Koperasi UMPSA Berhad cemerlang di persada nasional: Pengiktirafan SKM dan ANGKASA serta hala tuju strategik menuju masa depan lestari
Koperasi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (KOPUMPSA) Berhad mencatat sejarah gemilang apabila menerima pengiktirafan rasmi daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) sebagai antara 350 koperasi terbaik Malaysia bagi dua tahun berturut-turut.
Kejayaan ini menempatkan KOPUMPSA di tangga ke-342 daripada 16,000 koperasi berdaftar di Malaysia pada tahun 2024, sebelum melonjak hebat ke tangga ke-211 pada tahun 2025, peningkatan 131 anak tangga dalam tempoh setahun.
Di peringkat negeri pula, KOPUMPSA turut mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya menempatkan diri dalam kelompok 50 Koperasi Terbaik Pahang apabila berada di tangga ke-38 daripada 1,178 koperasi berdaftar di negeri ini.
Pengiktirafan ini membuktikan bahawa koperasi universiti juga mampu bersaing di peringkat nasional setaraf koperasi besar komersial. Ia menjadi cerminan kepada tadbir urus berintegriti, kecekapan pengurusan, dan strategi pembangunan mampan yang diterapkan oleh kepimpinan KOPUMPSA. Kejayaan ini turut menjadikan KOPUMPSA sebagai model rujukan koperasi institusi pendidikan tinggi yang berjaya memacu ekonomi kampus ke tahap yang lebih tinggi.
Mengambil inspirasi daripada kejayaan tersebut, KOPUMPSA kini melangkah lebih jauh dengan meneroka sektor perniagaan baharu yang berimpak tinggi selaras dengan agenda universiti dan pembangunan nasional. Antara langkah strategik utama yang sedang dilaksanakan ialah:
• Mengimport dan membekalkan Alat Pengesan Logam atau Metal Detector (MD) dari Turkiye kepada peminat seluruh negara. Koperasi juga telah berjaya mendapatkan hak pengedaran ekslusif dari syarikat tersebut untuk produk berjenama Nokta.
• Membekalkan skuter elektrik yang mesra alam kepada warga UMPSA sebagai sokongan kepada Agenda Kampus Hijau, inisiatif yang membantu mengurangkan pelepasan karbon dan mempromosikan mobiliti lestari dalam kalangan pelajar serta staf.
• Eksplorasi dalam bidang pertanian komersial untuk meningkatkan pendapatan koperasi dan menyediakan peluang pendidikan dan penyelidikan dalam bidang Keusahawanan Agro.
• Eksplorasi pelaburan hartanah strategik di Lembah Klang, Kuantan dan Pekan sebagai langkah jangka panjang untuk memperkukuh kestabilan aset dan aliran tunai koperasi.
• Eksplorasi penyertaan dalam aktiviti import dan eksport komoditi terpilih dengan beberapa negara jiran bagi mewujudkan jaringan ekonomi rentas sempadan yang boleh membuka peluang pasaran baharu untuk KOPUMPSA.
Sejak penubuhannya pada 22 Februari 2011, KOPUMPSA terus berkembang maju. Antara pencapaian operasi dan sumbangan sosial utama KOPUMPSA ialah:
• Bermula dengan sebuah outlet peruncitan, koperasi kini mengendalikan tujuh outlet di kampus Gambang dan Pekan yang menawarkan pelbagai kemudahan kepada warga universiti.
• Penyelesaian baki pelaburan ahli bernilai hampir RM4 juta, bukti keupayaan kewangan yang stabil dan tadbir urus yang beramanah.
• Tabung Modal Pusingan sebanyak RM5 juta daripada SKM, sebagai kepercayaan tinggi pihak berkuasa terhadap kecekapan pengurusan koperasi.
• Geran bantuan pemindahan aset bernilai RM45,000, meningkatkan keupayaan logistik koperasi.
• Dividen meningkat setiap tahun; 5 peratus (2023), 7 peratus (2024), dan sasaran 8.5 peratus bagi tahun 2025, satu kadar yang kompetitif dalam kalangan koperasi universiti di Malaysia.
• Peluang pekerjaan kepada 42 pelajar UMPSA secara sambilan melalui kerjasama strategik dengan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dn Alumni (JHEPA), memberi manfaat kewangan dan latihan kerja sebenar khususnya kepada pelajar B40.
• Dari segi keanggotaan, KOPUMPSA terus berkembang kukuh. Jika pada tahun-tahun awal penubuhan koperasi hanya dianggotai sekitar 400 ahli, kini jumlah itu telah meningkat kepada lebih 620 ahli aktif.
Pertumbuhan ini mencerminkan keyakinan dan sokongan berterusan warga universiti terhadap koperasi, terutamanya dalam aspek ketelusan pengurusan, perkhidmatan mesra ahli, dan pulangan dividen yang konsisten.
Kehadiran KOPUMPSA memberikan nilai tambah yang besar kepada UMPSA dari sudut ekonomi, sosial dan reputasi institusi. Sumbangan koperasi secara langsung menyokong pelaksanaan Agenda Keusahawanan dan Komuniti UMPSA (SDG 8 dan 11) melalui empat kesan utama iaitu:
• Memartabatkan imej UMPSA sebagai kampus koperasi moden dan progresif;
• Menyediakan peluang latihan dan pengalaman keusahawanan sebenar kepada pelajar;
• Meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui pendedahan terhadap ekosistem perniagaan koperasi; dan
• Menyokong pembentukan komuniti kampus yang berdaya saing, berdikari dan lestari.
Keseluruhannya, Koperasi UMPSA Berhad kini berdiri sebagai lambang kejayaan dan keyakinan warga universiti terhadap potensi koperasi universiti. Pengiktirafan bertaraf nasional daripada SKM dan ANGKASA, disertai peningkatan ranking yang membanggakan turut membuktikan bahawa KOPUMPSA bukan sekadar entiti kampus tetapi satu kuasa ekonomi berpotensi besar yang mampu menjana impak di peringkat nasional dan serantau.

Dengan kepimpinan berwawasan, sokongan universiti yang berterusan, serta perancangan strategik yang jelas, KOPUMPSA diyakini akan terus menjadi peneraju koperasi universiti berprestasi tinggi di Malaysia, membina masa depan yang makmur, lestari, dan memberi manfaat bersama seluruh warga UMPSA.
Oleh: Mejar Dr. Haji Imaduddin Abidin
E-mel: imaduddin@umpsa.edu.my
Penulis adalah Pengerusi Ahli Lembaga Koperasi (ALK), Koperasi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah Berhad (KOPUMPSA) dan Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Industri (FPI), UMPSA
- 39 views
Reports by: