Kemahiran Insaniah Bekalan Penting Pelajar Sebelum Melangkah ke Dunia Pekerjaan
Bagi kebanyakan pelajar, tamatnya pengajian di universiti menandakan bermulanya satu perjalanan baharu dalam hidup iaitu memasuki dunia pekerjaan. Namun realitinya, memiliki keputusan akademik yang baik sahaja tidak menjamin seseorang itu mudah mendapat pekerjaan. Kebanyakan majikan hari ini lebih cenderung melihat kepada kebolehan sebenar seseorang pekerja dari segi kemahiran insaniah yang mencerminkan cara mereka bekerja dan berinteraksi dalam organisasi.
Pada asasnya, kemahiran insaniah atau soft skills merujuk kepada kebolehan bukan akademik yang kritikal untuk kerjaya dan pembangunan diri. Kebolehan atau keupayaan ini melibatkan aspek peribadi, sosial dan emosi dalam berinteraksi, mengurus dan menyelesaikan masalah. Terdapat tujuh kemahiran yang perlu dikuasai oleh seseorang graduan sebelum menjejakkan kaki ke dunia realiti pekerjaan iaitu komunikasi, pemikiran kritis, penyelesaian masalah, kerja berpasukan, pembelajaran berterusan, keusahawanan, etika dan moral serta kemahiran kepimpinan. Penguasaan terhadap kemahiran ini membolehkan individu menyesuaikan diri dan berjaya dalam persekitaran kerja yang dinamik. Justeru, persediaan awal dalam aspek ini amat penting sebelum pelajar melangkah ke dunia pekerjaan.
Kemahiran Komunikasi Aspek Kritikal Perlu Dikuasai
Kemahiran komunikasi merupakan antara aspek paling kritikal yang perlu dikuasai. Dalam persekitaran kerja, komunikasi yang jelas dan berkesan menjadi asas kepada kelancaran tugasan harian. Sama ada berinteraksi dengan rakan sekerja, pihak atasan atau pelanggan, kebolehan menyampaikan idea dengan tepat sangat diperlukan. Pelajar perlu membiasakan diri untuk bercakap dengan yakin, menulis secara profesional dan mendengar dengan teliti. Kemahiran ini boleh diperkukuh melalui latihan pembentangan, penulisan laporan dan penglibatan dalam aktiviti berkumpulan semasa di universiti. Kemahiran komunikasi ini juga merujuk kepada penguasaan seseorang dalam bertutur dan menulis dalam bahasa Melayu dan Inggeris malah, menjadikan seseorang lebih unik dan istimewa apabila dapat menguasai Bahasa ketiga. Oleh itu setiap pelajar perlu memanfaatkan ruang dan peluang yang ada dalam meningkatkan kemahiran komunikasi sepanjang berada di menara gading.
Profesionalisme, Kemahiran Kerja Berpasukan dan Kepimpinan
Sikap profesionalisme juga merupakan kemahiran insaniah yang perlu diterapkan sejak awal. Dunia pekerjaan menuntut individu yang berdisiplin, menepati masa dan bertanggungjawab terhadap tugas yang diberikan. Setiap pekerja perlu memahami bahawa etika kerja yang baik bukan sahaja mencerminkan keperibadian mereka, malah mempengaruhi kepercayaan majikan. Sikap sambil lewa atau bergantung kepada orang lain perlu diubah sebelum memasuki alam pekerjaan. Latihan industri atau praktikal yang dijalani semasa pengajian sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya untuk membentuk sikap ini.
Seterusnya, kemahiran bekerja dalam pasukan menjadi keperluan yang tidak dapat dielakkan. Kebanyakan organisasi hari ini mengamalkan budaya kerja berpasukan bagi mencapai matlamat bersama. Oleh itu, pelajar perlu belajar menyesuaikan diri dengan pelbagai jenis individu, menerima perbezaan pandangan dan menyumbang secara aktif dalam kumpulan. Keupayaan untuk bekerjasama dengan baik bukan sahaja membantu meningkatkan produktiviti, malah mewujudkan suasana kerja yang harmoni.
Tidak kurang pentingnya ialah kemahiran kepimpinan dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan. Dalam persekitaran kerja yang dinamik, pekerja perlu bersedia menghadapi perubahan dari segi teknologi, budaya organisasi dan keperluan pasaran. Pelajar yang mempunyai sikap terbuka dan sanggup belajar perkara baharu akan lebih mudah menyesuaikan diri. Pada masa yang sama, ciri kepimpinan seperti keberanian membuat keputusan dan keupayaan mempengaruhi orang lain akan menjadi nilai tambah yang besar dalam kerjaya mereka. Kemahiran ini tidak akan hadir dengan sendiri tanpa ada pengalaman yang dapat diterokai sepanjang pangajian di universiti.
Pelajar sewajarnya berani keluar daripada kepompong sendiri dan tidak terus menjadi seperti ‘katak di bawah tempurung’ yang hanya selesa dalam lingkungan yang sempit. Sikap enggan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sepanjang tempoh pengajian akan menyebabkan mereka kehilangan banyak peluang untuk mengembangkan potensi diri. Akibatnya, pengalaman selama tiga atau empat tahun di universiti tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya, sedangkan tempoh tersebut merupakan fasa penting dalam pembentukan sahsiah dan jati diri.
Kegagalan untuk aktif dan mencabar diri juga akan menyukarkan usaha melahirkan pelajar yang unggul, bukan sahaja dari segi akademik tetapi juga dari aspek kemahiran insaniah. Dalam jangka masa panjang, kekurangan pengalaman dan pendedahan ini boleh memberi kesan kepada kebolehpasaran graduan, sekali gus menyukarkan mereka untuk bersaing dan mendapatkan pekerjaan dalam dunia yang semakin kompetitif. Oleh itu, pelajar perlu lebih terbuka dan berani mengambil peluang agar setiap pengalaman di universiti benar-benar memberi nilai kepada masa depan mereka.
Kesimpulannya, persediaan untuk memasuki dunia pekerjaan bukan hanya tentang memperoleh segulung ijazah. Apa yang lebih penting ialah bagaimana seseorang pelajar melengkapkan diri dengan kemahiran insaniah yang diperlukan. Tanpa kemahiran ini, ilmu yang ada mungkin tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Oleh itu, pelajar perlu lebih proaktif dalam membangunkan diri agar benar-benar bersedia menghadapi realiti dunia pekerjaan yang sebenar.

Oleh: Dr. Abdul Hadi Samsi
E-mel: hadisamsi@umpsa.edu.my
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 58 views
Reports by: