat sekarang, generasi muda sangat sukar untuk mengamalkan budaya mengucapkan terima kasih. Pelajar perlu mengamalkan budaya terima kasih ini dalam kehidupan seharian mereka apatah lagi dalam kalangan pensyarah mereka. Mahasiswa perlu menzahirkan rasa berterima kasih setiap masa bagi menunjukkan penghargaan atas setiap ilmu yang dicurahkan. Ucapan terima kasih merupakan satu cara bagaimana kita menghargai orang di sekeliling kita yang banyak membantu kita menjadi manusia hari ini. Jadi, jika kita lupa untuk ucapkan terima kasih, maka kita telah gagal untuk menjadi manusia beradab. 

Hasnah Hussiin
Dr. Hasnah Hussiin

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang (UMP).

E-mel: hasnah@ump.edu.my

Reports by:
Admin UMP News