Skip to main content

Kepimpinan dan Nilai MADANI sebagai Tonggak Kemajuan

Konsep Malaysia MADANI yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia dalam konteks negara kita pascapandemik dan pascakrisis politik yang baharu, merangkumi pelbagai aspek yang lebih bernilai, beretika dan berorientasikan kesejahteraan manusia. Ia bukan sekadar platform dasar tetapi merupakan falsafah kepimpinan yang meletakkan nilai-nilai mulia bagi memacu pentadbiran negara.  Malaysia MADANI berlandaskan enam nilai teras iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, dan ihsan ini memerlukan bukan sahaja reformasi institusi, malah menuntut perubahan dalam cara memimpin.

Seruan ini menekankan kepimpinan yang berasaskan nilai, bukan berasaskan kuasa, tetapi berasaskan pengaruh kepimpinan yang memerlukan lebih daripada sekadar kapasiti teknikal atau strategi politik sahaja. Ia memerlukan keberanian moral, kejujuran, empati, dan yang paling penting adalah akauntabiliti kepada rakyat. Dalam dunia yang kompetitif dan serba sarat dengan maklumat, kepimpinan berasaskan nilai menjadi lebih penting daripada sebelumnya. Ahli politik tidak hanya dinilai berdasarkan dasar yang mereka keluarkan, tetapi juga nilai integriti, kejujuran, sikap tidak mementingkan diri, dan keprihatinan terhadap rakyat yang merupakan kesepaduan daripadanya.

Sifat ihsan umpamanya menuntut setiap pemimpin untuk melihat rakyat dengan hati yang peduli dan sikap menghormati maruah setiap manusia. Dalam setiap keputusan terdapat keutamaan sosial dan sifat manusiawi yang perlu dinilai bersama dengan implikasi ekonomi dan politik. Keyakinan pula amat penting yang mana pemimpin perlu mendapatkan kepercayaan, bukan dengan kata-kata, tetapi dengan pelaksanaan dasar dan janji kemajuan yang dibuat. Tanpa sokongan rakyat, sesuatu dasar tidak akan diterima dan difahami serta tidak dapat dilaksanakan dengan baik.

Kepimpinan MADANI tidak menyokong autokrasi dan populisme yang tidak jujur, malah ia mempromosikan sikap keterbukaan dalam mendengar suara dan keluh kesah di peringkat akar umbi, dan menghormati pendapat yang bertentangan wahima dalam kalangan awam dan pembuat dasar.  Konsep MADANI ini merupakan inisiatif yang sangat ideal, tetapi ia memerlukan lonjakan besar untuk diterapkan sepenuhnya di lapangan. Di sinilah jurang antara dasar dan amalan semakin melebar, antara aspirasi di atas kertas dan pengalaman di lapangan. Contohnya, rungutan tentang birokrasi, perkhidmatan awam yang dingin, dan kaedah yang terlalu teknikal untuk menyelesaikan masalah rakyat. Ini menunjukkan bahawa nilai-nilai MADANI, khususnya hormat, kreativiti, dan kesejahteraan, belum lagi menjadi sebahagian daripada budaya kerja dalam organisasi kerajaan. Seorang pemimpin MADANI yang ideal mesti menjadi suri teladan dan bukan hanya bersifat retorik sahaja. Mereka perlu membina pasukan kerja yang bukan sahaja cekap, tetapi juga sesuai dengan kehendak dan aspirasi rakyat.

Kepimpinan ini bukan sahaja perlu datang dari peringkat tertinggi pentadbiran negara tetapi juga mesti wujud dan terbina dalam kalangan menteri, ketua jabatan, pegawai daerah, guru besar sekolah, guru, pemimpin masyarakat, dan juga ibu bapa itu sendiri yang mana semua daripada mereka boleh dikatakan sebagai agen penyebaran nilai MADANI. Contohnya, seorang guru yang berurusan dengan pelajar dan/atau ibu bapa, atau seorang penjawat awam yang menunjukkan kreativiti dalam memproses urusan awam tanpa melanggar peraturan, kesemua mereka menyumbang dalam menjadikan nilai MADANI sesuatu yang hidup dan boleh diterapkan dengan jayanya.
Di sinilah pentingnya peningkatan kemahiran dan pembangunan profesional berterusan di dalam sektor korporat dan perkhidmatan awam bagi merealisasikan enam nilai MADANI agar ia bukan hanya sekadar slogan, tetapi ia mesti menjadi budaya kebangsaan. Budaya yang tidak hanya dapat dirasai dalam upacara rasmi atau kertas dasar tetapi juga turut dirasai di persekitaran sekolah, tempat kerja, pasar, masjid, malah di media sosial. 

Konsep kelestarian juga boleh diintegrasikan dalam amalan kehidupan seharian yang lebih mesra alam, termasuk melalui pelaksanaan dasar perolehan awam hijau serta pendekatan dalam perancangan, pembinaan dan pengurusan bandar. Dari sudut pandang kreativiti, pendekatan ini turut mendukung pembangunan sistem pendidikan yang lebih fleksibel, berpandangan terkehadapan, dan berperanan sebagai pemacu kepada transformasi sistemik yang lebih holistik.

Pada masa yang sama, kesejahteraan tidak boleh diukur hanya dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau kadar pertumbuhan sahaja. Ia perlu dilihat dalam keupayaan manusia untuk hidup dengan lebih bermaruah yang mempunyai akses kepada perumahan, kesihatan, pendidikan, dan peluang ekonomi yang adil. Kepimpinan MADANI adalah kepimpinan berasaskan nilai dan bukan hanya bersifat popular. Ia memerlukan pemimpin dengan kejujuran, keberanian, empati, dan kehendak untuk tetap setia dan menjalankan amanah dan tanggung jawab dengan baik. Ia memerlukan individu yang bersemangat nilai, tegas untuk menasihati secara bijaksana, dan bersedia untuk menyampaikan mengikut kemampuan mereka.

Umumnya, konsep Malaysia MADANI yang diperkenalkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia secara ringkas menunjukkan kepada kita garis besar jenis negara yang kita ingin bina, sebuah negara yang akan berada di antara kemajuan dan moral, kuasa dan ihsan. Namun, bolehkah kita menjadikannya budaya yang tulen?  Tambahan pula, dalam dunia yang tidak menentu seperti ini, nilai adalah satu-satunya kompas dan ukuran yang tetap dan bersifat dinamik. Pemimpin berasaskan nilai tidak akan ditiup oleh badai, mereka tidak mengejar kuasa semata-mata, tetapi memimpin dengan hati nurani ikhlas dan penuh rasa tanggung jawab dan amanah kepada negara Malaysia yang kita cintai. 

Profesor Ts. Dr. Mohd Rashid Bin Ab Hamid
Profesor Ts. Dr. Mohd Rashid Bin Ab Hamid

Penulis adalah Profesor di Pusat Sains Matematik (PSM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

E-mel: rashid@umpsa.edu.my

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri